Topik diikuti
Pergi ke BHkuPBB rayu dana AS$296j, korban gempa Venezuela melepasi 3,800
PBB rayu dana AS$296j, korban gempa Venezuela melepasi 3,800
Caracas mohon bebaskan aset yang dibekukan di luar negara bagi biayai pemulihan
PBB rayu dana AS$296j, korban gempa Venezuela melepasi 3,800
CARACAS (Venezuala): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan rayuan kecemasan sebanyak AS$296 juta ($388 juta) bagi membiayai operasi bantuan kemanusiaan di Venezuela selepas angka korban gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu meningkat kepada 3,811 orang.
Rayuan itu dibuat ketika jutaan penduduk masih berdepan krisis kemanusiaan, susulan dua gempa bumi kuat berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud pada 24 Jun lalu, yang memusnahkan bandar, meruntuhkan ribuan bangunan serta menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Encik Tom Fletcher, berkata dana itu amat diperlukan bagi membantu kira-kira 1.3 juta mangsa sepanjang tempoh enam bulan akan datang.
“Keperluan kemanusiaan amat besar. Ramai penderma sudah tampil membantu dan kami amat menghargainya, tetapi lebih banyak bantuan diperlukan segera,” katanya ketika menghadiri mesyuarat khas PBB mengenai bencana itu pada 8 Julai.
Menurut beliau, dana tersebut akan digunakan bagi menyediakan makanan, tempat perlindungan sementara, bekalan air bersih, rawatan kesihatan, pendidikan dan bantuan perlindungan kepada mangsa yang terjejas.
Pemerintah Venezuela turut menggesa masyarakat antarabangsa membebaskan aset negara yang dibekukan di luar negara, supaya wang itu dapat digunakan bagi membiayai usaha pemulihan.
Menteri Luar, Encik Yvan Gil, berkata Venezuela masih mempunyai sejumlah besar dana milik negara yang tidak boleh diakses, akibat sekatan ekonomi antarabangsa.
“Kami menyeru semua negara yang masih membekukan aset Venezuela supaya segera merangka mekanisme membebaskannya, agar dana itu dapat digunakan untuk membina semula negara selepas bencana ini,” katanya.
Beliau mendakwa pembekuan aset itu berpunca daripada sekatan yang disifatkannya sebagai tidak sah dan kini menghalang usaha pemulihan negara.
Presiden Interim Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, berkata beliau turut mengutus surat kepada Raja Britain, Raja Charles III, bagi memohon supaya kira-kira 30 tan emas milik Venezuela yang disimpan di Bank England dibebaskan.
“Emas ini adalah milik rakyat Venezuela. Kami memerlukannya untuk membantu mangsa gempa bumi dan membiayai proses pembinaan semula negara,” katanya menerusi siaran televisyen pemerintah.
Cik Rodriguez turut memaklumkan beliau telah berbincang dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mendapatkan akses kepada dana yang boleh digunakan untuk mempercepatkan proses pemulihan.
Sejak beberapa tahun lalu, Bank of England enggan menyerahkan kira-kira 31 tan emas Venezuela, berikutan pertikaian undang-undang serta sekatan yang dikenakan terhadap negara Amerika Latin itu.
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan beberapa negara Barat sebelum ini mengenakan pelbagai sekatan ekonomi terhadap Venezuela, atas dakwaan berkaitan amalan antidemokrasi dan kegiatan pengedaran dadah.
Bagaimanapun, selepas bekas Presiden Nicolas Maduro digulingkan dan ditahan awal 2026, Washington mula melonggarkan sebahagian sekatan, termasuk memberi pengecualian selama empat bulan terhadap urus niaga berkaitan bantuan gempa bumi.
Langkah itu bertujuan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan menyokong usaha pemulihan, termasuk pembangunan semula sektor minyak yang menjadi sumber utama ekonomi Venezuela.
Menurut PBB, gempa bumi itu mengakibatkan kerosakan dianggarkan AS$6.7 bilion bersamaan kira-kira enam peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Venezuela.
Selain kemusnahan ribuan rumah, lapangan terbang antarabangsa utama di Caracas turut rosak dan masih ditutup kepada penerbangan komersial.
Data rasmi pemerintah menunjukkan seramai 16,740 cedera, manakala 17,907 lagi kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu.
Di bandar pesisir pantai La Guaira, yang menjadi antara kawasan paling teruk terjejas, operasi mencari mangsa yang masih hidup kini hampir dihentikan.
Dua minggu selepas gempa melanda, kebanyakan pasukan penyelamat antarabangsa menamatkan operasi menyelamat, manakala tumpuan kini beralih kepada usaha mengeluarkan mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan.
Walaupun begitu, ramai ahli keluarga masih enggan berputus asa dan terus menggali timbunan konkrit dengan harapan menemui insan tersayang.
Di kawasan Caraballeda di La Guaira, beberapa keluarga dilihat berkumpul di tepi jalan sambil menunggu bantuan makanan dan keperluan harian selepas kehilangan segala-galanya.
Cik Stefani Garate, 26 tahun, yang sebelum ini menjual gula-gula kelapa di pantai, berkata beliau kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan.
“Saya tidak tahu sampai bila keadaan ini akan berterusan. Sekurang-kurangnya hari ini kami menerima sedikit beras, mi dan sardin,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Encik Genesis Ramirez, 34 tahun, masih mencari dua anak saudaranya yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan sebuah bangunan pangsapuri.
“Bagaimana saya boleh hilang harapan sedangkan sebelum ini seorang bayi berjaya diselamatkan hidup-hidup dari bangunan yang sama? Selagi mayat mereka belum ditemui, saya akan terus berharap,” katanya sambil menahan sebak.
Di kompleks perumahan OPP di La Guaira, hampir sedozen jengkaut terus mengalihkan runtuhan beberapa blok pangsapuri yang runtuh sepenuhnya.
Beberapa ahli keluarga mangsa menunggu di lokasi kejadian sepanjang hari, dengan harapan sekurang-kurangnya dapat membawa pulang jenazah insan tersayang untuk dikebumikan.
Bau mayat yang semakin mereput mula menyelubungi kawasan itu, manakala tangisan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang terus kedengaran ketika beg mayat hitam dibawa keluar satu demi satu.
Seorang anggota tentera yang bertugas di lokasi mengakui peluang menemui mangsa yang masih hidup kini hampir tiada.
“Sekarang, apa yang tinggal hanyalah usaha mengeluarkan mayat,” katanya.
Bencana itu berlaku ketika Venezuela masih bergelut dengan krisis ekonomi yang berpanjangan selama beberapa dekad, menyebabkan prasarana awam, sistem kesihatan dan perkhidmatan asas berada dalam keadaan lemah sebelum gempa bumi melanda.
PBB memberi amaran bahawa tanpa bantuan kewangan antarabangsa yang mencukupi, jutaan mangsa berisiko berdepan kekurangan makanan, air bersih, rawatan kesihatan dan tempat perlindungan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. – Agensi berita.
