Pasang bidet di kediaman mayor New York pantul perubahan sikap warga AS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasang bidet di kediaman mayor New York pantul perubahan sikap warga AS

Jan 23, 2026 | 4:31 PM

Pasang bidet di kediaman mayor New York pantul perubahan sikap warga AS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani, bersama isterinya, Rama Duwaji, bergambar selepas sidang media sempena hari perpindahan ke Gracie Mansion di New York City. Pasangan itu berpindah dari apartmen satu bilik di Queens ke kediaman rasmi di Upper East Side, Manhattan. Gracie Mansion telah menjadi kediaman kebanyakan datuk bandar New York City selama beberapa dekad.
Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani, bersama isterinya, Rama Duwaji, bergambar selepas sidang media sempena hari perpindahan ke Gracie Mansion di New York City. Pasangan itu berpindah dari apartmen satu bilik di Queens ke kediaman rasmi di Upper East Side, Manhattan. Gracie Mansion telah menjadi kediaman kebanyakan datuk bandar New York City selama beberapa dekad. - Foto AFP

NEW YORK: Datuk Bandar baru New York City, Encik Zohran Mamdani, memulakan minggu pertamanya menetap di kediaman rasmi datuk bandar, Gracie Mansion, dengan satu hasrat yang di luar kebiasaan tetapi mencuri perhatian ramai: memasang bidet di bilik air kediaman bersejarah itu.

Ketika berpindah masuk bersama isterinya, Cik Rama Duwaji, Encik Mamdani menyifatkan cadangan itu sebagai satu “harapan aspirasi” untuk menjadikan Gracie Mansion benar-benar sebagai “rumah rakyat”. “Kita lihat sama ada ia benar-benar boleh dilaksanakan,” katanya.

Dalam satu temu bual bersama stesen ABC 7 New York yang disiarkan pada 18 Januari, Encik Mamdani menjelaskan bahawa cadangannya tidak melibatkan pengubahsuaian besar, sebaliknya pemasangan bidet ringkas berbentuk pancutan air genggam bernilai sekitar AS$25 (S$32) yang disambungkan ke sisi tandas.

Jurucakap datuk bandar mengesahkan melalui e-mel bahawa kerja pemasangan telah pun dimulakan di Gracie Mansion.

Sepanjang sejarahnya, hampir setiap datuk bandar New York meninggalkan sentuhan peribadi di kediaman berusia ratusan tahun itu. Ada yang melakukan pengubahsuaian besar, seperti bekas Datuk Bandar Michael Bloomberg, manakala yang lain menambah elemen tersendiri, termasuk kemudahan barbeku dalaman oleh Ed Koch dan kepala katil buatan tangan oleh David Dinkins.

Namun, pemasangan bidet di Gracie Mansion dilihat sebagai cerminan perubahan budaya yang lebih luas dalam kalangan masyarakat Amerika Syarikat.

Peranti pembersihan berasaskan air itu telah lama menjadi kebiasaan di banyak negara seperti di Timur Tengah tetapi sering dianggap janggal di Amerika. Kini, persepsi itu mula berubah.

Tinjauan 2026 oleh Persatuan Dapur dan Bilik Mandi Kebangsaan mendapati 76 peratus pereka dalaman menyatakan pemilik rumah semakin mencari tandas dengan lebih banyak ciri tambahan, manakala 48 peratus meramalkan tempat duduk bidet akan menjadi popular dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Syarikat pengeluar bidet yang berpangkalan di Brooklyn, Tushy, telah menghantar lebih dua juta unit ke seluruh Amerika Syarikat sejak ditubuhkan pada 2015, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Justin Allen.

“Ketika kami memulakan Tushy, bidet di Amerika sering dianggap sebagai barangan mewah yang sukar dicapai atau sesuatu yang ganjil,” katanya. “Namun, selepas mencubanya, ramai menyedari tahap kebersihan yang lebih menyeluruh dan sukar untuk melupakan betapa bersihnya atau kembali kepada cara lama.”

Di media sosial, pengumuman Encik Mamdani menerima reaksi bercampur tetapi sebahagian besarnya positif. Ramai pengguna menyifatkan pemasangan bidet sebagai “keutamaan” dan “sesuatu yang wajib”, manakala sebahagian lain mempersoalkan tumpuan beliau terhadap isu tandas berbanding dasar awam.

Cik Caroline Rose, anak kepada bekas Datuk Bandar Rudolph W. Giuliani, turut menyertai perbualan itu. Dalam satu komen di media sosial, beliau berkata kepada The New York Times, “Saya sendiri akan memasangnya jika saya tahu tentang bidet ketika tinggal di sana dahulu.”

Sebahagian pengguna turut berpandangan bandar raya itu wajar mempertimbangkan pemasangan bidet di semua kemudahan awam, sambil melihat cadangan Mamdani sebagai cerminan tulen latar belakang budaya dan agamanya. Encik Mamdani yang beragama Islam dan mempunyai warisan budaya gabungan Uganda dan India, dibesarkan dalam konteks masyarakat di mana sistem pembersihan berasaskan air merupakan amalan biasa dalam kehidupan seharian.

Di peringkat global, Amerika Syarikat sering dianggap berbeza daripada kebanyakan negara lain dari segi penggunaan bidet, yang merujuk kepada pelbagai kaedah pembersihan berasaskan air.

Di Jepun, syarikat Toto membangunkan tempat duduk bidet moden sejak 1980, lengkap dengan pancutan automatik, kawalan suhu air dan pemanasan tempat duduk.

Di Eropah, bidet lazimnya berbentuk besen berasingan, manakala di Asia Tenggara, pancutan air genggam atau “bum gun” menjadi kelaziman di rumah dan tandas awam.

Dalam Islam, yang dianuti Encik Mamdani dan isterinya, kebersihan merupakan sebahagian penting dalam amalan keagamaan, menjadikan akses kepada air sebagai keperluan budaya dan rohani.

Selain aspek kebersihan, bidet turut dilihat membawa manfaat alam sekitar. Menurut Encik Allen, penggunaan bidet dapat mengurangkan penggunaan kertas tandas serta tisu basah yang sering berakhir di tapak pelupusan sampah.

Malah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar New York berkongsi video pengumuman Encik Mamdani di Instagram dengan kapsyen, “Lebih banyak bidet, lebih sedikit tisu basah.”

Gracie Mansion sendiri mempunyai sejarah panjang. Pada suatu ketika, bangunan itu pernah menjadi kemudahan awam, termasuk berfungsi sebagai tandas awam untuk pengunjung Taman Carl Schurz, sebelum dijadikan kediaman rasmi datuk bandar pada 1942.

Pada 1981, laporan media menggambarkan bilik airnya sebagai sekadar bertaraf sederhana, sebelum dinaik taraf sepenuhnya semasa era Encik Bloomberg.

Kos pemasangan bidet pula berbeza-beza. Menurut Encik Jacq de Beer, pengasas Bidet New York, alat asas boleh berharga serendah AS$35 dan hanya memerlukan sambungan air bersih. Model lebih canggih boleh mencecah AS$300 atau lebih dan memerlukan bekalan elektrik. “Namun, saya belum pernah menemui situasi di mana pemasangan tidak boleh dilakukan,” katanya.

Profesor Bryant Simon dari Universiti Temple berkata kekurangan pendedahan dan perubahan infrastruktur lama menyebabkan bidet lambat diterima di Amerika. Namun, kekurangan kertas tandas semasa pandemik Covid-19 mempercepat perubahan sikap. “Dalam kelas saya, semua pelajar tahu apa itu bidet,” katanya. “Malah, beberapa rakan saya kini memilikinya di rumah.”

Bagi Encik Mamdani, pemasangan bidet mungkin kelihatan remeh, tetapi ia mencerminkan perubahan budaya yang lebih besar tentang kebersihan, kemampanan dan keterbukaan terhadap amalan global.

Di Gracie Mansion, simbol kuasa dan kepimpinan bandar raya, bidet kini menjadi lambang kecil bagaimana idea peribadi seorang pemimpin mampu mencetuskan perbincangan nasional tentang kehidupan seharian dan identiti masyarakat bandar moden. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg