Pegawai AS: Tentera Iran tunjuk keupayaan sesuaikan taktik perang
Pegawai AS: Tentera Iran tunjuk keupayaan sesuaikan taktik perang
WASHINGTON: Tentera Iran dilaporkan sedang menyesuaikan strategi ketenteraannya ketika kempen pengeboman oleh Amerika Syarikat dan Israel semakin meningkat, menurut pegawai kanan pertahanan Amerika.
Perubahan taktik itu berlaku walaupun pentadbiran Presiden Donald Trump menegaskan bahawa Washington sedang memenangi perang tersebut.
Dalam tempoh 11 hari sejak konflik bermula, Iran dilaporkan menyasarkan beberapa sistem pertahanan udara dan radar milik Amerika di rantau Asia Barat.
Menurut pegawai tentera Amerika dan pakar ketenteraan, tindakan itu menunjukkan Teheran cuba melemahkan keupayaan pertahanan Amerika di rantau tersebut.
Militia yang disokong Iran turut meningkatkan serangan ke atas sasaran yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tentera Amerika.
Salah satu insiden berlaku di Iraq apabila sebuah militia melancarkan serangan dron secara berkumpulan ke atas sebuah hotel mewah di Erbil yang sering digunakan oleh anggota tentera Amerika.
Seorang pegawai kanan tentera Amerika berkata serangan itu menunjukkan Iran mengetahui bahawa Pentagon menempatkan sebahagian anggota tenteranya di hotel-hotel di rantau berkenaan.
“Serangan itu jelas menunjukkan mereka sedar di mana tentera Amerika ditempatkan,” katanya.
Menurut pegawai tentera Amerika dan beberapa pakar ketenteraan, Iran menyedari bahawa ia tidak mampu menandingi kekuatan senjata Amerika dan Israel secara langsung.
Namun dengan terus bertahan dalam serangan berterusan, pemerintah di Teheran masih boleh mendakwa bahawa mereka berjaya mengekalkan keupayaan untuk melawan.
Sebaliknya, tentera Iran kini dilihat memberi tumpuan kepada kelemahan strategik Amerika, khususnya sistem pemintas peluru berpandu dan pertahanan udara yang melindungi pangkalan tentera serta aset Amerika di rantau tersebut.
Setakat ini, Pentagon memaklumkan bahawa tujuh anggota tentera Amerika telah terbunuh sejak konflik bermula pada 28 Februari manakala 140 lagi cedera.
Daripada jumlah itu, 108 anggota dilaporkan telah kembali bertugas.
Serangan udara Amerika dan Israel pula dilaporkan mengorbankan kira-kira 1,300 orang di Iran, menurut pihak berkuasa negara itu.
Dalam masa yang sama, serangan Iran di beberapa negara Asia Barat dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang.
Pakar hubungan antarabangsa dari Universiti Johns Hopkins, Profesor Vali R. Nasr, berkata Iran mengambil pengajaran daripada konflik singkat antara kedua-dua pihak pada 2025.
“Ia mengejutkan betapa cepatnya mereka belajar daripada perang 12 hari sebelum ini dan melaksanakan perubahan dalam strategi mereka,” katanya.
Menurut beliau, Iran menyedari bahawa kekurangan utama mereka ialah kemampuan pertahanan seperti peluru berpandu pemintas, sistem THAAD dan peluru berpandu Patriot.
“Mereka faham bahawa Amerika mempunyai kelebihan besar dalam sistem pertahanan tersebut. Jadi strategi mereka kini adalah untuk melemahkan keupayaan itu,” katanya.
Laporan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) sebelum ini menyatakan bahawa dalam konflik 12 hari pada 2025 lalu, Amerika menggunakan antara 100 hingga 250 peluru berpandu pemintas THAAD, iaitu sekitar 20 hingga 50 peratus daripada stok Pentagon.
Tentera Amerika juga menggunakan kira-kira 80 peluru berpandu SM-3 dalam tempoh tersebut, hampir satu perlima daripada stok yang dimiliki.
Pengerusi Ketua Turus Bersama Tentera Amerika, Jeneral Dan Caine, mengakui bahawa Iran kini menukar pendekatan dalam strategi ketenteraannya.
“Tiada pelan yang kekal sama selepas bertemu dengan musuh,” katanya dalam satu sidang media.
“Mereka menyesuaikan taktik mereka, dan kami juga melakukan perkara yang sama,” katanya.
Namun beliau enggan mendedahkan secara terperinci bagaimana Iran menukar strategi kerana bimbang maklumat tersebut boleh memberi kelebihan kepada pihak lawan.
Pada masa lalu, Iran biasanya memberi amaran lebih awal sebelum melancarkan serangan balas.
Tindakan itu sering dianggap sebagai usaha untuk menunjukkan reaksi tanpa mencetuskan konflik besar.
Sebagai contoh, pada 2025 Iran memberi isyarat awal sebelum melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Al Udeid di Qatar selepas Amerika melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.
Namun keadaan kini berbeza.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Iran dilaporkan menyerang sistem radar amaran awal di pangkalan Al Udeid, sekali gus merosakkan peralatan radar canggih di situ.
Pegawai tentera Amerika berkata sasaran tersebut menunjukkan Iran cuba mengganggu keupayaan komunikasi dan penyelarasan operasi tentera Amerika.
Iran juga dilaporkan menyerang tiga kubah radar di Kem Arifjan di Kuwait, satu lagi pangkalan yang menempatkan tentera Amerika. Selain itu, di Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, sekurang-kurangnya enam bangunan berhampiran kemudahan komunikasi satelit dilaporkan rosak atau musnah akibat serangan tersebut.
Pentagon menganggarkan serangan ke atas kompleks ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut Amerika di Bahrain menyebabkan kerosakan bernilai kira-kira AS$200 juta (S$254.3 juta).
Berbeza dengan konflik sebelumnya, Iran kini melancarkan serangan dron bukan sahaja ke atas Israel tetapi juga terhadap sekutu Amerika di rantau tersebut.
Ribuan dron serangan murah dilaporkan dihantar ke sasaran di Qatar, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Iraq dan Bahrain.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, mengakui bahawa Pentagon tidak sepenuhnya menjangkakan tindak balas Iran terhadap negara jiran. “Kami tidak menjangkakan sepenuhnya bahawa mereka akan bertindak balas dengan cara ini, walaupun kami tahu ia satu kemungkinan,” katanya.
Namun beliau menegaskan bahawa tindakan Iran sebenarnya menunjukkan kelemahan pemerintah negara itu. “Saya fikir ia menunjukkan betapa terdesaknya rejim tersebut,” katanya. Menurut beliau, tindakan Iran menyasarkan negara jiran juga merupakan satu kesilapan strategik. “Ia satu kesilapan besar apabila rejim Iran mula menyasarkan negara jiran mereka. Ia menunjukkan kepada dunia siapa mereka sebenarnya,” katanya.
Walaupun begitu, Iran masih terus melancarkan serangan walaupun jumlahnya semakin berkurangan.
Jeneral Caine berkata kempen udara Amerika telah berjaya mengurangkan sebahagian besar serangan peluru berpandu dan dron Iran. “Serangan peluru berpandu balistik telah menurun kira-kira 90 peratus berbanding peringkat awal perang,” katanya. “Serangan dron pula menurun sekitar 83 peratus sejak operasi bermula,” tambahnya.
Namun pegawai tentera Amerika memberi amaran bahawa Iran masih mempunyai sejumlah besar peluru berpandu dan tapak pelancaran yang belum dikenal pasti sepenuhnya.
Menurut taklimat Pentagon kepada anggota Kongres sebelum ini, Iran dipercayai masih memiliki sehingga 50 peratus daripada stok peluru berpandu dan pelancarannya.
Bagi Profesor Nasr, keadaan ini menunjukkan Iran masih mampu melancarkan serangan yang lebih canggih pada masa akan datang. “Gelombang pertama peluru berpandu dan dron mungkin hanya pembuka jalan,” katanya.
“Mereka mungkin masih mempunyai peluru berpandu yang lebih canggih, termasuk peluru berpandu hipersonik,” tambah beliau.
Walaupun pemimpin tertinggi Iran terbunuh pada awal perang, pakar ketenteraan berkata negara itu masih menunjukkan keupayaan untuk terus berperang. “Iran tidak bertindak seperti sebuah pemerintahan yang lumpuh,” kata seorang pegawai tentera Amerika. – Agensi berita.

