Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB lulus ketetapan gesa tamatkan pendudukan Israel di Palestin

Ketetapan PBB turut tuntut Israel undur sepenuhnya dari Golan, Syria, ke sempadan sebelum Jun 1967
Dec 3, 2025 | 11:03 AM
kem pelarian palestin, jaluran gaza
Sebuah kem sementara di tengah runtuhan bangunan yang musnah di Kem Nuseirat bagi pelarian Palestin di tengah Jaluran Gaza pada 2 Disember. - Foto AFP

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyampaikan mesej tegas masyarakat antarabangsa dengan meluluskan satu ketetapan yang menyeru penamatan segera pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 1967 dan menegaskan semula penyelesaian dua negara.

Ketetapan itu, yang digerakkan oleh Jordan, Qatar, Senegal dan beberapa negara lain, menerima sokongan besar dengan 151 undi menyokong, menandakan konsensus diplomatik yang meluas mengenai isu berpanjangan ini.

Hanya 11 negara, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, mengundi menentang.

Menurut PBB, ketetapan bertajuk “Penyelesaian Aman bagi Persoalan Palestin” pada 2 Disember itu menegaskan tanggungjawab berterusan badan dunia tersebut terhadap isu Palestin.

Teks ketetapan dirangka oleh Djibouti, Jordan, Mauritania, Qatar, Senegal dan Palestin.

“Ini adalah isyarat jelas bahawa majoriti dunia mahukan pendudukan 1967 ditamatkan dan penyelesaian dua negara dihormati,” kata seorang diplomat Asia Barat, yang menganggap keputusan itu sebagai titik penting dalam momentum diplomatik untuk Palestin.

Ketetapan berkenaan menuntut Israel segera menghentikan semua aktiviti petempatan haram di wilayah yang diduduki, serta mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa.

Tindakan petempatan dianggap antara halangan utama kepada usaha mencapai perdamaian.

“Setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk tidak mengiktiraf sebarang perubahan unilateral terhadap sempadan pra-1967,” menurut teks ketetapan itu, sambil menggesa semua negara anggota meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang kini berdepan krisis yang semakin meruncing, terutamanya di Gaza.

Ketetapan itu juga menekankan semula komitmen terhadap penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya laluan praktikal ke arah keamanan berkekalan.

Ia menggesa pembentukan sebuah negara Palestin berdaulat berdasarkan sempadan sebelum Jun 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Seorang diplomat yang rapat dengan perbincangan itu berkata: “Keputusan ini bukan undang-undang mengikat seperti ketetapan Majlis Keselamatan, namun ia mempunyai kepentingan politik yang mendalam, mencerminkan sentimen global terhadap salah satu konflik paling berpanjangan dalam sejarah moden.”

Dalam mesyuarat yang sama, Perhimpunan Agung PBB turut meluluskan satu ketetapan berasingan yang mengisytiharkan pendudukan Israel di Dataran Tinggi Golan Syria sebagai “tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang”.

Ketetapan tersebut, dibentangkan oleh Mesir, diluluskan dengan 123 undi menyokong, tujuh menentang dan 41 berkecuali.

Ia mengecam keputusan Israel pada 14 Disember 1981 yang menguatkuasakan undang-undang serta pentadbirannya ke atas wilayah Golan yang diduduki.

Teks ketetapan itu menyatakan bahawa tindakan Israel tersebut adalah “batal dan tidak berkuat kuasa”, serta menuntut Israel berundur sepenuhnya ke garis sempadan 4 Jun 1967.

“Pendudukan dan pengambilalihan secara de facto ini menjadi penghalang utama ke arah keamanan yang adil dan berkekalan,” menurut dokumen tersebut.

Wakil Syria ke PBB, Encik Ibrahim Alali, menegaskan bahawa Golan adalah wilayah sah milik Syria.

“Golan yang diduduki adalah tanah Arab Syria, dan negara kami mempunyai hak penuh untuk mengembalikannya sepenuhnya,” katanya, seperti dilaporkan televisyen milik pemerintah Syria, Al-Ikhbariyah.

Beliau turut menjelaskan bahawa perbincangan Syria dengan Israel sebelum ini hanya tertumpu kepada isu keselamatan, di bawah pemantauan Presiden Amerika ketika itu, Encik Donald Trump.

“Perbincangan ini tidak sekali-kali melibatkan kedudukan Dataran Tinggi Golan,” tegasnya, sambil menyatakan bahawa Syria tetap mengutamakan pendekatan diplomatik.

Israel menduduki Golan sejak 1967 dan memperluas kawalan ke kawasan penampan dan Gunung Hermon selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.

Israel kemudiannya mengisytiharkan perjanjian pemisahan ketenteraan 1967 telah runtuh.

Gabungan dua ketetapan besar ini dilihat sebagai indikator penting perubahan iklim politik global mengenai isu Palestin dan Syria.

Walaupun tidak mengikat, undian besar di PBB menunjukkan sebahagian besar negara dunia kini menyampaikan mesej jelas: pendudukan berpanjangan mesti berakhir, undang-undang antarabangsa harus ditegakkan dan penyelesaian damai satu keperluan mendesak.

Seorang diplomat Eropah merumuskan suasana di dewan PBB malam 2 Disember itu dengan berkata: “Ini bukan sekadar undi simbolik. Ini adalah suara dunia yang semakin lantang menolak pendudukan dan menuntut keadilan.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg