Topik diikuti
Pergi ke BHkuPBB lanjut sekatan terhadap Yaman susulan serangan Houthi ke atas Saudi
Saudi pintas dron, Houthi tingkat serangan kemudahan minyak sedang lebih 333,000 penduduk tninggalkan kediaman akibat pertempuran
PBB lanjut sekatan terhadap Yaman susulan serangan Houthi ke atas Saudi
RIYADH: Tentera pakatan pimpinan Arab Saudi berjaya memintas beberapa dron yang dipercayai dilancarkan oleh kumpulan pemberontak Houthi di wilayah Riyadh dan Wilayah Timur, ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara bersetuju melanjutkan sekatan terhadap kumpulan yang disokong Iran itu.
Jurucakap pakatan tentera Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, mengesahkan pemintasan dron berkenaan pada 12 November menerusi kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Saudi (SPA).
Kejadian itu berlaku ketika pertempuran antara tentera pemerintah Yaman dengan pemberontak Houthi semakin sengit, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan serantau dan bekalan minyak dunia.
Majlis Keselamatan PBB pada hari yang sama meluluskan resolusi melanjutkan sekatan terhadap Yaman selama setahun lagi, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap individu yang disenaraikan.
Menurut Agensi Anadolu, sekatan itu akan berkuat kuasa sehingga 14 November 2027, manakala mandat Panel Pakar PBB mengenai Yaman dilanjutkan sehingga 15 Disember 2027.
Resolusi yang disokong Britain itu turut mengutuk peningkatan serangan Houthi terhadap Arab Saudi, termasuk serangan merentas sempadan, kegiatan ketenteraan di laut dan ancaman terhadap kapal perdagangan.
Majlis Keselamatan PBB menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh memburukkan ketegangan dan menyelesaikan pertikaian melalui rundingan.
Resolusi itu turut menegaskan sokongan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Arab Saudi serta Yaman.
Bagaimanapun, PBB menjelaskan sekatan berkenaan tidak seharusnya menjejaskan penghantaran bantuan kemanusiaan, bekalan keperluan asas penduduk awam atau kegiatan perdagangan yang sah.
Duta China ke PBB, Encik Fu Cong, menegaskan sekatan bukan matlamat utama masyarakat antarabangsa, sebaliknya satu langkah untuk membantu memulihkan keamanan.
“Sekatan Majlis Keselamatan hanyalah satu cara, bukan matlamat akhir,” katanya sambil berharap ketegangan di Yaman dapat dikurangkan secepat mungkin.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, mendakwa kumpulan itu melancarkan beberapa serangan terhadap kemudahan minyak dan aset ketenteraan Arab Saudi.
Antara sasaran yang didakwa diserang termasuk sebuah stesen pam di saluran paip minyak Timur-Barat dan kemudahan minyak Yanbu di Laut Merah.
Arab Saudi sebelum ini memaklumkan bahawa kira-kira empat juta tong minyak mentah sehari dialihkan melalui saluran paip Timur-Barat menuju ke Yanbu, bersamaan kira-kira empat peratus bekalan minyak dunia.
Encik Saree turut mendakwa sebuah pesawat kargo tentera di Lapangan Terbang Sharurah, berhampiran sempadan Yaman, diserang menggunakan dron.
Beliau juga mendakwa peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah pangkalan udara Khamis Mushait berjaya mengenai sasarannya.
Selain itu, Houthi mendakwa menyerang ibu pejabat syarikat minyak Saudi Aramco di Riyadh.
Bagaimanapun, Encik Saree menafikan dakwaan Arab Saudi bahawa kumpulannya menyasarkan wilayah Makkah pada 11 November, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak benar.
Dakwaan serangan yang dikemukakan Houthi itu belum dapat disahkan secara bebas.
Sementara itu, Arab Saudi dilaporkan sedang mendesak Kesatuan Eropah (EU) supaya mengisytiharkan Houthi, yang turut dikenali sebagai Ansar Allah, sebagai pertubuhan pengganas.
Menurut Reuters, Riyadh mahu EU menerima ketetapan Parlimen Eropah berhubung pengisytiharan tersebut.
Namun, beberapa pegawai Eropah bimbang langkah itu boleh menjejaskan usaha rundingan damai pada masa depan.
Jurucakap dasar luar EU, Anouar El-Anouni, berkata blok itu sentiasa berhubung dengan Arab Saudi mengenai perkembangan serantau, tetapi enggan mengulas perbincangan khusus yang sedang berlangsung.
Ketika ketegangan ketenteraan meningkat, keadaan kemanusiaan di Yaman terus meruncing.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan lebih 333,000 penduduk kehilangan tempat tinggal sejak awal Ogos, termasuk lebih 24,000 orang sepanjang minggu lalu.
Menurut OCHA, pertempuran berterusan menyebabkan kemudahan kesihatan rosak, keluarga terpaksa meninggalkan kediaman dan operasi bantuan kemanusiaan semakin sukar dijalankan.
Pasukan pemerinrah Yaman yang disokong Arab Saudi pula meneruskan serangan terhadap kedudukan Houthi di beberapa medan pertempuran.
Menurut agensi berita rasmi Yaman, Saba, Kementerian Pertahanan negara itu menyatakan operasi menentang Houthi sedang bergerak ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan.
Satu mesyuarat ketenteraan turut diadakan di wilayah Marib bagi memperkukuh penyelarasan antara unit tentera yang menyertai operasi dikenali sebagai Fajar Yaman.
Pertempuran besar antara tentera pemerintah dengan Houthi kembali tercetus pada Julai lalu selepas tempoh yang agak tenang sejak April 2022.
Menurut laporan PBB, kira-kira 12,000 orang terbunuh atau cedera sejak pertempuran kembali memuncak.
Yaman terjerumus dalam peperangan selepas Houthi menawan ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah lain pada September 2014.
Pakatan tentera Arab Saudi kemudian campur tangan pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Sejak itu, konflik berpanjangan tersebut menyebabkan kemusnahan besar, perpindahan penduduk secara besar-besaran dan krisis kemanusiaan yang terus membelenggu negara berkenaan. – Agensi berita