RAFAH (Gaza): Apabila tukang jahit Palestin, Encik Majed Abu Hajeb, membaiki baju atau jaket pelanggannya, beliau terpaksa menggunakan mesin jahit usangnya secara manual kerana tiada bekalan elektrik.
Duduk di tepi jalan di pasar jalanan di Rafah, Encik Majed sibuk mengukur, memotong dan menjahit ketika anaknya, Magdy, memutarkan pedal basikal kanak-kanak yang telah diubah suai untuk menggerakkan mesin jahitnya.
Lebih tiga bulan perang Israel ke atas Hamas di Gaza telah mengubah setiap elemen kehidupan di wilayah kecil Palestin yang sesak itu, memaksa hampir semua 2.3 juta penduduknya meninggalkan rumah dan kedai mereka yang hancur dek pengeboman Israel tanpa henti.
Di Rafah, jalan-jalan, tanah kosong, pantai dan taman kini dipenuhi khemah yang didirikan oleh penduduk yang mencari perlindungan di situ.
Pakaian mereka, kebanyakannya kini koyak atau kusut, digantung pada tali jemuran yang diikat antara khemah.
Ada juga yang mencari rezeki dengan menyediakan khidmat memotong rambut.
Israel memotong bekalan elektrik ke Gaza, bersama-sama dengan bahan api yang diperlukan untuk menjana elektrik, pada hari pertama perang meletus pada 7 Oktober.
Encik Majed menyatakan beliau bersyukur kerana permintaan bagi menjahit atau membaiki pakaian yang rosak telah meningkat ketika krisis melanda.
“Kami menggunakan basikal ini sebagai ganti motor dan kami menggunakan budak itu sebagai pengganti kuasa elektrik,” tambahnya, sambil menjahit zip untuk seorang pelanggan yang berdiri berhampiran. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg