NEW YORK: Krisis Gaza mendominasi pembukaan Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81 pada 22 September.

Beberapa pemimpin dunia berulang kali menggunakan istilah “genosid” untuk menggambarkan tindakan Israel, selain memberi amaran mengenai keganasan penduduk haram dan peluasan petempatan di Tebing Barat yang diduduki.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, menetapkan nada tegas dalam ucapan terakhirnya di Perbahasan Umum sebelum menamatkan penggalnya.

Beliau memberi amaran bahawa dunia berdepan empat “ujian kuasa” melibatkan peperangan, ketidaksamaan, perubahan iklim dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau mengecam pencerobohan Russia ke atas Ukraine sebagai perang yang melanggar Piagam PBB, sebelum memberi perhatian panjang kepada Gaza dan Tebing Barat.

Encik Guterres berkata hampir tiga tahun selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza telah menyebabkan kematian dan kemusnahan pada skala yang belum pernah disaksikannya sepanjang memimpin PBB.

Beliau memberi amaran dunia tidak boleh mengabaikan keadaan di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki, sambil berkata penyelesaian dua negara sedang “lenyap di depan mata kita”.

Mengenai Tebing Barat, Encik Guterres berkata keganasan, pemindahan penduduk Palestin dan peluasan penempatan Israel sedang “meratakan laluan menuju keamanan” dan meningkatkan risiko pembersihan etnik.

Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, menolak kritikan itu dan menyifatkannya sebagai “propaganda anti-Israel di bawah panji PBB”.

Presiden Brazil, Encik Luiz Inácio Lula da Silva, yang secara tradisi menjadi pemimpin negara pertama berucap dalam Perbahasan Umum, turut menggunakan istilah “genosid” ketika mengecam pemerintahan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Menurutnya, generasi rakyat Palestin akan terus menanggung kesakitan dan trauma akibat apa yang disifatkannya sebagai “genosid wanita dan kanak-kanak” oleh pemerintahan Encik Netanyahu di Gaza.

Encik Lula pada masa sama mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober dan mengkritik peluasan penempatan Israel di Tebing Barat, yang menurutnya menjadikan penyelesaian dua negara semakin sukar dicapai.

Raja Jordan, Raja Abdullah II, pula memberi amaran bahawa apa yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat tidak boleh dilihat sebagai perkembangan berasingan.

Beliau mendedahkan sekurang-kurangnya 300 kanak-kanak Palestin terkorban dalam tempoh 300 hari pertama sejak gencatan senjata Gaza yang diusahakan Amerika.

Dalam masa yang sama, beliau membidas Israel kerana terus memusnahkan prasarana awam dan menyempitkan kawasan perlindungan rakyat Palestin kepada satu pertiga wilayah Gaza.

“Apakah sebenarnya nilai undang-undang antarabangsa, dan bagaimanakah kita boleh menguatkuasakannya jika kita tidak mahu pun bersuara apabila ia dilanggar?” katanya.

Menurut Raja Abdullah, kegagalan masyarakat antarabangsa bertindak bukan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, sebaliknya satu pilihan.

“Setiap pelanggaran baharu Israel dianggap sementara... sehingga yang sementara menjadi kekal, dan yang kekal menjadi dasar,” katanya.

Raja Abdullah berkata Gaza sedang diubah menerusi kemusnahan, manakala Tebing Barat melalui apa yang disifatkannya sebagai pengilhakan secara de facto, dengan matlamat yang sama iaitu menjadikan sebuah negara Palestin yang berdaya maju semakin sukar diwujudkan.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, turut mengecam keras Israel dan mengkritik ketidakupayaan PBB menghentikan peperangan.

Beliau membangkitkan ketiadaan Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, di New York bagi tahun kedua berturut-turut dan menyeru lebih banyak negara mengiktiraf negara Palestin.

Encik Erdogan turut menuduh Israel melakukan genosid di Gaza, dakwaan yang ditolak Israel.

Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, pula menyifatkan keadaan di Gaza sebagai “genosid dalam setiap erti kata”, sambil mempersoalkan bagaimana sebuah aturan antarabangsa boleh dianggap adil selagi isu Palestin terus menjadi titik butanya.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, turut mengkritik tindakan Israel, dengan menyifatkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza sebagai keadaan yang “memalukan kita semua”.

Beliau turut mengecam keganasan penduduk haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Israel menolak kritikan itu dan menegaskan ancaman keselamatan terhadap rakyatnya masih berterusan, termasuk serangan oleh kumpulan bersenjata Palestin di Tebing Barat.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menggunakan ucapannya untuk menonjolkan peranan pentadbirannya dalam gencatan senjata Gaza dan rancangan pascaperang.

Beliau berkata hampir 30 negara telah menyertai Lembaga Keamanan, yang dipengerusikannya bagi menyelia kestabilan dan pembangunan semula Gaza.

Menurut Encik Trump, beberapa negara termasuk Maghribi, Bahrain, Qatar, Kuwait, Kazakhstan, Arab Saudi, Turkey dan Uzbekistan telah menjanjikan bantuan kewangan bagi usaha kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza.

Beliau turut berterima kasih kepada negara termasuk Indonesia, Maghribi, Albania, Kosovo dan Kazakhstan yang menurutnya menawarkan anggota keselamatan, selain Mesir dan Jordan yang akan membantu dari segi latihan.

Encik Trump tidak memberikan butiran mengenai jumlah anggota atau bilakah mereka akan dikerahkan.

Presiden Amerika itu mendakwa pentadbirannya berjaya menamatkan perang Gaza dan membawa pulang semua tebusan, sambil berkata Lembaga Keamanan akan membantu memastikan gencatan senjata berkekalan, bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk dan usaha pembinaan semula diteruskan.

Perhatian terhadap konflik itu dijangka berterusan apabila Encik Netanyahu berucap di Perhimpunan Agung pada 24 September, ketika beliau dijangka mempertahankan dasar Israel di Gaza serta tindakan negaranya dalam konflik dengan Iran. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti