Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB bincang nahas pesawat Russia yang korban 65 tawanan perang Ukraine

Jan 25, 2024 | 1:15 PM
SIDANG TERGEMPAR: Menteri Luar Sergei Lavrov berkata Russia menggesa diadakan sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB supaya Ukraine dapat menjelaskan bagaimana pesawat tersebut jatuh.
SIDANG TERGEMPAR: Menteri Luar Sergei Lavrov berkata Russia menggesa diadakan sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB supaya Ukraine dapat menjelaskan bagaimana pesawat tersebut jatuh. - Foto IGOR SUSHKO/X

WASHINGTON: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju untuk bertemu bagi membincangkan nahas pesawat Russia yang dikatakan Moscow membawa askar Ukraine yang ditawan bagi satu pertukaran tawanan.

Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, berkata Russia menggesa diadakan satu sesi tergempar Majlis Keselamatan bagi membincangkan nahas itu.

Moscow menuduh Kyiv sengaja menembak jatuh pesawat pengangkutan tentera yang membawa 65 askar Ukraine yang ditawan itu bagi pertukaran tawanan, dalam apa yang disifatkannya sebagai tindakan pengganasan biadab yang membunuh 74 orang.

Majlis itu bersetuju untuk bermesyuarat pada 25 Januari pada 5 petang (6 pagi waktu Singapura pada 26 Januari).

Encik Lavrov menyifatkan penembakan jatuh pesawat itu pada 24 Januari sebagai tindakan “jenayah” oleh Ukraine, dan berkata Russia mahukan sesi itu supaya Ukraine dapat menjelaskan bagaimana pesawat tersebut jatuh.

“Tawanan perang Ukraine itu dibawa ke wilayah Belgorod untuk satu lagi pertukaran yang dipersetujui antara Moscow dan Kyiv,” katanya.

“Sebaliknya, Ukraine melancarkan peluru berpandu pertahanan udara dari daerah Kharkov (juga dikenali sebagai Kharkiv). Ia menyasarkan pesawat itu dan satu serangan maut.”

Kyiv tidak secara langsung mengesahkan ia telah menembak jatuh pesawat itu, mahupun banduan Ukraine berada di dalamnya.

Tetapi selepas jeda yang lama, tentera Ukraine berkata ia akan terus memusnahkan pesawat pengangkutan tentera Russia yang dipercayai membawa peluru berpandu bagi menyerang Ukraine.

Rakaman video yang disiarkan di Telegram oleh Baza, saluran yang dikaitkan dengan perkhidmatan keselamatan Russia, dan disahkan oleh Reuters, menunjukkan sebuah pesawat besar jatuh berhampiran perkampungan Yablonovo di daerah Belgorod dan meletup.

Reuters tidak dapat segera mengesahkan butiran siapa berada di dalam pesawat itu, tetapi Moscow dan Kyiv kerap bertukar-tukar tawanan sejak Russia memulakan apa yang dipanggilnya “operasi ketenteraan khas” ke atas Ukraine pada Februari 2022.

Media negara Russia menyiarkan nama 65 askar Ukraine yang dikatakannya berada dalam pesawat itu, bersama tarikh lahir mereka. Senarai itu tidak dapat disahkan oleh Reuters. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg