Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB: Peningkatan suhu burukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza

Jun 3, 2024 | 2:51 PM
Penduduk Palestin di Rafah berkumpul bagi mendapatkan masakan yang disediakan oleh sebuah badan amal sedang masalah kekurangan bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza semakin meruncing.
Penduduk Palestin di Rafah berkumpul bagi mendapatkan masakan yang disediakan oleh sebuah badan amal sedang masalah kekurangan bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza semakin meruncing. - Foto REUTERS

JALURAN GAZA: Kumpulan bantuan kekal tidak dapat menyalurkan “keperluan asas” seperti khemah dan air minuman bersih kepada berjuta-juta rakyat Palestin di Gaza apabila suhu meningkat dan penyakit merebak, kata seorang pegawai bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Masalah tersebut terus mencengkam Gaza ketika perbincangan diteruskan mengenai kemungkinan membuka semula lintasan sempadan kritikal yang telah ditutup berminggu-minggu.

Encik Scott Anderson, pegawai kanan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberitahu media pada 31 Mei bahawa aliran bekalan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas penduduk Gaza.

Beliau menambah bahawa pertubuhan bantuan di Gaza secara berterusan tidak dapat menyalurkan bantuan secukupnya sejak perang bermula pada 7 Oktober dan bilangan khemah yang tidak mencukupi bermakna pelarian terpaksa tidur di lapangan terbuka dan berdepan dengan kebuluran.

Kekurangan air minuman bersih telah menjadi kebimbangan utama kerana cuaca semakin panas dan rakyat Palestin menghadapi dehidrasi serta penyebaran penyakit berjangkit, kata Encik Anderson lagi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa kes hepatitis A dan cirit-birit semakin meningkat, dan penyakit lain seperti taun dengan cepat boleh menjadi lebih berleluasa tanpa akses yang lebih baik kepada air bersih, tambahnya.

Cabaran yang dihadapi kumpulan bantuan kini diburukkan lagi dengan penutupan sempadan dengan Mesir di Rafah, bandar selatan Gaza yang menjadi sasaran serangan Israel sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Lintasan Rafah telah menjadi saluran penting untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan di Gaza bagi membolehkan rakyat Palestin yang sakit dan cedera mendapatkan rawatan dengan menyeberangi sempadan.

Israel merampas lintasan itu dalam serangan pada awal Mei ke atas Rafah – tempat lebih sejuta penduduk Gaza bersesak-sesak mencari perlindungan.

Mesir telah menutup bahagian persimpangan Rafah sejak Israel menguasai bahagian lain persimpangan itu, dan pegawai Mesir, Israel dan Palestin telah bertelagah tentang cara membuka semula lintasan itu untuk memudahkan penyaluran bantuan.

Namun, pegawai Israel, Mesir dan Amerika Syarikat telah bertemu pada 31 Mei di Kahirah untuk membincangkan pembukaan semula lintasan itu, lapor media berita dari Mesir.

Butiran mengenai perbincangan atau sebarang keputusan masih belum diketahui, kata seorang pegawai Israel yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Namun, beliau mengesahkan bahawa pembukaan semula lintasan itu akan menjadi tumpuan perbincangan.

Israel telah meneruskan serangannya di Rafah walaupun terdapat kebimbangan daripada sekutu rapat seperti Amerika bahawa sebarang serangan besar-besaran akan meletakkan orang awam dalam bahaya besar.

Pada 24 Mei, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengarahkan Israel agar “segera” menghentikan serangannya di Rafah tetapi ia tetap meneruskan operasinya atas alasan untuk memusnahkan Hamas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg