Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PBB minta Putin lanjut perjanjian bijirin

Jul 13, 2023 | 01:22 PM



NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyarankan kepada Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, supaya melanjutkan perjanjian membenarkan eksport bijirin Laut Hitam dari Ukraine sebagai balasan untuk menghubungkan anak syarikat bank pertanian Russia dengan sistem pembayaran antarabangsa Swift, kata beberapa sumber.


Russia telah mengancam akan membatalkan perjanjian bijirin itu, yang tamat pada Isnin, kerana beberapa permintaan untuk menghantar bijirin dan bajanya ke luar negara belum dipenuhi.

Dua kapal terakhir yang melakukan perjalanan di bawah perjanjian Laut Hitam sedang memuatkan kargo di pelabuhan Ukraine Odessa menjelang tarikh akhir.

Permintaan utama Moscow ialah menyambungkan semula bank pertanian Russia Rosselkhozbank dengan rangkaian pembayaran antarabangsa Swift.

Khidmat itu dipotong Kesatuan Eropah (EU) pada Jun 2022 kerana pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Jurucakap EU berkata pada Mei bahawa pihaknya tidak mempertimbangkan langkah memulihkan semula khidmat berkenaan kepada bank Russia.

Namun, EU sedang mempertimbangkan untuk menyambungkan Swift kepada anak syarikat Rosselkhozbank bagi tujuan transaksi khusus bijirin dan baja, kata sumber kepada Reuters pada Rabu.


Suruhanjaya EU tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.

Encik Guterres telah mencadangkan kepada Encik Putin supaya Russia meneruskan perjanjian bijirin Laut Hitam selama beberapa bulan lagi untuk memberi masa kepada EU untuk menyambung anak syarikat Rosselkhozbank kepada Swift, tambah sumber itu lagi.

Encik Guterres menghantar surat kepada Encik Putin pada Selasa dengan mencadangkan jalan ke hadapan untuk memudahkan lagi eksport makanan dan baja Russia serta memastikan penghantaran bijirin Ukraine yang berterusan di Laut Hitam, kata jurucakap PBB pada Rabu.

“Objektifnya ialah menghapuskan halangan yang menjejas urus niaga kewangan melalui Bank Pertanian Russia, kebimbangan utama yang dinyatakan oleh Persekutuan Russia, dan pada masa yang sama membolehkan aliran berterusan bijirin Ukraine melalui Laut Hitam,” kata jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, kepada pemberita.

Beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai cadangan itu, tetapi menambah bahawa Encik Guterres terlibat dengan semua pihak relevan mengenai isu itu dan bersedia membincangkan lebih lanjut cadangannya dengan Russia.

Walaupun eksport makanan dan baja Russia tidak tertakluk kepada sekatan Barat yang dikenakan selepas pencerobohan Ukraine, Moscow berkata sekatan ke atas pembayaran, logistik dan insurans telah menjadi penghalang kepada penghantaran eksportnya. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >