NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang merancang laluan baru untuk mengagihkan bekalan bantuan daripada jeti binaan Amerika Syarikat di Gaza.
Ini berikutan ramai penduduk Palestin yang terdesak memerlukan bantuan memintas trak dan menyebabkan penghantaran terhenti secara berterusan untuk hari ketiga pada 21 Mei.
Jeti terapung sementara itu bertujuan untuk membantu meringankan krisis kemanusiaan di Gaza.
Bagaimanapun, pekerja bantuan memaklumkan bahawa hanya penghantaran melalui sempadan darat boleh memastikan bantuan pada skala yang diperlukan.
Operasi di jeti bermula pada 17 Mei dan PBB berkata, sebanyak 10 trak muatan bantuan makanan diangkut dari jeti oleh kontraktor PBB dan diterima di gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di Deir el Balah, Gaza.
Namun pada 18 Mei, hanya lima lori yang berjaya sampai ke gudang tersebut selepas 11 yang lain dipintas.
Menurut jurucakap WFP di Kaherah, Cik Abeer Etefa, menyusuli kejadian itu, pengagihan bekalan bantuan kemudian dihentikan sementara pasukan logistik merancang laluan baru dan penyelarasan penghantaran dalam usaha menghalang lebih banyak bekalan bantuan dipintas.
“Beberapa misi tersebut dirancang hari ini menggunakan laluan baru untuk mengelak orang ramai,” ujar beliau.
Jeti tersebut memberi harapan, namun ia juga menimbulkan rasa ragu-ragu dalam kalangan penduduk di Gaza.
“Jeti ini sepatutnya disediakan apabila pendudukan (Israel) tamat... barulah ia menjadi baik untuk kami,” kata seorang penduduk Gaza, Abu Nadi al-Haddad, yang mempersoal mengapa jeti itu diperlukan sekarang, memandangkan wujudnya beberapa lintasan darat.
Seorang lagi penduduk, Abu Nasser Abu Khousa, berkunjung ke kawasan tepi pantai berhampiran jeti tersebut bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun, membawa sebuah pedati yang ditarik keldai dengan harapan menerima bekalan bantuan.
“Kami sedang menunggu bantuan dari Amerika, tetapi kami tidak mendapat apa-apa,” katanya, sambil menambah bahawa beliau telah kehilangan rumahnya dalam konflik tersebut dan terpaksa berpindah beberapa kali.
“Kami akan kembali esok... harap-harap dapat sedikit bantuan yang akan membantu kami terus bertahan,” ujar beliau.
Konflik antara Israel dengan Hamas yang tercetus sejak Oktober 2023 telah menyebabkan krisis kemanusiaan yang serius di Gaza, dengan kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk di kawasan pesisir pantai itu menghadapi kekurangan kronik bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Kiriman bekalan bantuan antarabangsa ke Gaza merosot secara mendadak sejak Israel meningkatkan operasi ketenteraan di sekitar bandar Rafah pada 7 Mei.
Israel turut menutup Lintasan Rafah, yang sebelum ini adalah satu-satunya laluan yang digunakan untuk kiriman bekalan bantuan kemanusiaan dan bahan api. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg