NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa gencatan senjata di Gaza dijadikan kekal ketika konflik itu memasuki tahun keempat, sambil menuntut bantuan kemanusiaan disalurkan secara besar-besaran dan undang-undang antarabangsa dihormati.

Gesaan itu dibuat menjelang ulang tahun ketiga serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza dan kemudian merebak menjadi konflik lebih luas di Timur Tengah.

“Sudah tiba masanya gencatan senjata menjadi kekal. Sudah tiba masanya bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk secara besar-besaran. Dan sudah tiba masanya undang-undang antarabangsa dihormati,” kata Encik Guterres dalam satu kenyataan pada 5 Oktober.

Beliau turut menggesa diwujudkan laluan politik yang boleh membawa kepada keamanan berkekalan di seluruh rantau itu.

“Biarlah ulang tahun ini bukan sekadar menandakan satu lagi tahun berkabung, tetapi juga memperbaharui tekad untuk membina masa depan yang berbeza – masa depan apabila rakyat Israel dan Palestin dapat hidup berdampingan dalam keamanan dan keselamatan, dengan hak, maruah dan aspirasi mereka dipenuhi,” katanya.

Encik Guterres menyifatkan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 sebagai “keji”, sambil mengingatkan bahawa lebih 1,200 rakyat Israel dan warga asing terbunuh, manakala 251 orang dijadikan tebusan.

Pada masa sama, beliau menekankan penderitaan besar yang dialami rakyat Palestin di Gaza akibat operasi ketenteraan Israel selama tiga tahun.

Menurutnya, penduduk Gaza berdepan kehilangan nyawa secara besar-besaran, pemindahan penduduk dan kemusnahan meluas.

“Penderitaan mereka juga mesti dihentikan sekarang,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 74,200 orang terbunuh akibat operasi ketenteraan Israel sejak perang bermula.

Encik Guterres berkata gencatan senjata singkat yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada Oktober 2025 membawa sedikit kelegaan kepada penduduk Gaza.

Namun, katanya, ia masih gagal menjamin keselamatan, memastikan bantuan kemanusiaan mencukupi atau menyediakan laluan yang boleh dipercayai ke arah pemulihan dan keamanan.

Pertikaian mengenai masa depan Gaza kekal menjadi antara halangan utama kepada penyelesaian politik.

Israel, yang masih menguasai sebahagian besar Gaza, enggan mengundurkan tenteranya sehingga proses melucutkan senjata Hamas dapat disahkan.

Hamas pula mahukan proses nyahsenjata dilakukan secara berperingkat dan menolak tuntutan supaya menyerahkan seluruh senjatanya dengan serta-merta dan secara sepihak.

Di Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan Hamas tidak akan dibenarkan kembali memerintah Gaza.

Berucap dalam upacara memperingati mangsa serangan 7 Oktober di tanah perkuburan tentera Mount Herzl di Baitulmaqdis pada Isnin, Encik Netanyahu berkata Israel sudah mencapai banyak kejayaan tetapi masih mempunyai beberapa misi yang perlu diselesaikan.

“Kami telah mencapai pencapaian besar, tetapi masih ada misi di hadapan kami dan kami berhasrat menyelesaikannya,” katanya.

5 Oktober ditetapkan sebagai hari peringatan kebangsaan di Israel, dengan bendera di bangunan awam diturunkan separuh tiang mulai 6.29 pagi, waktu serangan pada 7 Oktober 2023 bermula.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, pula berkata tentera sudah diarahkan memburu dan membunuh individu yang masih hidup yang didakwa terbabit dalam serangan tersebut.

Menurut Encik Katz, kira-kira 6,000 penyerang memasuki Israel pada 7 Oktober 2023, dengan kira-kira 4,000 daripada mereka sudah terbunuh.

Beliau mendakwa kira-kira 2,000 lagi masih hidup.

“Kami mengarahkan tentera memburu dan membunuh mereka semua, daripada yang paling kanan hingga paling rendah,” katanya.

Israel turut membunuh sebahagian besar kepimpinan kanan Hamas sepanjang operasi ketenteraannya selama tiga tahun, termasuk Yahya Sinwar dan adiknya, Mohammed Sinwar.

Konflik yang bermula di Gaza turut berkembang ke beberapa medan lain di rantau itu.

Israel melancarkan operasi ketenteraan di selatan Lebanon terhadap Hezbollah, kumpulan yang disokong Iran, sebelum konflik serantau semakin melebar dengan perang menentang Iran yang dilancarkan bersama Amerika Syarikat pada akhir Februari.

Dalam perkembangan berasingan, pendakwa raya Israel pada 5 Oktober mendakwa seorang profesor universiti kerana disyaki merancang serangan terancang yang bertujuan membunuh “ratusan” warga Arab Israel dan rakyat Palestin di Tebing Barat.

Lelaki berusia lingkungan 60-an dari Petah Tikva itu ialah pensyarah matematik di Universiti Bar-Ilan, dekat Tel Aviv. Identitinya tidak boleh didedahkan berikutan perintah mahkamah.

Menurut Pejabat Peguam Negara Israel, suspek dipercayai merancang serangan itu sejak tiga tahun lalu dan didorong ideologi nasionalis.

Beliau ditangkap dua minggu lalu.

Gesaan terbaru Encik Guterres muncul ketika tiga tahun peperangan bukan sahaja meninggalkan kemusnahan besar di Gaza, malah mengubah landskap keselamatan Timur Tengah.

Bagi ketua PBB itu, ulang tahun 7 Oktober perlu menjadi titik untuk beralih daripada kitaran peperangan kepada penyelesaian politik yang menjamin keselamatan serta hak rakyat Israel dan Palestin. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti