NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan AS$160 juta ($205 juta) dana kecemasan bagi menyokong bantuan menyelamatkan nyawa di 12 negara dan wilayah yang menghadapi isu keperluan kemanusiaan yang meruncing.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) menyatakan bahawa Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) telah menetapkan AS$150 juta daripada peruntukan itu untuk Afghanistan, Burkina Faso, Cameroon, Chad, Cuba, Mali, Niger, wilayah Palestin yang diduduki Israel, Somalia, Sudan Selatan, Sudan dan Yaman.

Tambahan AS$10 juta pula diperuntukkan bagi menangani keperluan mendesak golongan orang kurang upaya merentasi 12 kecemasan kemanusiaan dan menjadikan bantuan lebih mudah diakses serta terangkum, menurut OCHA.

Katanya, dana itu adalah sebahagian usaha lebih luas untuk mencapai 87 juta orang yang menghadapi keperluan kemanusiaan paling teruk pada tahun ini (2026).

“Peruntukan baharu ini akan membantu kami mendapatkan bantuan untuk mereka yang amat memerlukan.

“Namun, wang saja tidak akan membawa kita ke kawasan yang memerlukan bantuan... pemimpin mesti menggunakan kemahuan politik untuk membuka akses, menghapuskan halangan serta membantu kita mencapai orang yang nyawanya dalam bahaya,” kata Ketua Setiausaha Rendah PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Encik Tom Fletcher.

Beliau menggesa tindakan diplomatik segera diambil untuk mendapatkan akses serta membantu mencapai 11 juta daripada 87 juta orang yang diberi keutamaan mendapatkan bantuan tahun ini (2026), membabitkan Afghanistan, wilayah Palestin diduduki Israel, Sudan Selatan, Sudan dan Yaman yang merupakan antara 10 kecemasan kemanusiaan.

CERF sedang bekerjasama dengan Tabung Kurang Upaya Global PBB bagi menyediakan dana tambahan dan sokongan teknikal sehingga AS$4 juta melalui Hab Pemangkin Inklusifnya, termasuk untuk memperkukuh kapasiti dan penyertaan pertubuhan tempatan bagi orang kurang upaya dalam tindak balas kemanusiaan.

Peruntukan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan dana CERF yang diagihkan setakat 2026 kepada AS$483 juta.

CERF menerima sokongan meluas daripada negara-negara anggota PBB, pemerhati, pihak berkuasa serantau, pertubuhan antarabangsa, sektor swasta dan individu.

Ia adalah salah satu alat pembiayaan yang paling pantas tersedia dan memperuntukkan dana kepada tindak balas segera serta kecemasan yang kurang mendapat pembiayaan.

Keputusan pembiayaan untuk peruntukan CERF bagi kecemasan yang kurang mendapat pembiayaan adalah berdasarkan analisis terperinci terhadap lebih 100 penunjuk kemanusiaan dan perundingan meluas dengan rakan kongsi. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti