Topic followed successfully
Go to BHkuThailand usaha pulih hubungan Asean-Myanmar, rancang pertemuan peringkat menteri
Thailand usaha pulih hubungan Asean-Myanmar, rancang pertemuan peringkat menteri
Menteri Luar Thailand tegas keperluan penglibatan meluas dalam tangani krisis kemanusiaan, tamatkan konflik berlarutan
Thailand usaha pulih hubungan Asean-Myanmar, rancang pertemuan peringkat menteri
BANGKOK: Menteri Luar Thailand pada 5 Mei berkata beliau merancang mengundang rakan sejawatnya dari Myanmar bagi bertemu barisan diplomat tertinggi serantau.
Pertemuan tersebut bertujuan membina persetujuan bersama dalam kalangan negara Asean bagi penglibatan lebih meluas dengan pemerintah baharu pimpinan tentera di negara yang dilanda perang itu.
Asean sebelum ini menghalang pemimpin junta Myanmar daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi susulan rampasan kuasa pada 2021, di mana jeneral berpengaruh negara itu menggulingkan pemerintah pimpinan Cik Aung San Suu Kyi yang dipilih melalui pilihan raya.
Ketua junta, Encik Min Aung Hlaing, menyandang jawatan Presiden pada April bagi mengukuhkan pegangan kuasa politiknya secara rasmi selepas parti pro-tentera menang besar dalam pilihan raya pada Januari sehingga menerima kritikan meluas.
Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, yang bertemu Encik Min Aung Hlaing dua minggu lalu, berkata beliau sedang berusaha memulihkan penglibatan dengan kepimpinan Myanmar, termasuk di peringkat Menteri Luar.
“Ini akan menjadi satu lagi pertemuan di luar Mesyuarat Menteri Luar Asean,” katanya dalam satu temu bual bersama Reuters.
“Melalui pertemuan itu, beliau boleh memberi taklimat kepada kami mengenai perkembangan terkini serta perancangan mereka,” tambah Encik Sihasak, merujuk kepada rakan sejawatnya dari Myanmar.
“Kemudian, kita boleh bermula dari situ. Jadi, ia adalah satu proses selangkah demi selangkah,” tambahnya.
Jurucakap pemerintah Myanmar pula gagal dihubungi bagi mengulas perkara tersebut.
Pada November 2025, Encik Sihasak berkata adalah “sukar” bagi Asean menjalin semula hubungan dengan Myanmar, manakala anggota lain dalam blok 11 negara itu belum memberikan sebarang sokongan terbuka kepada pemerintah baharu tersebut.
Encik Sihasak berkata beliau akan membincangkan rancangannya dengan Menteri Luar Asia Tenggara yang akan berhimpun di Sidang Kemuncak Pemimpin di Filipina minggu ini, iaitu pertemuan pertama mereka sejak Pilihan Raya Myanmar diadakan.
“Kami mahu bergerak secara bersama dengan Asean. Kita harus bergerak. Kita perlu lakukan sesuatu.
“Saya percaya ini bukan sesuatu yang Thailand mahu laksanakan secara sehala,” katanya.
Blok itu sebelum ini telah bersetuju dengan pelan damai ‘persetujuan bersama tentang lima perkara’ bersama Encik Min beberapa bulan selepas bantahan terhadap rampasan kuasa 2021 bertukar menjadi pemberontakan menentang pemerintahan tentera.
Namun, usaha itu gagal menghentikan konflik yang semakin meruncing di negara tersebut.
Pada 2025, selaku pengerusi blok ketika itu, Malaysia menegaskan kepentingan pelan damai tersebut dengan menyatakan tidak sukar bagi Encik Min yang ketika itu merupakan Jeneral Myanmar untuk menghentikan keganasan, memulakan rundingan dan mempermudah urusan bantuan kemanusiaan.
Konflik tersebut telah menyebabkan lebih 3.6 juta penduduk melarikan diri dari kediaman masing-masing di samping turut mengorbankan lebih 6,800 nyawa serta mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di Asia berikutan kekurangan bantuan.
“Jika kita mahu melihat keadaan bertambah baik, jika kita mahu melihat keamanan, maka kita perlu fikirkan apa yang boleh kita lakukan,” kata Encik Sihasak.
Menteri Luar Thailand itu turut menambah beliau telah mengetengahkan aspek utama dalam pelan perdamaian Asean semasa pertemuan dengan kepimpinan di Myanmar.
Di sebalik usaha yang dilakukan Thailand, pentadbiran baharu Myanmar tetap terperangkap dalam konflik dengan pelbagai kumpulan bersenjata yang menentang pihak tentera, selain hanya memberikan kelonggaran terhad, seperti tahanan rumah buat Cik Aung San Suu Kyi.
Encik Sihasak berkata beliau tidak membuat sebarang permohonan semasa lawatannya ke ibu kota Myanmar, Naypyitaw, untuk bertemu dengan pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 80 tahun itu, yang telah ditahan sejak rampasan kuasa berlaku.
“Keutamaan saya adalah memastikan beliau berada dalam keadaan sihat,” katanya.
“Dan (bahawa) beliau mungkin boleh dipindahkan untuk tinggal dalam keadaan lebih baik.” – Reuters.
