SEOUL: Pasukan keselamatan presiden dan tentera Korea Selatan menghalang pihak berkuasa menangkap Presiden Yoon Suk Yeol, yang dikenakan dakwaan, pada 3 Januari 2025. Ketegangan selama enam jam berlaku di halaman kediaman rasmi Encik Yoon di tengah Seoul, dengan ratusan penyokongnya berkumpul untuk mempertahankannya.
Encik Yoon sedang di bawah siasatan bagi pemberontakan berhubung percubaannya melaksana undang-undang tentera pada 3 Disember, yang mengejutkan Korea Selatan dan membawa kepada waran tangkap pertama dikeluarkan terhadap seorang presiden.
Pasukan Pejabat Siasatan Rasuah Pegawai Tinggi (CIO) tiba di pintu masuk kediaman Encik Yoon sekitar 7 pagi waktu tempatan. Selepas dapat mengelak ratusan penyokong Encik Yoon yang berkumpul di luar, pegawai CIO dan polis memasuki halaman kediaman itu.
Namun, mereka dihalang oleh barisan Pasukan Keselamatan Presiden (PSS) dan tentera yang ditugaskan menjaga keselamatan presiden.
Menurut seorang pegawai CIO, hingga 200 anggota keselamatan membentuk satu rantaian manusia untuk menghalang mereka mendekati Encik Yoon.
“Mustahil untuk melaksanakan waran tangkap dalam situasi seperti ini,” kata pegawai itu.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengesahkan bahawa tentera di bawah kawalan PSS telah bertindak dalam insiden itu. Akibatnya, CIO membatalkan usaha penangkapan itu sekitar 1.30 petang, dengan alasan keselamatan anggota mereka terancam.
Di luar kediaman itu, penyokong Encik Yoon melaungkan “Presiden Yoon Suk Yeol akan dilindungi rakyat” dan mendesak agar ketua CIO ditangkap. Seorang penyokong berkata: “Kami sanggup mengorbankan nyawa kami untuk mempertahankan beliau.”
“Ini adalah serangan politik terhadap presiden yang sah,” kata seorang pemimpin Parti Kuasa Rakyat (PPP), yang diketuai Encik Yoon dan menyokong keputusan menangguhkan penangkapannya.
Encik Yoon dipecat melalui proses pendakwaan pada 14 Disember dan sedang menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan sama ada beliau kembali kepada jawatan itu atau disingkir secara kekal.
Sesi pendengaran kedua kes beliau dijadualkan pada 3 Januari.
Perisytiharan undang-undang tentera oleh Encik Yoon pada 3 Disember bertujuan mengatasi kebuntuan politik dan membanteras apa yang didakwanya sebagai “kuasa antinegara”. Namun, langkah itu ditolak oleh 190 ahli parlimen, memaksa Encik Yoon menarik balik perintah tersebut dalam masa beberapa jam sahaja.
Encik Yoon kemudian mempertahankan tindakannya dengan menuduh lawan politiknya bersikap pro-Korea Utara dan mendakwa tanpa bukti bahawa berlaku manipulasi pilihan raya.
Dua pegawai tinggi tentera, termasuk Ketua Tentera Park An-su, telah dikenakan tuduhan pemberontakan. Bekas menteri pertahanan, Encik Kim Yong-hyun, juga telah ditangkap dan didakwa dengan kesalahan penyalahgunaan kuasa.
Waran tangkap ke atas Encik Yoon sah hingga 6 Januari, memberi masa 48 jam untuk penyiasat menangkapnya.
Selepas itu, mereka perlu memutuskan sama ada memohon waran tahanan atau membebaskan beliau. Tindakan menangkap Encik Yoon kekal mencabar kerana halangan pasukan keselamatan dan sokongan kuat penyokong setianya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg