Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai perubatan jenuh bantu mangsa pengeboman Israel di Gaza

Jan 12, 2024 | 4:16 PM
SERBA-SERBI KEKURANGAN: Para anggota Bulan Sabit Merah Palestin membantu memindahkan seorang lelaki yang cedera ke Hospital al-Aqsa di Deir Al-Balah untuk dirawat.
SERBA-SERBI KEKURANGAN: Para anggota Bulan Sabit Merah Palestin membantu memindahkan seorang lelaki yang cedera ke Hospital al-Aqsa di Deir Al-Balah untuk dirawat. - Foto REUTERS

GAZA/LONDON: Penduduk Palestin yang cedera berpusu-pusu masuk ke Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Gaza, ketika pegawai perubatan yang keletihan cuba membantu mangsa serangan darat dan pengeboman Israel.

Doktor Khaled Abu Awaimer berkata hospital itu kehabisan bekalan perubatan dan ramai anggota perubatan yang tinggal telah pun dipindahkan kerana khuatir diserang lagi.

“Kami mempunyai kes yang kami tidak boleh berbuat apa-apa. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan jadi kami berasa tidak berdaya sepenuhnya. Ini sangat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam video yang diperoleh Reuters.

Matlamat Israel di Gaza adalah untuk menghapuskan Hamas, yang telah menyerang selatan Israel pada 7 Oktober yang membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan berterusan Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 23,400 orang menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.

Masalah yang menimpa hospital itu dan nasib kakitangan perubatannya yang beroperasi di bawah pengeboman, dengan bekalan elektrik dan air yang sering terganggu serta stok perubatan yang tidak mencukupi, menimbulkan kebimbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketika Dr Khaled bercakap, berpuluh-puluh orang berkerumun di sekitar kawasan hospital yang sesak dengan penduduk yang datang bagi mendapatkan rawatan serba kekurangan di situ.

Menurutnya, persekitaran hospital pernah diserang tentera Israel yang mengakibatkan ambulans musnah.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata tentera Israel telah menyasarkan salah satu ambulansnya di Deir al-Balah, membunuh empat pekerja perubatan dan mencederakan dua orang awam.

Tentera Israel tidak mengulas mengenai kejadian itu. Ia sebelum ini menuduh Hamas beroperasi di luar hospital dan ambulans, sesuatu yang dinafikan kumpulan militan itu.

Ramai pegawai penjagaan kesihatan di Hospital al-Aqsa telah berpindah lebih jauh ke utara Gaza untuk mengelak serangan darat Israel.

Doktor James Smith, dari Britain, yang bekerja di hospital al-Aqsa dari akhir Disember sehingga terpaksa berpindah hujung minggu lalu, berkata pesakit di hospital itu mengalami kecederaan trauma konflik paling serius yang pernah dilihatnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg