GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kekurangan bahan api yang teruk di Gaza telah mencapai tahap genting dan menambah kepada penderitaan yang dihadapi warga Palestin di sana.
Tujuh agensi PBB dalam satu kenyataan bersama pada 12 Julai berkata:
“Bahan api adalah tulang belakang dan membolehkan hidup berterusan di Gaza”.
Menambah, mereka berkata bahan api diperlukan oleh hospital untuk berfungsi, sistem air, rangkaian sanitasi, ambulans dan setiap aspek operasi kemanusiaan.
Wilayah Palestin yang terkepung ini telah menghadapi kekurangan bahan api yang serius sejak Israel menyerang Gaza sebagai tindak balas ke atas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober.
Sebahagian Gaza kini hancur-lebur dan tidak sesuai untuk didiami, kata agensi-agensi yang memberi amaran itu.
Agensi-agensi itu, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Program Makanan Sedunia (WFP), dan Pejabat PBB untuk Menyelaras Ehwal Kemanusiaan (OCHA), berkata “kekurangan bahan api di Gaza telah mencapai tahap kritikal”.
“Selepas peperangan hampir dua tahun, penduduk Gaza berhadapan dengan kesulitan yang amat dahsyat, termasuk kekurangan makanan yang meluas,” kata agensi-agensi itu.
“Apabila bahan api habis, ia memberi beban yang tidak mampu ditanggung oleh penduduk yang sudah berada di ambang kebuluran.”
PBB berkata tanpa bahan api yang mencukupi, agensi-agensi yang sedang menyediakan bantuan kemanusiaan di Gaza besar kemungkinan terpaksa menghentikan operasi mereka sepenuhnya.
“Ini bermaksud tiada perkhidmatan kesihatan, tiada air bersih dan tiada kemampuan untuk menghantar bantuan,” kata kenyataan itu.
“Tanpa bahan api yang mencukupi, Gaza berisiko menghadapi kemusnahan,” tegas mereka.
“Tanpa bahan api, kedai roti dan dapur komuniti tidak dapat beroperasi. Pengeluaran air dan sistem sanitasi akan terhenti, meninggalkan keluarga tanpa air bersih, manakala sampah dan sisa pepejal akan bertimbun di jalanan,” tambah kenyataan itu.
“Keadaan ini mendedahkan keluarga kepada wabak penyakit maut dan semakin mendekatkan golongan paling terdedah di Gaza kepada kematian.”
Amaran ini dikeluarkan beberapa hari selepas PBB berjaya membawa bahan api ke Gaza untuk kali pertama dalam 130 hari.
Walaupun dianggap sebagai ‘perkembangan yang dialu-alukan’, agensi-agensi PBB menyatakan bahawa 75,000 liter bahan api yang dibawa masuk itu hanya ‘sebahagian kecil’ daripada jumlah yang diperlukan setiap hari untuk memastikan kehidupan berterusan dan bantuan kritikal dapat diteruskan di Gaza.
“Agensi-agensi PBB dan rakan-rakan kemanusiaan tidak boleh terlalu menekankan kepentingan mendesak saat ini,” tambah mereka.
“Bahan api perlu dibenarkan masuk ke Gaza dalam jumlah yang mencukupi dan secara berterusan bagi menyokong operasi yang menyelamatkan nyawa.” – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg