Topik diikuti
Pergi ke BHkuPBB: Tentera Myanmar bunuh lebih 700 orang awam dalam 6 bulan
PBB: Tentera Myanmar bunuh lebih 700 orang awam dalam 6 bulan
PBB: Tentera Myanmar bunuh lebih 700 orang awam dalam 6 bulan
GENEVA: Tentera Myanmar bertanggungjawab atas lebih 700 kematian orang awam sepanjang tempoh pilihan raya selama enam bulan pada 2025, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Jun.
Satu laporan baharu PBB yang merangkumi tempoh dari Ogos, apabila tentera Myanmar mengumumkan pilihan raya akan diadakan, hingga tamatnya tempoh pengundian pada akhir Januari, berkata sumber yang boleh dipercayai telah mengesahkan “sekurang-kurangnya 702 kematian orang awam” sepanjang tempoh itu.
“Daripada jumlah itu, 224 adalah wanita dan 153 kanak-kanak,” kata laporan dari pejabat hak asasi PBB, sambil menambah bahawa “serangan udara kekal sebagai punca terbesar kemusnahan dan penderitaan”.
Sekurang-kurangnya 505 orang awam, termasuk 175 wanita dan 112 kanak-kanak, atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan, terbunuh dalam serangan yang dijalankan antaranya dengan jet pejuang dan dron, kata pejabat itu lagi.
Ditanya siapakah yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu, jurucakap pejabat itu, Cik Ravina Shamdasani, menyatakan bahawa “702 orang itu disebabkan oleh tentera Myanmar”.
“Itu tidak bermakna tiada korban awam yang disebabkan oleh kumpulan bersenjata lain,” tegasnya.
Beliau menambah, laporan itu bergantung pada “data yang boleh dipercayai yang kami boleh akses. Ia bukan angka yang menyeluruh”.
Perang saudara melanda Myanmar pada 2021 apabila tentera melancarkan rampasan kuasa, menamatkan demokrasi selama sedekad dan menggulingkan pemimpin yang dipilih menerusi pilihan raya, Cik Aung San Suu Kyi.
Myanmar diperintah secara langsung oleh tentera selama lima tahun selepas rampasan kuasa itu, sebelum junta mengadakan pilihan raya amat terhad pada 2026, memberikan kemenangan mudah untuk sekutunya dalam politik negara itu.
Anggota Parlimen baharu memilih ketua rampasan kuasa, Encik Min Aung Hlaing, sebagai Presiden dalam peralihan yang dicemuh oleh pemantau demokrasi sebagai helah untuk menjenamakan semula pemerintahannya yang berterusan.
Pejabat hak asasi PBB, yang mengkritik keras pilihan raya sejak awal, berkata dalam laporannya bahawa “pelanggaran dan penyalahgunaan hak asasi manusia yang serius”.
Ia berkata pihaknya telah “mengesahkan kejadian yang menunjukkan trend dan corak pelanggaran dan penyalahgunaan yang menjejas hak asasi dan kebebasan penting untuk pilihan raya yang boleh dipercayai”.
Pejabat hak asasi merumuskan bahawa kematian orang awam telah meningkat terutama dalam dua tempoh – pada Ogos-September dan Disember – bertepatan dengan pengumuman pilihan raya. – AFP.
