Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Serangan Israel berterusan di sebalik ‘fasa lebih bersasar’ di Gaza

Jan 10, 2024 | 01:31 PM



KHAN YOUNIS (Gaza): Rakyat Palestin hanya berasa sedikit kelegaan daripada pengeboman Israel yang telah menghancurkan Gaza di sebalik ikrar negara itu untuk melancarkan serangan “lebih disasarkan” di tengah-tengah desakan Amerika Syarikat supaya Israel melindungi orang awam Palestin.


Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, dilaporkan berkata bahawa tenteranya “akan beralih kepada pendekatan pertempuran baru” dengan kempen udara yang kurang intensif, selepas menyatakan sebelum ini ia akan mula menarik sebahagian tentera keluar dari Jaluran Gaza.

Bagaimanapun, penduduk Palestin masih terus bergegas ke hospital Gaza setiap pagi, membawa saudara yang cedera akibat pengeboman semalaman, dan mendapati wad dan koridor yang penuh sesak.

Pekerja penyelamat pula sibuk menguruskan mereka yang ditemui maut di bawah puing-puing runtuhan bangunan yang telah dibom tentera Israel.

Pihak berkuasa kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata pada 9 Januari bahawa 126 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah korban sejak perang meletus pada 7 Oktober kepada lebih 23,200 nyawa manakala ribuan lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam bangunan runtuh.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, pula berkata terdapat “keperluan mutlak” bagi Israel berusaha melakukan lebih banyak lagi bagi melindungi orang awam.

Beliau menyatakan demikian sebelum tiba di Tel Aviv pada 9 Januari untuk bertemu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebagai sebahagian rangka lawatannya ke Timur Tengah.

Dalam pertemuan dengan Encik Netanyahu, Encik Blinken “menekankan kepentingan untuk mengelakkan bahaya awam selanjutnya dan melindungi prasarana awam di Gaza”, kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Matthew Miller, dalam satu kenyataan.

Tetapi bagi kebanyakan penduduk Gaza, ia hanya kenyataan yang menghampakan.

“Kami masih dibom oleh pesawat, dibedil oleh senjata Israel. Jadi biarkan Blinken hentikan perkara ini,” kata Encik Shaban Abad, 45 tahun, pakar teknologi maklumat di Bandar Gaza yang telah berpindah ke Khan Younis dan kemudian ke Rafah dengan lima anaknya.

“Sejak beliau (Blinken) tiba, pengeboman di Gaza, di Rafah, yang sepatutnya menjadi tempat selamat, tidak berhenti. Tidakkah beliau melihatnya?” tanya Encik Abad.

Israel berikrar memusnahkan Hamas selepas kumpulan itu membunuh lebih 1,400 orang dan menahan 240 tebusan dalam serangan merentasi sempadan Israel pada 7 Oktober 2023.

Tentera Israel, yang sebelum ini menggesa orang awam Palestin supaya tidak kembali ke rumah mereka di utara Gaza, berkata pihaknya telah memperluaskan operasi di Khan Younis yang kini sesak dengan penduduk yang mencari perlindungan.

Seorang lagi penduduk, Encik Youssef Salem Hijazi, berkata beliau mengalu-alukan kenyataan Encik Blinken yang menggesa Israel meredakan serangannya dan membenarkan orang awam pulang ke rumah masing-masing.

“Tetapi kami mendengar kata-katanya dengan sia-sia. Kami mengikuti berita tetapi realitinya kami tidak melihat apa-apa yang memberi kami harapan.” – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >