Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel tolak tegas negara Palestin sebelum undian Majlis Keselamatan PBB

Nov 17, 2025 | 11:22 AM
Khemah sebuah keluarga Palestin berdiri berhampiran rumah mereka yang musnah pada hari hujan di timur Gaza City, Semenanjung Gaza, 16 November 2025, ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas sedang berlangsung.
Khemah sebuah keluarga Palestin berdiri berhampiran rumah mereka yang musnah pada hari hujan di timur Gaza City, Semenanjung Gaza, 16 November 2025, ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas sedang berlangsung. - Foto EPA

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan beberapa anggota kabinetnya menegaskan sekali lagi bahawa mereka menolak penubuhan sebuah negara Palestin, hanya sehari sebelum Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengundi resolusi baru mengenai pelan damai Gaza yang disokong Amerika Syarikat.

Resolusi itu bertujuan mengukuhkan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui Israel dan Hamas hasil usaha Presiden Amerika Syarika, Donald Trump, selain memberi mandat kepada penubuhan pentadbiran sementara serta satu pasukan keselamatan antarabangsa untuk menstabilkan Gaza.

Namun, versi draf terbaru mengandungi satu elemen yang sangat sensitif bagi Israel rujukan tentang “laluan yang kredibel” menuju penubuhan negara Palestin pada masa depan.

Dalam mesyuarat kabinet pada 16 November, Encik etanyahu berkata pendirian beliau kekal.
“Penolakan kami terhadap sebuah negara Palestin di mana-mana wilayah tidak pernah berubah, walau sedikit pun,” katanya.

Encik Netanyahu sejak sekian lama menolak konsep kemerdekaan Palestin, dengan mendakwa langkah itu hanya “menghadiahkan kemenangan” kepada Hamas dan akhirnya mewujudkan sebuah entiti yang lebih besar di sepanjang sempadan Israel.

Menurut laporan penyiaran awam Kan, pemerintah Israel kini sedang melakukan usaha diplomatik saat akhir bagi mengubah semula beberapa frasa dalam draf tersebut - perubahan yang dilakukan oleh Amerika setelah menerima tekanan daripada negara Arab dan Muslim yang dijangka menyumbang anggota kepada pasukan keselamatan antarabangsa (ISF) di Gaza.

Draf terkini menyatakan bahawa “syarat-syarat mungkin tersedia untuk mewujudkan laluan yang kredibel ke arah penentuan nasib sendiri dan kenegaraan Palestin”, selepas pembaharuan dalam Pneguasa Palestin dilaksanakan sepenuhnya dan pembangunan semula Gaza mencapai kemajuan.

Bagi ramai pengkritik, termasuk masyarakat Palestin, pelan damai Trump sejak dilancarkan telah “menyisihkan suara dan aspirasi Palestin”, sekaligus mencetuskan keresahan politik.

Pada 16 November, Hamas dan beberapa kumpulan penentang Palestin menggesa Algeria yang kini menjadi ahli tidak tetap UNSC supaya menolak kehadiran pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza.

“Ini adalah cubaan baru untuk memaksa bentuk penjajahan lain ke atas tanah dan rakyat kami, dan menghalalkan kuasa asing menguasai Gaza,” kata kenyataan itu.

Kumpulan itu turut menyeru Algeria agar “terus teguh mempertahankan prinsip menyokong Palestin dan menolak sebarang usaha yang menjejaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.”

Pada 14 November, lapan negara iaitu Qatar, Mesir, Amiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Jordan dan Turkey menggesa UNSC meluluskan resolusi tersebut dengan segera. Negara-negara ini berpotensi menghantar anggota ke pasukan keselamatan antarabangsa dan memerlukan mandat PBB untuk berbuat demikian.

Israel bagaimanapun menegaskan ia tidak akan menerima sebarang penglibatan Turkey yang merupakan pengantara utama gencatan senjata Gaza. Turkey sebelum ini mengeluarkan waran tangkap atas tuduhan jenayah genosid terhadap Encik Netanyahu dan beberapa pegawai kanan Israel.

Menjelang undian penting pada 17 November yang dijangka mendapat sembilan undi diperlukan untuk diluluskan, manakala Russia dan China dijangka berkecuali , Encik Netanyahu dan pegawai kanan Kementerian Luar giat berunding dengan Amerika Syarikat.

Terdapat juga kebimbangan politik dalaman: jika parti-parti sayap kanan keluar daripada pemerintah sebagai protes terhadap pelan gencatan senjata ini, pemerintah Netanyahu boleh tumbang sebelum pilihan raya yang dijadualkan selewat-lewatnya Oktober 2026.

Pada 16 November barisan menteri Israel secara terbuka menyatakan penolakan mereka.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menulis di X: “Dasar Israel jelas: tiada negara Palestin akan diwujudkan.” Menteri Luar, Encik Gideon Saar, mengulangi pendirian sama:
“Israel tidak akan bersetuju dengan pembentukan sebuah negara pengganas Palestin di jantung Tanah Israel.”

Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben-Gvir, pula menyifatkan “identiti Palestin sebagai satu rekaan”. Menteri Kewangan merangkap tokoh pelampau, Bezalel Smotrich, mendesak Netanyahu mengambil langkah lebih keras. “Nyatakan dengan segera bahawa tiada negara Palestin akan pernah wujud di tanah air kita,” katanya.

Setakat ini, fasa pertama gencatan senjata telah menyaksikan pembebasan 20 tebusan Israel yang masih hidup serta hampir semua 28 mayat tebusan yang ditahan kumpulan militan Palestin.

Sebagai pertukaran, Israel membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dan menyerahkan 330 mayat kepada pihak Palestin. Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, ia telah berulang kali dilanggar Israel dengan serangan harian yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin.

Sementara itu, Russia mengemukakan draf resolusi alternatif yang menekankan pembentukan sebuah negara Palestin yang bersatu merangkumi Tebing Barat dan Gaza di bawah Penguasa Palestin. Dalam kenyataan rasmi, misi PBB Russia berkata tujuan mereka ialah “memperbetulkan konsep Amerika supaya selaras dengan keputusan UNSC sebelum ini.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg