Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Saudi gagalkan rancangan AS pindahkan ratusan ribu penduduk Gaza

Jul 10, 2025 | 9:54 AM
pindah, penduduk palestin, gaza
Penduduk Palestin bergerak bersama barangan peribadi mereka melalui kawasan Jabalia ketika mereka melarikan diri dari utara Jaluran Gaza menuju ke Bandar Gaza pada 19 Mei, susulan arahan pemindahan oleh Israel dan serangan yang masih berterusan. - Foto AFP

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi memainkan peranan penting dalam menggagalkan rancangan Amerika Syarikat untuk memindahkan ratusan ribu penduduk Palestin dari Jaluran Gaza, menurut laporan portal berita Israel berbahasa Ibrani, Walla.

Laporan itu memetik sumber Israel yang mendakwa bahawa Presiden Amerika Donald Trump, menarik balik sokongannya terhadap pelan berkenaan selepas lawatannya ke Riyadh dan menandatangani beberapa perjanjian strategik dengan kepimpinan Arab Saudi.

Menurut Walla, Israel mengesan perubahan ketara dalam pendirian Amerika selepas lawatan Encik Trump ke Arab Saudi pada Mei.

Lawatan itu dilaporkan telah memperbaiki hubungan Amerika-Arab Saudi, diperkuatkan lagi dengan perjanjian penting dalam bidang ekonomi dan keselamatan

Pada Februari, Encik Trump secara terbuka mengemukakan cadangan apa yang disebutnya sebagai “pelan migrasi sukarela” untuk Gaza.

Cadangan itu termasuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan menjadikan kawasan itu sebagai ‘Riviera Timur Tengah’ melalui pelaburan semula dalam projek pembangunan semula.

Namun, cadangan itu mengundang kecaman hebat daripada dunia Arab dan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang melihatnya sebagai cubaan terselindung untuk melaksanakan pemindahan paksa secara besar-besaran.

“Pelan itu tidak lebih daripada retorik politik dan tidak pernah ke peringkat pelaksanaan sebenar,” kata salah seorang pegawai Israel kepada Walla.

“Selepas Encik Trump bertemu pemimpin Saudi, ia dengan jelas menunjukkan perubahan pendirian Amerika,” tambahnya.

Menurut laporan tersebut, rancangan Amerika turut merangkumi dana sebanyak AS$2 bilion ($2.56 bilion) untuk membina “zon peralihan kemanusiaan” di dalam dan luar Gaza.

Namun, kekurangan tekanan diplomatik sebenar dari Amerika serta tentangan tegas Arab Saudi terhadap sebarang bentuk pemindahan telah menggagalkan pelan itu pada peringkat awal lagi.

“Arab Saudi tidak akan sesekali menyokong pemindahan rakyat Palestin. Kedudukan ini telah disampaikan secara langsung kepada pihak Amerika,” kata seorang diplomat Timur Tengah yang enggan dikenali.

Sumber Israel turut mengesahkan bahawa usaha meyakinkan negara lain menerima penduduk Gaza yang dipindahkan tidak membuahkan hasil, walaupun pelbagai pendekatan telah diambil beberapa bulan lalu.

Dalam kalangan pembuat dasar Israel, pengunduran Amerika daripada ‘rancangan perpindahan Gaza’ itu dianggap sebagai satu tamparan terhadap usaha Tel Aviv.

Israel dikatakan bergantung kepada sokongan Washington untuk mempromosikan rancangan itu kepada negara lain yang mungkin bersedia menerima penduduk Gaza yang dipindahkan.

Meskipun terdapat usaha mendekati beberapa negara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tiada hasil konkrit yang dicapai.

Laporan itu disiarkan ketika kumpulan Hamas mengumumkan persetujuan membebaskan 10 tebusan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mencapai gencatan senjata di Gaza, sambil menyifatkan rundingan itu sebagai “sukar” akibat “kedegilan” Israel.

Hamas menyatakan bahawa beberapa isu masih menjadi penghalang dalam rundingan gencatan senjata, termasuk kemasukan bantuan kemanusiaan, pengunduran tentera Israel dari Gaza, serta jaminan yang “tulen” untuk satu gencatan senjata kekal.

Terdahulu, Encik Trump menyatakan bahawa terdapat “peluang yang sangat baik” untuk mencapai gencatan senjata di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg