PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Majlis Keselamatan PBB pada 24 Februari menerima pakai resolusi yang digubal Amerika Syarikat dengan mengambil pendirian neutral dalam konflik Russia-Ukraine ketika Presiden Donald Trump berusaha menjadi perantara bagi menamatkan perang.
Resolusi pendek sempena ulang tahun ketiga pencerobohan Russia ke atas Ukraine mencerminkan tindakan Encik Trump yang menukar dasar Amerika ke atas Ukraine selepas beliau mula memegang jawatan pada Januari dan pendiriannya yang ingin berdamai dengan Russia.
Pendiriannya itu berbeza daripada pentadbiran mantan presiden, Encik Joe Biden, yang mengetuai usaha di PBB untuk menyokong Ukraine sepanjang perangnya dengan Russia.
Duta Besar Russia ke PBB, Encik Vassily Nebenzia, mengakui terdapat “perubahan membina” dalam pendirian Amerika mengenai konflik itu.
Beliau memberitahu majlis itu bahawa resolusi tersebut “bukan yang ideal” tetapi merupakan “titik permulaan untuk usaha masa depan ke arah penyelesaian secara aman”.
Sejumlah 15 anggota Majlis Keselamatan PBB sebelum ini telah menemui jalan buntu sepanjang perang dan tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana Russia memegang kuasa veto.
Perhimpunan Agung yang dianggotai 193 orang, telah berulang kali menyokong kedaulatan dan kewibawaan wilayah Ukraine dan menggesa keamanan yang adil, berkekalan dan menyeluruh, selaras dengan Piagam PBB.
Amerika pada 24 Februari gagal meyakinkan Perhimpunan Agung untuk meluluskan resolusi tiga perenggan yang sama dan diterima pakai oleh Majlis Keselamatan.
Resolusi itu mengulangi matlamat PBB agar menghentikan konflik, mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta menyelesaikan pertikaian secara aman.
Resolusi Majlis Keselamatan dianggap mengikat, manakala resolusi Perhimpunan Agung tidak.
Namun, resolusi Perhimpunan Agung membawa kesan politik dan mencerminkan pandangan sejagat tentang perang itu.
Majlis Keselamatan menerima pakai resolusi Amerika dengan 10 undi menyokong, manakala Perancis, Britain, Denmark, Greece dan Slovenia berkecuali.
Russia mengundi menyokong selepas gagal meminda dan memveto tawaran Eropah untuk menyokong Ukraine.
“Resolusi ini meletakkan kita di laluan ke arah keamanan. Ia adalah langkah pertama, tetapi satu yang penting dan kita semua harus berbangga,” kata pemangku Duta Besar Amerika ke PBB, Cik Dorothy Shea.
“Kini kita mesti menggunakannya untuk membina masa depan yang aman untuk Ukraine, Russia dan masyarakat antarabangsa,” tambahnya.
Bagaimanapun, pendekatan Encik Trump sebagai perantara telah menyebabkan Ukraine dan sekutu Eropah berhati-hati terhadap tumpuannya kepada Russia dan bimbang mereka boleh diketepikan daripada perbincangan untuk menamatkan perang.
Duta Besar Perancis ke PBB, Encik Nicolas de Riviere – yang Presidennya Encik Emmanuel Macron bertemu Encik Trump di Washington pada 24 Februari – berkata, walaupun Perancis “komited untuk keamanan di Ukraine, kami menyeru perdamaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan, dan sudah tentu bukan untuk menyerah kalah bagi pihak mangsa”.
Perhimpunan Agung sebelum ini menerima pakai dua resolusi, satu digubal oleh Ukraine dan Eropah dan satu lagi dirangka oleh Amerika yang dipinda oleh perhimpunan itu untuk menyokong Ukraine.
Undian tersebut memberikan Ukraine dan negara Eropah kemenangan diplomatik ke atas Washington. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg