JAKARTA: Institut Bantuan Guaman Jakarta (LBH Jakarta) bakal memfailkan saman terhadap syarikat tenaga gergasi, Pertamina, dan anak syarikatnya bagi memastikan pampasan diberikan kepada pengguna yang berpotensi terjejas akibat dakwaan penjualan bahan api bermutu rendah sebagai produk premium.
Peguam dari LBH Jakarta kini giat mengumpul bukti berhubung kerugian pengguna bagi menyokong tuntutan undang-undang terhadap PT Pertamina Patra Niaga yang didakwa telah menjual bahan api bermutu lebih rendah daripada yang dijanjikan.
Bagi mempercepatkan proses pengumpulan bukti, LBH Jakarta telah membuka pusat aduan secara bersemuka di pejabat mereka di Jakarta Pusat pada 28 Februari.
Inisiatif itu melengkapkan portal aduan dalam talian yang telah dibuka pada 26 Februari.
Sebanyak 426 aduan diterima, termasuk bukti kerosakan kenderaan akibat penggunaan bahan api bermutu rendah, lapor akhbar, The Jakarta Post.
“Kami masih menunggu lebih banyak bukti sebelum memfailkan saman ini.
“Jika siasatan jenayah sedia ada tidak menangani isu pencemaran bahan api ini, kami akan mengemukakan tuntutan undang-undang yang berasingan,” kata Pengarah LBH Jakarta, Encik Fadhil Alfathan.
Dakwaan penipuan itu semakin mendapat perhatian selepas Pejabat Peguam Negara (AGO) yang mengumumkan penahanan tujuh suspek dalam kes rasuah membabitkan import bahan api Pertamina pada 24 Februari, yang dikatakan menyebabkan kerugian hampir AS$12 bilion ($16.2 bilion) kepada negara.
Dua lagi suspek ditahan pada 26 Februari, termasuk Presiden Pengarah Pertamina Patra Niaga, Riva Siahaan, dan Kerry Adrianto, anak kepada taikun minyak Riza Chalid.
Suspek didakwa memanipulasi urus niaga import dan eksport minyak Pertamina dari 2018 hingga 2023 serta menyalurkan petrol subsidi beroktana rendah sebagai bahan api premium dengan harga lebih tinggi.
Menurut Encik Fadhil, pengguna yang mengalami kerugian akibat bahan api bermutu rendah itu sepatutnya diberikan pampasan, seperti yang dijamin dalam undang-undang perlindungan pengguna.
“Kami ragu-ragu bahawa pampasan akan diberikan dengan segera, jadi tiada pilihan lain selain memfailkan tuntutan mahkamah,” ujarnya.
LBH Jakarta sedang meneliti dua pilihan tindakan undang-undang bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan oleh AGO.
Sekiranya isu itu berpunca daripada kelemahan dalam dasar dan tadbir urus, mereka berpotensi untuk memfailkan Saman Warga atau Citizen Lawsuit bagi menuntut kebertanggungjawapan pemerintah atau pihak berkaitan dalam memastikan hak pengguna dilindungi.
Namun, jika masalah ini berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak berkesan dan telah memberi kesan langsung kepada ramai pengguna, LBH Jakarta boleh mengemukakan Tindakan Kelas atau Class Action Lawsuit, apabila sekumpulan pengguna yang terjejas boleh bersatu menuntut pampasan secara kolektif daripada pihak yang bertanggungjawab.
Ketua Badan Perlindungan Pengguna Nasional (BPKN), Encik Mufti Mubarok, turut menyatakan bahawa pengguna boleh mengemukakan tuntutan tindakan kelas sekiranya terdapat bukti kukuh bahan api yang dijual tidak memenuhi spesifikasi yang dijanjikan.
“Pengguna menerima maklumat palsu dan telah ditipu kerana mereka membayar untuk petrol RON 92, tetapi hanya menerima RON 90,” katanya.
Kajian oleh Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Undang-Undang (Celios) menganggarkan bahawa pengguna mengalami kerugian kira-kira 17.4 trilion rupiah ($1.42 bilion) pada 2023 akibat perbezaan harga antara dua jenis bahan api itu, tidak termasuk potensi kerosakan kenderaan.
Penyelidik undang-undang Celios, Encik Shaleh Hidayat, turut mengkritik sistem perundangan semasa yang lebih menumpukan kepada kerugian negara berbanding pampasan kepada pengguna.
“Adalah tidak adil jika pampasan hanya diberikan kepada negara sedangkan pengguna yang menjadi mangsa penipuan ini tidak mendapat sebarang ganti rugi,” tegasnya.
Dalam pada itu, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, menegaskan bahawa bahan api Pertamax yang kini berada di pasaran memenuhi piawaian RON 92 dan menafikan dakwaan pencemaran bahan api.
Beliau menjelaskan bahawa pencampuran petrol beroktana rendah dengan jenis bahan api lebih tinggi adalah sebahagian daripada proses “pencampuran teknikal”.
Namun, Encik Shaleh membantah kenyataan itu dengan menyatakan bahawa pencampuran bahan api sepatutnya berlaku di kilang penapisan dan bukannya di terminal penyimpanan atau depoh minyak.
“Kami memerlukan bukti saintifik daripada pihak berkuasa bagi menjelaskan perkara ini serta satu audit yang telus,” tambahnya.
Dalam perkembangan terbaru, Pertamina mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menghormati proses undang-undang dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan ini.
Sementara itu, seorang pengguna yang mendakwa mengalami kerosakan kenderaan akibat bahan api bermutu rendah menyuarakan kekecewaannya.
“Kami membayar lebih untuk bahan api premium, tetapi akhirnya mendapat petrol bermutu rendah yang merosakkan enjin.
“Kami mahukan keadilan dan pampasan,” kata seorang pengguna, Encik Arief Sudrajat, yang menyokong tindakan undang-undang yang sedang diusahakan LBH Jakarta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg