Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump label Zelensky ‘diktator’, beri amaran segera bertindak atau hilang Ukraine

Feb 20, 2025 | 3:02 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan), menyifatkan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky (kiri), sebagai “diktator” yang berkuasa tanpa pilihan raya.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan), menyifatkan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky (kiri), sebagai “diktator” yang berkuasa tanpa pilihan raya. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengecam Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, sebagai “diktator” dan memberinya amaran supaya bergerak cepat untuk mencapai keamanan atau berisiko kehilangan negaranya.

Kenyataan Encik Trump pada 19 Februari itu dikatakan telah memperdalam persengketaan antara kedua-dua pemimpin yang turut mencemaskan pegawai Eropah.

Serangan luar biasa itu – sehari selepas Encik Trump mendakwa Ukraine dipersalah atas pencerobohan Russia pada 2022 – meningkatkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Amerika di Eropah bahawa pendekatan Encik Trump untuk menamatkan konflik Russia-Ukraine boleh menguntungkan Moscow.

Kurang sebulan menjadi presiden, Encik Trump, telah menukar dasar Amerika mengenai perang Ukraine, menamatkan kempen untuk mengasingkan Russia menyusuli perbualannya menerusi telefon dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan perbincangan antara pegawai kanan Amerika dengan Russia yang telah mengetepikan Ukraine.

“Seorang diktator tanpa pilihan raya, Zelensky lebih baik bergerak pantas atau jika tidak dia akan meninggalkan negaranya,” tulis Encik Trump di media sosial.

Sebagai tindak balas, Menteri Luar Ukraine, Encik Andrii Sybiha, berkata tiada sesiapa boleh memaksa negaranya supaya mengalah.

“Kami akan mempertahankan hak kami untuk wujud,” kata Encik Sybiha, di platform media sosial X.

Penggal lima tahun Zelenskyy sepatutnya berakhir pada 2024, tetapi pilihan raya presiden dan Parlimen tidak boleh diadakan di bawah undang-undang tentera yang dikenakan oleh Ukraine pada Februari 2022 sebagai tindak balas ke atas pencerobohan Russia.

Kenyataan Encik Trump itu berikutan komen Encik Zelensky pada 18 Februari bahawa presiden Amerika membicarakan maklumat palsu Russia apabila beliau menegaskan bahawa Ukraine “tidak sepatutnya memulakan” perang yang bermula dengan pencerobohan besar-besaran Russia tiga tahun lalu.

Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, pada 19 Februari memberi amaran kepada Encik Zelensky supaya tidak menyerang Encik Trump.

“Idea bahawa Zelensky akan mengubah fikiran presiden dengan memburuk-burukkannya di media awam... semua orang yang mengenali presiden akan memberitahu anda bahawa itu adalah cara yang kejam untuk menangani pentadbiran ini,” kata Encik Vance.

Russia telah merampas kira-kira 20 peratus daripada wilayah Ukraine dan perlahan-lahan tetapi secara berterusan memperoleh lebih banyak wilayah di timur.

Moscow berkata “operasi ketenteraan khasnya” bertujuan bertindak balas terhadap ancaman yang ditimbulkan oleh usaha Kyiv untuk menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Ukraine dan Barat pula menyifatkan tindakan Russia sebagai rampasan tanah kuasa imperialis. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg