Pasukan pengaman PBB dijangka tinggalkan Lebanon akibat tekanan kewangan, politik
Pasukan pengaman PBB dijangka tinggalkan Lebanon akibat tekanan kewangan, politik
BEIRUT: Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) merancang menarik balik sebahagian besar tenteranya menjelang pertengahan 2027, kata jurucakapnya pada 10 Februari.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mandat pasukan pengaman itu tamat pada 2026.
Unifil telah bertindak sebagai penampan antara Israel dengan Lebanon selama beberapa dekad dan telah membantu tentera negara itu ketika ia merobohkan prasarana Hezbollah berhampiran sempadan Israel selepas perang antara Israel dengan kumpulan yang disokong Iran itu berakhir.
Di bawah tekanan daripada Amerika Syarikat dan Israel, Majlis Keselamatan PBB telah mengundi pada 2025 untuk menamatkan mandat pasukan itu pada 31 Disember 2026.
Ini akan membawa kepada “pengunduran yang teratur dan selamat” dalam tempoh setahun.
Jurucakap Unifil, Encik Kandice Ardiel, berkata “Unifil merancang menarik balik semua, atau sebahagian besarnya, anggota beruniform menjelang pertengahan 2027”, melengkapkan pengunduran menjelang akhir 2026.
Selepas operasi Unifil dihentikan pada 31 Disember tahun ini, beliau menambah: “Kami akan memulakan proses menghantar kakitangan dan peralatan Unifil pulang dan memindahkan kedudukan PBB kami kepada pihak berkuasa Lebanon.”
Semasa pengunduran, pasukan itu hanya akan dibenarkan melaksanakan tugas terhad seperti melindungi kakitangan dan pangkalan PBB serta menyelia pemulangan yang selamat.
Walaupun gencatan senjata dikuat kuasa pada November 2024 bagi menamatkan lebih setahun permusuhan dengan Hezbollah, Israel terus melancarkan serangan berkala ke atas Lebanon.
Alasan Israel ialah mereka menyasarkan Hezbollah dan kerana itu telah mengekalkan tenteranya di lima kawasan sempadan.
Unifil meronda berhampiran sempadan dan memantau pelanggaran ketetapan PBB yang menamatkan perang 2006 antara Israel dengan Hezbollah dan yang membentuk asas gencatan senjata semasa.
Ia telah berulang kali melaporkan tembakan Israel ke arah atau berhampiran kakitangannya sejak gencatan senjata.
Menurut Encik Ardiel, Unifil telah mengurangkan hampir 2,000 anggota pasukan pengaman di selatan Lebanon dalam beberapa bulan kebelakangan ini, “dengan beberapa ratus lagi dijangka berlepas menjelang Mei”.
Pasukan itu kini mempunyai kira-kira 7,500 anggota dari 48 negara.
Beliau berkata pengurangan itu adalah akibat krisis kewangan yang melanda PBB dan merupakan langkah penjimatan kos yang terpaksa dilaksanakan.
Pihak berkuasa Lebanon mahukan kehadiran tentera antarabangsa yang berterusan di selatan selepas pengunduran Unifil, walaupun bilangannya terhad, dan telah menggesa negara Eropah agar mengekalkan anggotanya dalam pasukan tersebut. – AFP.

