Seorang pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang mengendalikan operasi pengebumian telah didakwa di mahkamah pada 10 November atas dakwaan menerima rasuah kira-kira $21,000 daripada 10 orang.
Syarikat individu-individu itu menyediakan perkhidmatan berkaitan pengebumian atau kerja-kerja berkaitan tanah perkuburan, kata Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan akhbar.
Menurut The Straits Times, Abdul Salam Jahabar Sadiq, 47 tahun, telah dikenakan 10 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
Dua daripadanya adalah pertuduhan gabungan yang melibatkan pelbagai insiden rasuah yang didakwa dilakukan dan diambil bersama sebagai satu kesalahan.
CPIB berkata Salam, seorang penduduk tetap (PR) Singapura, merupakan pegawai pengesahan di bahagian operasi pengebumian di NEA.
Kertas pertuduhan menyatakan Salam didakwa menerima rasuah, dalam bentuk pinjaman, daripada pemilik beberapa syarikat antara 2022 dengan 2023.
Syarikat berkenaan ialah Mohamed Kubur Services, Kim Zhu Stone Carving Trading, Jasabudi Muslim Casket Services and Marble Contractor, Md Akbar International Islamic Casket, Saith Services, Lian Hock Construction, Urusan Jenazah Ma’al Hijrah & Marble Contractor, dan Qalifah Services.
Dia juga didakwa menerima rasuah daripada seorang kakitangan pentadbiran Takdir I.S.L.A.M.I.C. Services dan penyedia perkhidmatan pengebumian bebas, Muhammad Hafiz Mohamed Nasir.
Rasuah tersebut merupakan dorongan untuk Salam daripada melaporkan sebarang salah laku yang dilakukan oleh 10 individu tersebut, tambah CPIB.
Biro itu berkata kes itu dirujuk kepada mereka oleh NEA.
Membantah pertuduhan di mahkamah, Salam berkata dia tidak diberikan jurubahasa ketika membuat kenyataan kepada CPIB. Dia berkata dia memberitahu biro itu bahawa dia hanya mengambil pinjaman.
Warga negara India itu juga meminta kebenaran untuk kembali ke India pada November untuk menyertai solat hajat sempena ulang tahun kematian ibunya.
Salam akan kembali ke mahkamah pada 13 November berhubung permohonannya untuk meninggalkan negara ini.
Dalam satu kenyataan media pada 10 November, NEA berkata pegawainya yang telah diberkas CPIB itu telah di gantung perkhidmatannya.
“NEA akan meneruskan tindakan disiplin dalaman selepas kes mahkamah itu selesai,” kata NEA.
Pada masa yang sama tindakan susulan juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam amalan salah di kemudahan yang diuruskan NEA, tambah kenyataan itu.
Bagi setiap pertuduhan, jika disabitkan kesalahan, Salam boleh didenda sehingga $100,000, atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Bagi gabungan pertuduhan, dia menghadapi hukuman yang boleh dikenakan dua kali ganda bagi kesalahan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg