Topik diikuti
Pergi ke BHkuPBB: Israel terus lakukan tindakan genosid di Gaza meski gencatan senjata
PBB: Israel terus lakukan tindakan genosid di Gaza meski gencatan senjata
GENEVA: Sebuah suruhanjaya siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Israel masih melakukan tindakan genosid terhadap penduduk Palestin di Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata sudah berkuat kuasa sejak Oktober 2025.
Suruhanjaya itu turut menuduh Israel melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di Tebing Barat menerusi operasi ketenteraan, pembunuhan orang awam dan pengusiran penduduk Palestin secara besar-besaran.
Dakwaan itu terkandung dalam laporan terbaru Suruhanjaya Siasatan Bebas PBB yang dibentangkan kepada Perhimpunan Agung PBB pada 26 Oktober, sehari sebelum pilihan raya umum pertama Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Laporan tersebut menyatakan bahawa serangan udara, bedilan meriam dan tembakan tentera Israel mengorbankan 1,431 penduduk Palestin di Gaza, termasuk 300 kanak-kanak, antara 10 Oktober 2025 dengan akhir September 2026.
Angka itu, menurut suruhanjaya berkenaan, menunjukkan pengganasan masih berterusan walaupun perjanjian gencatan senjata telah dicapai.
Suruhanjaya itu turut menolak dakwaan Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada Mei lalu bahawa gencatan senjata di Gaza secara keseluruhannya masih dipatuhi.
Menurut laporan tersebut, tentera Israel terus melancarkan serangan yang didakwa bertujuan memusnahkan sebahagian atau keseluruhan penduduk Palestin di Gaza.
Suruhanjaya itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai mempunyai unsur niat genosid, iaitu usaha memusnahkan sesuatu kumpulan berdasarkan identiti kebangsaan, etnik, kaum atau agama mereka.
Pengerusi suruhanjaya itu, Encik Srinivasan Muralidhar, berkata pembunuhan orang awam, kemusnahan rumah dan pengusiran penduduk Palestin di Tebing Barat merupakan sebahagian daripada tindakan lebih luas yang menyebabkan kawasan tersebut semakin sukar didiami.
Menurut beliau, tindakan itu diburukkan lagi oleh keengganan Israel mengakui tanggungjawab terhadap kemusnahan dan kehilangan nyawa.
Suruhanjaya berkenaan dianggotai tiga pakar hak asasi manusia, termasuk Encik Chris Sidoti dari Australia dan Cik Florence Mumba, seorang hakim dari Zambia yang pernah berkhidmat dalam tribunal antarabangsa bagi menyiasat jenayah perang di bekas Yugoslavia dan Rwanda.
Laporan itu juga mendakwa pemerintah dan pasukan keselamatan Israel sengaja menyebabkan kematian, kecederaan serius serta penderitaan mental terhadap kanak-kanak Palestin.
Suruhanjaya tersebut menyifatkannya sebagai penganiayaan berdasarkan usia kerana kanak-kanak didakwa menjadi sasaran dalam serangan terhadap penduduk awam.
Selain itu, penyiasat PBB melaporkan lebih banyak kes penderaan seksual terhadap tahanan Palestin dari Gaza dan Tebing Barat.
Antara perbuatan yang didakwa berlaku termasuk rogol berkumpulan, sentuhan seksual tanpa kerelaan, memaksa tahanan berbogel dan pemeriksaan tubuh secara paksa.
Dua kes keganasan seksual terhadap peserta armada kemanusiaan yang cuba memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza turut disiasat.
Bagaimanapun, Israel menolak sekeras-kerasnya semua tuduhan tersebut.
Perwakilan tetap Israel ke PBB di Geneva menyifatkan laporan itu sebagai penyebaran maklumat palsu yang bertujuan memburukkan imej negara tersebut.
Duta Israel di Geneva, Encik Daniel Meron, turut mengecam suruhanjaya itu kerana didakwanya cuba menjejaskan kesahihan kewujudan Israel serta menafikan hak negara itu mempertahankan diri.
Di Tebing Barat pula, laporan PBB menyatakan 1,080 penduduk Palestin terbunuh sejak perjanjian gencatan senjata Gaza berkuat kuasa.
Menurut suruhanjaya itu, pasukan keselamatan Israel bertanggungjawab terhadap 95 peratus kematian dan 82 peratus kecederaan yang dicatatkan sepanjang tempoh tersebut.
Pengganasan oleh penduduk haram Yahudi turut meningkat, sekali gus memburukkan keadaan keselamatan penduduk Palestin.
Suruhanjaya itu menyimpulkan bahawa operasi ketenteraan Israel bersama pengganasan penduduk haram merupakan sebahagian daripada serangan meluas dan sistematik terhadap penduduk awam, yang didakwanya memenuhi unsur jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa lebih 34,000 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal akibat operasi ketenteraan Israel antara Januari 2025 dengan Ogos 2026.
Menurut suruhanjaya itu, keadaan tersebut merupakan pengusiran penduduk Palestin terbesar di Tebing Barat sejak 1967, apabila Israel menawan wilayah berkenaan daripada Jordan.
Pada masa yang sama, suruhanjaya PBB turut mengkritik Penguasa Palestin (PA) yang mentadbir sebahagian Tebing Barat.
Laporan itu mendakwa pasukan keselamatan PA menggunakan kekerasan berlebihan dalam operasi terhadap rakyat Palestin yang dikehendaki Israel, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 kematian dalam tempoh kira-kira dua tahun sehingga Oktober 2025.
PA turut dituduh menyasarkan wartawan dan aktivis hak asasi manusia bagi menyekat kritikan terhadap operasinya.
Bagaimanapun, Duta Palestin ke PBB di Geneva, Encik Ibrahim Khraishi, menegaskan pihaknya komited memastikan penguatkuasaan undang-undang menghormati hak asasi manusia, termasuk kebebasan bersuara dan kebebasan media.
Beliau berkata sebarang salah laku oleh anggota keselamatan akan ditangani.
Penemuan terbaru itu menyusuli laporan suruhanjaya sama pada September 2025 yang pertama kali menuduh Israel melakukan genosid di Gaza.
Bagaimanapun, kes genosid yang difailkan Afrika Selatan terhadap Israel masih menunggu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.
Laporan suruhanjaya PBB itu merupakan hasil siasatan bebas dan bukan keputusan muktamad mahkamah antarabangsa mengenai tanggungjawab undang-undang Israel. – Agensi berita.