Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB kurangi staf antarabangsa di Gaza

Tindakan susulan serangan Israel bunuh pekerja, cederakan yang lain
Mar 25, 2025 | 11:43 AM
Seorang lelaki Palestin memeriksa kerosakan di kawasan membaiki ambulans yang terjejas dek serangan udara Israel di kem pelarian al-Maghazi, Gaza Tengah, pada 24 Mac.
Seorang lelaki Palestin memeriksa kerosakan di kawasan membaiki ambulans yang terjejas dek serangan udara Israel di kem pelarian al-Maghazi, Gaza Tengah, pada 24 Mac. - Foto AFP

GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan ia akan mengurangkan sekitar satu pertiga kakitangan antarabangsanya di Gaza atas faktor keselamatan.

Ini selepas serangan Israel ke atas sebuah kemudahan badan dunia itu mengorbankan seorang pekerja dan mencederakan beberapa yang lain.

Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata pengurangan itu bersifat sementara dan melibatkan kira-kira 30 daripada 100 kakitangan antarabangsa yang kini berada di Gaza.

Beliau menegaskan, ini tidak bermaksud PBB akan keluar sepenuhnya dari wilayah Palestin yang bergolak itu.

“Yang kami lakukan ialah mengurangkan jumlah kakitangan antarabangsa sekitar satu pertiga, mungkin lebih ramai akan menyusul. Ini langkah sementara.

“Kami berharap untuk kembali ke Gaza secepat mungkin,” kata Encik Dujarric dalam satu sidang media pada 24 Mac.

“Kami tidak meninggalkan Gaza. Kami masih mempunyai sekitar 13,000 kakitangan tempatan, terutamanya yang bertugas di bawah UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin). Tetapi keselamatan mereka mesti menjadi keutamaan,” tambahnya.

Langkah itu dibuat menyusuli serangan Israel pada 19 Mac ke atas rumah tetamu PBB di Deir Al Balah, yang mengorbankan seorang petugas dari Bulgaria dan mencederakan enam dari Perancis, Moldova, Macedonia Utara, Palestin dan Britain.

Berdasarkan maklumat awal, Encik Dujarric berkata, serangan itu dipercayai berpunca daripada tembakan kereta kebal Israel.

“Lokasi kem PBB ini diketahui umum oleh semua pihak yang terlibat dalam konflik itu,” katanya, sambil menambah bahawa Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, telah menuntut siasatan bebas dan menyeluruh.

Apabila ditanya sama ada PBB percaya kem tersebut sengaja disasarkan, Encik Dujarric menjawab kejelasan hanya dapat dicapai menerusi siasatan telus.

“Israel tahu dengan tepat lokasi kemudahan PBB ini, dan ia terkena peluru dari kereta kebal mereka,” katanya.

Tentera Israel menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya berkata mereka menyasarkan lokasi Hamas yang disyaki sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan ke wilayah Israel.

Keadaan di Gaza terus meruncing apabila tentera Israel melancarkan semula serangan udara besar-besaran ke atas wilayah itu pada 18 Mac.

Langkah itu sekali gus menggagalkan gencatan senjata yang telah dipersetujui sejak Januari.

Sekurang-kurangnya 730 penduduk Gaza terbunuh dan hampir 1,200 cedera dalam serangan terbaru itu.

PBB berkata dalam tempoh seminggu lalu, 14 peratus kawasan Gaza diarahkan supaya dikosongkan.

Pada 23 Mac, pihak berkuasa Israel mengeluarkan perintah pemindahan baru di Rafah, melibatkan lima kejiranan.

“Kini, sekurang-kurangnya 124,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan ramai daripada mereka berjalan kaki ke arah kawasan Mawasi.

“Ramai mencari perlindungan di hospital-hospital yang sudah sedia sesak,” tambah Encik Dujarric.

PBB turut memetik data yang menunjukkan bahawa 90 peratus penduduk Gaza tidak mempunyai akses kepada air bersih, malah ramai tidak dapat mencuci tangan selama beberapa hari.

Pada 24 Mac, tentera Israel mengakui tersalah sasaran apabila melepaskan tembakan ke arah bangunan milik Palang Merah di Rafah.

Letupan itu merosakkan pejabat bantuan kemanusiaan tersebut, menimbulkan kebimbangan serius tentang keselamatan misi kemanusiaan di Gaza.

Sejak serangan tentera Israel bermula pada Oktober 2023, lebih 50,000 penduduk Palestin terbunuh, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 113,200 orang cedera.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan mantan menteri pertahanannya, Encik Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg