Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PBB: Bantuan kemanusiaan tidak cukup bagi penduduk Gaza

Oct 31, 2023 | 01:33 PM



NEW YORK: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran pada Isnin bahawa bilangan terhad trak bantuan yang memasuki Gaza tidak mencukupi untuk memenuhi “keperluan kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelumnya” di wilayah itu.


“Segelintir konvoi yang dibenarkan melalui Rafah tidak ada maknanya berbanding keperluan lebih dua juta orang yang terperangkap di Gaza,” kata ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, kepada Majlis Keselamatan PBB.

Rafah merupakan satu-satunya lintasan sempadan antara Gaza dengan Mesir.

Menurut jurucakap PBB, Cik Stephane Dujarric, 33 trak membawa air, makanan dan bekalan perubatan memasuki Gaza melalui Rafah pada Ahad.

Sebelum perang, kira-kira 500 trak membawa bantuan dan barangan lain memasuki Gaza setiap hari.

Peperangan Israel-Palestin bermula selepas kumpulan militan Hamas melancarkan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober. Lebih 1,400 orang terbunuh.

Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Semenanjung Gaza, yang diperintah oleh Hamas. Israel berkata ia mahu memusnahkan kumpulan militan itu.

Tindakan tentera Israel telah membunuh lebih 8,000 orang di Gaza.

“Sistem yang membolehkan bantuan masuk ke Gaza tampak tidak berkesan melainkan ada kemahuan politik untuk menjadikan aliran bekalan sepadan dengan keperluan kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Encik Lazzarini, sambil menggesa Majlis Keselamatan supaya mendesak gencatan senjata kemanusiaan segera.

Beliau berkata 64 pekerja UNRWA terbunuh sepanjang lebih tiga minggu lalu, iaitu “jumlah tertinggi pekerja bantuan PBB yang terbunuh dalam masa singkat”.

Encik Lazzarini menambah bahawa seorang pekerja PBB bernama Samir serta isteri dan lapan anaknya terbunuh beberapa jam sebelum satu mesyuarat diadakan.

“Rakan-rakan sekerja UNRWA adalah satu-satunya cahaya harapan untuk seluruh Jaluran Gaza... tetapi mereka kehabisan bahan api, air, makanan dan ubat-ubatan dan tidak lama lagi akan tidak dapat beroperasi,” katanya lagi.

“Tiada perikemanusiaan terhadap seluruh penduduk Gaza!” tambahnya.

Ketua Dana Kanak-Kanak PBB (Unicef), Cik Catherine Russell, memberitahu majlis itu bahawa agensinya percaya “kos sebenar peningkatan konflik ini ialah kesannya pada kehidupan kanak-kanak – mereka yang hilang akibat keganasan dan nasib mereka yang berubah selama-lamanya olehnya”.

Perhimpunan Agung PBB menerima pakai ketetapan tidak mengikat minggu lalu yang menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksana, tetapi Majlis Keselamatan setakat ini gagal mencapai sebarang persetujuan. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >