WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat kini percaya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza tidak mungkin dicapai sebelum Presiden Joe Biden tamat tempoh jawatan pada Januari, lapor Wall Street Journal pada 19 September.
Akhbar itu memetik pegawai peringkat tertinggi di Rumah Putih, Jabatan Negara dan Pentagon tetapi tanpa menamakan mereka sebagai menyatakan demikian.
Badan-badan tersebut tidak segera mengulas ketika diminta komen masing-masing.
“Saya boleh memberitahu anda bahawa kami tidak percaya bahawa harapan untuk mencapai perjanjian itu akan berkecai,” kata jurucakap Pentagon, Cik Sabrina Singh, kepada pemberita pada 20 September sebelum laporan itu diterbitkan.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata dua minggu lalu bahawa 90 peratus perjanjian gencatan senjata telah dipersetujui.
Amerika serta perantara Qatar dan Mesir telah berbulan-bulan cuba mendapatkan gencatan senjata tetapi gagal membawa Israel dan Hamas memuktamadkan perjanjian.
Dua halangan amat sukar iaitu permintaan Israel untuk mengekalkan pasukannya di Koridor Philadelphi antara Gaza dengan Mesir dan butiran pertukaran tebusan Israel untuk tahanan Palestin yang dipenjarakan di Israel.
Amerika berkata perjanjian gencatan senjata Gaza boleh mengurangkan ketegangan di seluruh Timur Tengah di tengah-tengah kebimbangan konflik yang boleh meluas.
Presiden Biden membentangkan cadangan gencatan senjata tiga fasa pada 31 Mei yang katanya Israel bersetuju pada masa itu.
Ketika rundingan menghadapi halangan, para pegawai telah berminggu-minggu menyatakan cadangan baru akan dibentangkan tidak lama lagi.
Menurut Israel, pertumpahan darah terkini dalam konflik Israel-Palestin yang sudah berdekad lamanya, tercetus pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,400 dan menahan lebih 240 tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel ke atas wilayah yang ditadbir Hamas, telah membunuh lebih 41,000 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Perang selama 11 bulan dan masih berlanjutan itu telah menyebabkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza hidup berpindah-randah, dilanda krisis kelaparan dan membawa kepada dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dinafikan Israel. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg