Lintasan Rafah dibuka semula: Hanya lima pesakit Gaza dibenar keluar hari pertama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lintasan Rafah dibuka semula: Hanya lima pesakit Gaza dibenar keluar hari pertama

Feb 3, 2026 | 1:17 PM

Lintasan Rafah dibuka semula: Hanya lima pesakit Gaza dibenar keluar hari pertama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lintasan Rafah, Gaza, Israel
Pesakit Palestin berkumpul di dalam Hospital Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di Khan Younis, selatan Jaluran Gaza, pada 2 Februari 2026. Seramai lima pesakit Palestin dibenarkan menyeberangi lintasan sempadan Rafah untuk mendapatkan rawatan perubatan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa mereka telah menerima kelulusan pihak Israel untuk ke Mesir. - Foto EPA

RAFAH: Israel membuka semula lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir pada 2 Februari selepas hampir dua tahun ditutup, namun pembukaan itu dilakukan secara terhad apabila hanya lima pesakit Palestin dibenarkan keluar dari Gaza pada hari pertama operasi, menurut sumber perubatan yang dipetik Al Jazeera.

Lintasan Rafah merupakan satu-satunya pintu keluar Gaza yang tidak melalui Israel dan berperanan penting sebagai laluan bantuan kemanusiaan untuk pemindahan perubatan serta kemasukan bantuan.

Pembukaannya dibuat selaras dengan perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat bagi menghentikan perang Israel di Gaza yang berkuat kuasa sejak Oktober lalu.

Namun, permulaan operasi yang perlahan menimbulkan persoalan tentang keberkesanan dan skala sebenar pembukaan tersebut.

Seorang pegawai Mesir sebelum ini memaklumkan bahawa sehingga 50 rakyat Palestin dijangka menyeberangi sempadan pada setiap arah pada hari pertama. Namun, sehingga malam 2 Februari, tidak jelas berapa ramai yang benar-benar berjaya melintas masuk atau keluar dari Gaza.

Di pihak Mesir, kira-kira 150 hospital telah disiapkan untuk menerima pesakit Palestin, manakala Bulan Sabit Merah Mesir menyediakan ruang selamat bagi menampung mereka yang dipindahkan.

Di Hospital Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di Khan Younis, selatan Gaza, sebuah van mini berlepas sejurus selepas 1 tengah hari membawa lima pesakit, masing-masing ditemani dua penjaga, menuju ke lintasan Rafah. Antara mereka ialah Encik Akram Mahdi, 61 tahun, seorang jurutera mekanikal yang cedera parah akibat serangan udara Israel pada April 2024 berhampiran rumahnya di sebuah kem pelarian di tengah Gaza.

Anaknya, Encik Mohammed Mahdi, 25 tahun, berkata serpihan letupan mencederakan wajah bapanya sehingga menyebabkan beliau buta mata kanan dan mengalami kerosakan serius pada mata kiri. “Akhirnya kami dapat peluang untuk mendapatkan rawatan lanjutan di luar negara,” katanya sebelum menaiki kenderaan.

Israel dan Mesir sebelum ini berbulan-bulan berbeza pendapat mengenai syarat pembukaan semula lintasan Rafah, yang turut menjadi sebahagian daripada rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk menamatkan perang di Gaza. Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, Israel mengekalkan penutupan lintasan itu sebagai tekanan sehingga semua tebusan yang ditawan dalam serangan 7 Oktober 2023 dipulangkan.

Al Jazeera melaporkan jumlah yang kecil pada hari pertama mencerminkan ketatnya proses saringan keselamatan Israel. Ambulans yang membawa pesakit dilaporkan menunggu selama berjam-jam sebelum akhirnya dibenarkan menyeberang selepas matahari terbenam.

Menurut Reuters, pasukan pemantau Eropah telah tiba di lintasan Rafah.

Misi Bantuan Sempadan Kesatuan Eropah (EUBAM) akan menguruskan bahagian Palestin lintasan tersebut, dengan mengemukakan senarai nama individu yang ingin keluar dari Gaza kepada pihak Mesir untuk kelulusan.

Senarai kemasukan dari Mesir pula akan disemak dan kelulusan hanya diberikan selepas melepasi saringan keselamatan Israel.

Tentera Israel turut menubuhkan sebuah pusat pemeriksaan dikenali sebagai ‘Regavim’ di kawasan di bawah kawalannya berhampiran zon sempadan.

Di situ, identiti mereka yang memasuki Gaza akan disemak berasaskan senarai risikan Israel dan barangan peribadi diperiksa secara menyeluruh.

Keperluan kemanusiaan di Gaza kekal mendesak. Penutupan lintasan Rafah sejak Mei 2024 telah memutuskan laluan utama pesakit untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza. Walaupun beberapa ribu pesakit dibenarkan keluar melalui Israel sepanjang 2025, puluhan ribu lagi masih menunggu rawatan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB menyambut baik pembukaan semula pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dan Jalruan Gaza, menurut jurucakapnya, Stephane Dujarric pada 2 Februari, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Saya boleh katakan bahawa kami menyambut baik pembukaan semula lintasan Rafah. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, orang awam mesti dibenarkan keluar dan pulang secara sukarela serta selamat, seperti yang dituntut oleh undang-undang antarabangsa.“Akhir sekali, bekalan kemanusiaan utama mesti dibawa masuk dalam kuantiti yang mencukupi dengan sekatan yang dikurangkan, melalui Rafah dan semua lintasan lain,” kata Encik Dujarric kepada pemberita.

Ketua Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza, Encik Ali Shaath, menyifatkan pembukaan lintasan Rafah sebagai langkah awal yang penting. “Ini bukan sekadar langkah pentadbiran, tetapi permulaan kepada satu laluan panjang untuk membuka jendela harapan sebenar kepada rakyat Gaza,” katanya. Beliau menegaskan mekanisme pendaftaran dan keutamaan akan diumumkan bagi memastikan ketelusan dan peluang yang adil.

Menurut laporan media Israel, sekitar 150 orang akan dibenarkan keluar dan 50 orang masuk setiap hari. Pegawai kesihatan Gaza menganggarkan 22,000 pesakit masih menunggu lintasan dibuka sepenuhnya untuk mendapatkan rawatan di luar negara.

Israel merampas lintasan Rafah pada Mei 2024, hampir sembilan bulan selepas melancarkan perang yang telah meragut lebih 71,000 nyawa dan mencederakan lebih 171,000 orang sejak Oktober 2023. Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, serangan Israel dilaporkan berterusan, mengorbankan ratusan lagi.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Israel akan kekal bertanggungjawab terhadap keselamatan keseluruhan walaupun tenteranya tidak ditempatkan di lintasan berkenaan.

“Kami tidak akan menghalang sesiapa daripada keluar,” katanya, sambil menambah jumlah yang dibenarkan akan meningkat secara berperingkat.

Buat masa ini, kemasukan barangan melalui Lintasan Rafah masih tidak dibenarkan.

Senarai harian individu yang ingin masuk atau keluar perlu terus dikemukakan kepada Israel untuk saringan – mencerminkan realiti bahawa pembukaan semula lintasan ini masih terhad dan dikawal ketat meskipun ia membawa sedikit kelegaan kepada ribuan rakyat Gaza yang terdesak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg