Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Asean setuju M’sia terus jadi perantara selesai konflik Thai-Kemboja

Aug 8, 2025 | 11:22 AM
Saifuddin Nasution Ismail, Jeneral Tea Seiha , Jeneral Nattaphon Narkphanit
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah), bersama Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha (kanan), dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, bergambar sempena Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin negara anggota Asean bersetuju supaya Malaysia terus memainkan peranan sebagai pengantara dalam menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dengan Kemboja.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada pagi 7 Ogos sempat menghubungi semua pemimpin negara Asean.

Panggilan itu dibuat sebelum Datuk Anwar menerima kunjungan hormat delegasi Thailand dan Kemboja yang hadir di Kuala Lumpur bagi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di Kuala Lumpur.

Datuk Saifuddin Nasution berkata semua pemimpin atau ketua negara Asean yang dihubungi mendukung dan menyokong peranan yang dimainkan Malaysia dalam konflik membabitkan dua negara berjiran itu.

“Semuanya setuju bahawa mekanisme bilateral yang dibuat sekarang adalah memadai buat masa ini, sambil kita bersetuju bahawa akan ada pusingan seterusnya selepas mesyuarat pada 7 Ogos,” katanya pada sidang media usai mesyuarat berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Thailand dan Kemboja pada 28 Julai mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat mulai tengah malam hari sama, bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Persetujuan tersebut diumumkan Datuk Anwar, yang melakar kejayaan selaku tuan rumah dan Pengerusi Asean yang menjadi orang tengah dalam perdamaian dua negara dalam isu perebutan sempadan itu.

Datuk Saifuddin Nasution berkata Malaysia menghargai kesungguhan dan kesediaan pemimpin Kemboja dan Thailand dalam mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang mereka hadapi.

“Dalam mesyuarat ini, ketua dan anggota delegasi dari kedua-dua negara benar-benar mengamalkan prinsip yang selama ini diguna pakai di peringkat Asean, iaitu perundingan dan perbincangan yang berteraskan kepada kepercayaan dan rasa hormat,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat diadakan itu mencerminkan persefahaman bersama bahawa gencatan senjata bukan sekadar jeda, malah satu janji untuk melindungi nyawa, menegakkan maruah dan mencegah lebih banyak penderitaan.

“Janji itu mesti dihormati menerusi komitmen, pemantauan yang berkesan dan keazaman politik yang ikhlas daripada kedua-dua pihak, kami berbangga melihat kedua-dua pihak telah memberikan komitmen ini sepanjang mesyuarat dalam beberapa hari lepas.

“Di Asean, kami percaya dalam menyelesaikan pertikaian melalui konsensus, tanpa konfrontasi dan melalui kepercayaan, saling menghormati dan semangat tidak campur tangan.

“Kami mengukuhkan perpaduan serantau kami. Semangat Asean ini telah membimbing kami dan akan terus membimbing kami pada hari-hari mendatang,” kata Datuk Saifuddin Nasution.

menurut Datuk Saifuddin Nasution, Malaysia sebagai tuan rumah amat berbesar hati untuk menyokong kedua-dua pihak dalam proses itu dan bersedia menawarkan sebarang bantuan yang diperlukan dalam memudahkan perbincangan, membina keyakinan dan menyokong mekanisme praktikal untuk memantau gencatan senjata.

Dalam pertemuan itu juga, Thailand dan Kemboja bersetuju mematuhi gencatan senjata di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan tentera semasa sambil turut mengelak daripada sebarang pertambahan anggota.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg