Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasangan belum berkahwin disebat di Aceh selepas video cium tular di TikTok
Pasangan belum berkahwin disebat di Aceh selepas video cium tular di TikTok
Pasangan belum berkahwin disebat di Aceh selepas video cium tular di TikTok
BANDA ACEH: Pihak berkuasa wilayah Aceh di Indonesia melaksanakan hukuman sebat terhadap pasangan belum berkahwin selepas mereka didapati melanggar undang-undang syariah menerusi video cium yang dimuat naik di media sosial.
Seorang lelaki dan wanita yang identitinya tidak didedahkan masing-masing menerima 21 sebatan dalam satu pelaksanaan hukuman awam di sebuah taman di Banda Aceh pada 1 Julai.
Hukuman itu dijalankan selepas pasangan terbabit dilaporkan kepada pihak berkuasa susulan rakaman siaran langsung di aplikasi TikTok yang menunjukkan mereka bercium.
Ketua Polis Syariah Banda Aceh, Encik Muhammad Rizal, berkata siasatan dijalankan selepas video itu tular di media sosial.
“Mereka jelas melanggar syariah Islam,” katanya kepada wartawan.
Beliau berkata ini kali pertama di Aceh tindakan hukuman syariah dilaksanakan terhadap pelanggaran yang berlaku menerusi media sosial.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah Islam secara rasmi.
Di bawah peraturan syariah di wilayah itu, perlakuan intim seperti bercium, berpelukan atau bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan suami isteri adalah dilarang.
Pelaksanaan hukuman itu disaksikan puluhan penduduk tempatan yang hadir di lokasi.
Selain pasangan berkenaan, pihak berkuasa turut melaksanakan hukuman terhadap beberapa individu lain atas kesalahan berbeza mengikut peraturan syariah tempatan.
Satu lagi pasangan dikenakan 27 sebatan kerana perlakuan intim, manakala dua lelaki masing-masing menerima 29 dan lapan sebatan atas kesalahan perjudian.
Pada Mei lalu, pihak berkuasa Aceh turut melaksanakan hukuman sebat terhadap dua lelaki dan dua wanita sebanyak 100 kali kerana melakukan hubungan seks di luar nikah.
Lima individu lain ketika itu turut dikenakan hukuman atas pelbagai kesalahan termasuk berada terlalu dekat dengan individu berlainan jantina dan pengambilan alkohol.
Walaupun hukuman sebat tidak dilaksanakan di kebanyakan wilayah Indonesia, ia masih mendapat sokongan dalam kalangan sebahagian masyarakat Aceh yang melihatnya sebagai sebahagian daripada pelaksanaan nilai agama dan disiplin sosial.
Pihak berkuasa Aceh berkata penguatkuasaan syariah bertujuan menjaga ketenteraman masyarakat serta memelihara nilai moral dan budaya tempatan.
Indonesia merupakan negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, namun secara rasmi mengiktiraf enam agama selain kepercayaan masyarakat pribumi.
Beberapa pertubuhan hak asasi manusia bagaimanapun terus menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan hukuman sebat di Aceh.
Jurucakap Amnesty International Indonesia, Encik Haeril Halim, menyifatkan hukuman terhadap pasangan itu sebagai tindakan diskriminasi.
Beliau turut menggesa pemerintah menamatkan penggunaan hukuman fizikal seperti sebat.
Namun pihak berkuasa Aceh menegaskan pelaksanaan undang-undang syariah di wilayah itu dibuat mengikut peraturan tempatan yang telah lama diamalkan masyarakat setempat. - Agensi berita
