Panas terik, rasa lapar dahaga dan ratapan pilu mangsa-mangsa lain yang tetap cuba berpaut kuat pada pohon yang hampir tumbang adalah antara kenangan pilu yang tidak dapat dilupakan Cik Nuraini Sulaiman, 58 tahun.
Menceritakan pengalamannya seolah-olah kenangan tsunami silam itu berlaku semalam semasa ditemui di rumahnya di Lhoknga, Aceh Besar, Cik Nuraini, yang lebih mesra dipanggil Bu Nur, tidak dapat menahan sebak mengenangkan anggota keluarganya yang terkorban.
Khususnya beliau masih ingat akan nasihat ibunya pada pagi 26 Disember 2004 agar tidak meninggalkan solat sebaik gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter menggoncang kediaman mereka.
Keadaan bertukar menjadi lebih panik dan keliru apabila Bu Nur mendengar teriakan “air laut naik” – menyebabkan beliau bergesa meninggalkan ibu bapanya di rumah untuk mencari adik-beradik dan anak saudaranya yang tinggal berhampiran.
“Keponakan (anak saudara) saya kata air laut naik tetapi saya hairan juga, jika air laut naik, ke mana kami hendak tuju?
“Dia beritahu kalau ke masjid, insya-Allah akan dilindungi.
“Kami cuba lari sedikit tetapi orang sudah mula ramai dan tiba-tiba wayar elektrik putus kerana mungkin tiangnya runtuh.
“Kami kemudian cuba seberangi ke masjid tetapi tidak dapat melakukannya kerana ruangnya dipenuhi kereta yang datang dari arah pantai,” cerita Bu Nur apabila dikunjungi pasukan Berita Minggu (BM) di rumahnya pada 7 Disember.
Dalam keadaan cemas lagi terdesak, Bu Nur tidak sangka bahawa pagi itu merupakan kali terakhir beliau melihat orang tuanya.
Apabila air yang dikatakan tadi akhirnya ‘naik’, ia sebenarnya badai deras yang jauh melebihi paras ketinggian atap rumah kampung, dan menurut beliau, air itu “hitam dan pekat” serta dipenuhi sampah-sarap serta bekas runtuhan bangunan.
Ditenggelami badai, Bu Nur menggambarkan dirinya seperti berputar di dalam ‘mesin cuci baju’.
Beliau dibawa arus itu dari darat sehingga beliau jatuh terjunam ke tanaman sawah padi, sebelum terduduk di atas pohon rumbia yang kuat, menampung dirinya.
“Jadi duduklah saya di atas pohon rumbia itu, terus dibawa terus air... macam-macam yang saya lihat.
“Di depan saya ada juga orang yang sedang berdiri dan memegang kuat dahan pokok kelapa.
“Ya Allah, ya Tuhanku... sawah sudah semacam sungai... sawah yang biasanya berpetak-petak kini sudah rata semuanya selepas ditenggelami air... ibarat menjadi sungai.
“Sekejap kami lihat seseorang itu tetapi dalam sekelip mata, mereka hilang (dari pandangan)... ditenggelami air,” kenang Bu Nur.
Kebingungan waktu ketika itu, beliau menganggarkan telah masuk waktu zuhur.
Mengingati nasihat ibunya beberapa jam yang lalu, Bu Nur kuatkan semangat untuk cuba solat zuhur walaupun masih terapung di atas dahan, memohon tanpa putus-putus agar bantuan segera tiba bagi menyelamatkan dirinya daripada igauan ngeri itu.
Tidak mampu untuk melakukan apa-apa selain menunggu, Bu Nur kemudian menggunakan cebisan papan tajam untuk memotong kelapa yang terapung di sekelilingnya bagi membasahkan tekaknya yang kekeringan.
Untuk melindunginya dirinya dari panahan sinar matahari, beliau terpaksa menggunakan pakaian yang terapung di antara sampah sarap.
Kisah Bu Nur mencerminkan jiwa penduduk Aceh yang tabah dan tidak mudah berputus asa.
Sekitar 20 tahun selepas bencana, Bu Nur, yang menyara hidupnya dengan mengambil upah menjahit baju, berkongsi rasa syukur dikurniakan kesempatan dan peluang untuk meneruskan kehidupan.
Beliau giat memastikan anggota keluarganya yang terselamat kekal rapat di hati dan tinggal berdekatan dengannya.
Beliau juga bersyukur atas latihan simulasi pemindahan atau evakuasi, serta kesedaran kecemasan dan kesiapsiagaan berikutan bencana pada akhir 2004 itu, yang diadakan setiap tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg