PBB: Militan Daesh guna AI untuk rekrut belia, kanak-kanak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB: Militan Daesh guna AI untuk rekrut belia, kanak-kanak

Feb 6, 2026 | 10:30 AM

PBB: Militan Daesh guna AI untuk rekrut belia, kanak-kanak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kumpulan militan Daesh semakin aktif menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital untuk tujuan propaganda, radikalisasi serta perekrutan anggota baharu, khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak. Menurut PBB, taktik ini menjadikan ancaman keganasan semakin kompleks dan sukar dikesan, walaupun tekanan pembanterasan antarabangsa terus dipertingkatkan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kumpulan militan Daesh semakin aktif menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital untuk tujuan propaganda, radikalisasi serta perekrutan anggota baharu, khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak. Menurut PBB, taktik ini menjadikan ancaman keganasan semakin kompleks dan sukar dikesan, walaupun tekanan pembanterasan antarabangsa terus dipertingkatkan. - Foto Fail

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kumpulan militan Daesh kini semakin agresif menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu bagi tujuan propaganda, radikalisasi serta perekrutan anggota baharu, khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak, meskipun usaha pembanterasan keganasan antarabangsa terus dipertingkatkan.

Amaran itu disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Agung Rendah Pejabat PBB bagi Pembanterasan Keganasan, Encik Alexandre Zouev, ketika membentangkan laporan terkini kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 4 Februari.

“Ancaman yang ditimbulkan oleh Daesh terus meningkat secara berperingkat sejak laporan terdahulu dan kekal bersifat pelbagai dimensi serta semakin kompleks,” kata Encik Zouev. “Kumpulan ini dan rangkaiannya terus menyesuaikan diri, menunjukkan daya tahan yang tinggi, dan mengekalkan keupayaan operasi mereka.”

Menurut beliau, Daesh masih aktif merekrut pejuang pengganas asing, selain mengeksploitasi teknologi baharu termasuk AI, aset maya, mata wang kripto dan dron bagi menyokong aktiviti ekstremisme mereka.
“Kecerdasan buatan kini semakin digunakan oleh kumpulan pengganas, khususnya untuk proses radikalisasi dan perekrutan, dengan tumpuan jelas terhadap golongan muda dan kanak-kanak,” katanya.

Encik Zouev menjelaskan bahawa walaupun tekanan antarabangsa terhadap Daesh berterusan, kumpulan itu kekal berdaya tahan dan terus menyesuaikan taktik bagi memastikan kelangsungan pengaruhnya. Selain teknologi, Daesh juga masih bergantung kepada sumber kewangan haram seperti pengumpulan dana secara tidak sah, pemerasan dan penculikan untuk wang tebusan.

Dalam perkembangan serantau, beliau berkata pengaruh Daesh semakin ketara di Afrika Barat dan wilayah Sahel, sambil mengekalkan keupayaan untuk melancarkan serangan di Iraq dan Syria. “Di Afghanistan, Daesh cawangan Khorasan terus menjadi antara ancaman paling serius kepada kestabilan rantau ini dan juga keselamatan global,” katanya.

Encik Zouev turut merujuk beberapa serangan terbaru yang dikaitkan dengan ideologi Daesh, termasuk insiden tembakan di sebuah festival Yahudi di pantai Australia pada Disember lalu yang mengorbankan 15 nyawa, serta serangan ke atas lapangan terbang utama di Niger yang didakwa oleh Daesh pada bulan Januari lalu. Beberapa hari sebelum itu, kumpulan tersebut turut mengaku bertanggungjawab atas serangan di sebuah restoran China di Kabul yang meragut tujuh nyawa.

Di Syria pula, pengunduran pasukan Kurdi dari kawasan yang sebelum ini menempatkan penjara dan kem tahanan melibatkan ribuan militan Daesh serta ahli keluarga mereka telah mencetuskan kebimbangan keselamatan baharu. Situasi itu mendorong Amerika Syarikat memindahkan sebahagian tahanan ke Iraq bagi mengelakkan kemungkinan pelarian beramai-ramai.

“Walaupun berdepan tekanan pembanterasan keganasan yang berterusan, kumpulan ini dan sekutunya terus menyesuaikan diri dan menunjukkan ketahanan,” kata Encik Zouev.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Direktorat Eksekutif Jawatankuasa Pembanterasan Keganasan PBB, Cik Natalia Gherman, menegaskan bahawa Daesh kini menggunakan strategi propaganda dan pengumpulan dana yang semakin canggih.

“Daesh dan kumpulan pengganas lain telah memperluaskan penggunaan aset maya, termasuk mata wang kripto, di samping alat siber, sistem pesawat tanpa pemandu dan aplikasi kecerdasan buatan yang lebih maju,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keganasan pengganas kini semakin meningkat di beberapa rantau serentak, menjadikan cabaran keselamatan global lebih rumit. “Dalam menghadapi perubahan besar dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kita tidak boleh melupakan matlamat bersama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata Cik Gherman, sambil menyeru kerjasama lebih kukuh antara negara anggota serta penyediaan sumber yang mencukupi.

Selain ancaman keselamatan, Cik Gherman dan Encik Zouev turut menekankan keperluan menangani dimensi kemanusiaan, khususnya melibatkan wanita dan kanak-kanak yang terperangkap dalam kem atau penjara berkaitan Daesh.

“Semua negara anggota mesti meningkatkan usaha untuk memudahkan penghantaran pulang individu ini secara selamat, sukarela dan bermaruah, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta kepentingan terbaik wanita dan kanak-kanak,” kata Encik Zouev.

PBB menegaskan bahawa tanpa pendekatan menyeluruh yang merangkumi keselamatan, teknologi, kemanusiaan dan kerjasama antarabangsa, ancaman Daesh berisiko terus berkembang dalam bentuk yang lebih sukar dikesan dan ditangani. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg