NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 April melantik seorang utusan untuk menjalankan “penilaian strategik” bagi mengenal pasti bantuan yang diperlukan rakyat Palestin, kata seorang jurucakap.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, telah melantik Encik Ian Martin dari Britain untuk mengkaji semula Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) bagi menilai kekangan “politik, kewangan, keselamatan” yang dihadapi agensi itu.
Encik Martin yang mendapat pendidikan di universiti Cambridge dan Harvard, sebelum ini pernah berkhidmat dalam misi PBB di Somalia, Libya, Timor-Leste, Nepal, Eritrea, Rwanda dan Haiti.
UNRWA yang dianggap sebagai tulang belakang penyampaian bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang menjadi mangsa perang, telah bertahan dengan pelbagai kritikan dan tuduhan daripada Israel sejak serangan maut Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023, mencetuskan perang di Gaza..
Israel telah memutuskan semua hubungan dengan UNRWA pada akhir Januari, dan menuduh 19 daripada 13,000 pekerjanya di Gaza terlibat secara langsung dalam serangan 7 Oktober itu.
Agensi itu sejak sekian lama mempunyai hubungan tegang dengan Israel kerana ia sering dituduh mengancam keselamatan negara itu.
Tindakan Israel itu berrmakna UNRWA dilarang beroperasi di wilayah Israel dan mengadakan sebarang hubungan dengan pegawai Israel.
“Kami cuba melihat bagaimana dalam persekitaran yang sangat kompleks ini, UNRWA boleh memberikan yang terbaik untuk pelarian Palestin. Mereka layak dibantu oleh sebuah organisasi, oleh UNRWA yang boleh bekerja dengan cara yang terbaik,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Stephane Dujarric kepada pemberita.
Kajian semula sedang dijalankan sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dilancarkan pada Mac untuk menangani masalah kewangan yang kronik, yang diburukkan lagi oleh pemotongan bajet Amerika Syarikat untuk program bantuan antarabangsa.
Tidak semua agensi akan menjalani penilaian strategik, tetapi operasi UNRWA di Gaza adalah unik, kata Encik Dujarric.
“Kami tidak akan mempersoalkan mandat UNRWA. Kami akan melihat bagaimana UNRWA boleh beroperasi dengan lebih baik dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat yang bergantung kepadanya,” tambahnya.
Agensi itu diwujudkan oleh resolusi Perhimpunan Agung PBB pada 1949, berikutan konflik Israel-Arab yang pertama, sejurus selepas penciptaan Israel pada 1948.
Sepanjang konflik Israel-Palestin yang berterusan, UNRWA telah memberikan bantuan kemanusiaan yang penting kepada pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat yang diduduki, Lebanon, Syria dan Jordan. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg