PBB gesa Israel izin lebih ramai pesakit Gaza lintasi Rafah untuk rawatan
PBB gesa Israel izin lebih ramai pesakit Gaza lintasi Rafah untuk rawatan
NEW YORK: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Antonio Guterres, sekali lagi meminta Israel agar segera membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Jaluran Gaza, ketika Israel terus menyekat rakyat Palestin daripada keluar dari kawasan yang dilanda perang untuk mendapat rawatan perubatan.
Encik Guterres membuat rayuan itu pada 3 Februari ketika lebih 100 rakyat Palestin yang sakit dan cedera berkumpul di lintasan Rafah yang baru dibuka semula antara Gaza dengan Mesir, untuk mengakses rawatan perubatan di luar negara.
“Saya juga menyeru agar kemudahan laluan bantuan kemanusiaan yang cepat dan tanpa halangan pada skala besar termasuk melalui lintasan Rafah,” kata Encik Guterres, semasa berucap di ibu pejabat PBB di New York.
Menurut laporan, hanya 16 rakyat Palestin dibenarkan menyeberang ke Mesir melalui Rafah pada 3 Februari.
Sehari sebelumnya, hanya lima orang diberi kebenaran, manakala 12 orang dibenarkan kembali ke Gaza.
Jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah daripada 50 rakyat Palestin yang menurut pegawai Israel akan dibenarkan pergi ke setiap arah melalui lintasan itu.
“Tiada penjelasan mengapa lintasan di Rafah dikawal ketat. Proses ini mengambil masa yang sangat lama,” kata seorang kakitangan agensi berita.
Beliau menambah bahawa rakyat Palestin terpaksa meninggalkan semua barang mereka ketika melalui lintasan itu, yang sehingga 2 Februari kebanyakannya ditutup selama hampir dua tahun semasa perang bermula pada 7 Oktober 2023.
Perang meletus selepas Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditawan sebagai tebusan.
“Terdapat kira-kira 20,000 orang menunggu di Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan segera di luar negara,” ujar kakitangan agensi itu.
Sementara itu, tentera Israel telah membunuh seorang remaja Palestin berusia 19 tahun berhampiran Khan Younis, walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya berkuat kuasa mulai Oktober 2025.
Hospital Nasser Gaza berkata lelaki itu ditembak di kawasan yang jauh dari tempat tentera Israel telah merampas kawalan sepenuhnya. .
Ini menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak permulaan gencatan senjata kepada 529, lapor Kementerian Kesihatan Gaza.
Kebanyakan hospital dan prasarana perubatan di Gaza telah musnah akibat serangan Israel, menyebabkan pesakit yang cedera parah dan sakit kronik tidak dapat dirawat di dalam wilayah Palestin itu. – Agensi berita.

