Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti prodemokrasi kuasa penentu PM Thai baru

Anutin Charnvirakul, pemimpin konservatif Bhumjaithai; Chaikasem Nitisiri, calon disokong Thaksin Shinawatra, muncul dua calon utama
Sep 1, 2025 | 2:28 PM
Perdana Menteri, Thailand, demokrasi
Thailand mempunyai sejarah panjang ketidakstabilan politik yang ditandai oleh hakim diraja dan jeneral yang menyingkirkan perdana menteri yang dipilih. - Foto EPA

BANGKOK: Sebuah parti prodemokrasi Thailand yang kebangkitannya telah digagalkan oleh kumpulan konservatif negara itu, tiba-tiba berada di kedudukan teratas untuk melantik perdana menteri seterusnya.

Selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Perdana Menteri, Cik Paetongtarn Shinawatra, pada 29 Ogos kerana melanggar etika, gabungan 10 partinya berpecah.

Kini Parti Rakyat, yang telah menjadi pembangkang sejak pilihan raya 2023 walaupun memenangi kerusi terbanyak, sedang dirayu kumpulan pesaing politik yang mahu membentuk kerajaan baru.

Dua tokoh utama untuk menjadi calon perdana menteri ialah Encik Anutin Charnvirakul, pemimpin konservatif Bhumjaithai yang secara meluas dianggap sebagai pendahulu, dan Encik Chaikasem Nitisiri, satu-satunya calon yang disokong oleh jutawan, Encik Thaksin Shinawatra, bapa kepada Cik Paetongtarn.

Parti Rakyat telah menetapkan beberapa syarat untuk mendapatkan sokongannya, termasuk membubarkan Dewan Rendah dalam tempoh empat bulan untuk mengadakan pilihan raya baru serta referendum mengenai Perlembagaan baru.

Pemimpinnya akan mengadakan mesyuarat pada 1 September untuk merasmikan strategi mereka.

Kemunculan Parti Rakyat sebagai kuasa penentu memberi cabaran baru bagi penubuhan kerajaan negara itu.

Walaupun jika mana-mana kerajaan baru bersifat pentadbiran sementara, namun sokongan kuat kepada parti prodemokrasi dalam pilihan raya akan datang sekali lagi akan meletakkannya pada risiko dibubarkan kerana menyokong langkah yang akan menyekat kuasa monarki (diraja), sama seperti dua pendahulunya.

“Perlembagaan tidak lurus, direka untuk memastikan parti dan ahli politik dalam keadaan lemah dan untuk memberikan kuasa kepada sistem kehakiman,” kata Profesor Sains Politik di Universiti Chulalongkorn, Dr Thitinan Pongsudhirak.

“Peraturan yang tidak jujur. Peraturan ini membawa kepada kekacauan besar,” katanya.

Mengalah kepada syarat Parti Rakyat juga bermakna perdana menteri selanjutnya berisiko mengetuai kerajaan minoriti yang hanya akan berkuasa selama beberapa bulan.

Ini boleh menimbulkan lebih banyak kekecohan politik, dengan penganalisis memberi amaran tentang kelumpuhan dasar dan penyelewengan fiskal menjelang pilihan raya.

Saham Thailand turun hampir 12 peratus pada 2025, prestasi terburuk di Asia, namun mata wangnya telah mengukuh lebih 5 peratus di tengah-tengah kelemahan dolar Amerika yang berterusan.

Moody’s Ratings berkata dalam analisisnya baru-baru ini bahawa keadaan politik Thailand yang sering berubah dengan gabungan rapuh, telah merencatkan kemasukan pelaburan dan reformasi terhenti yang diperlukan untuk menyelesaikan isu struktur ekonomi Thailand.

Dalam beberapa jam selepas Cik Paetongtarn dipecat, Encik Anutin berada di pejabat Parti Rakyat untuk melobi bagi mendapatkan sokongan.

Selepas pertemuan itu, ahli perniagaan yang bertukar menjadi ahli politik itu berkata beliau sedia menerima syarat Parti Rakyat.

Tetapi pada 30 Ogos, pemimpin Parti Rakyat, Encik Natthaphong Ruengpanyawut, berkata kumpulannya masih belum komited.

Namun, parti itu bersedia menimbangkan semua cadangan, tertakluk kepada syaratnya dipenuhi, kata beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg