Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura belum buat keputusan bagi pengerahan tenaga nuklear

Nov 6, 2025 | 7:40 PM
nuklear, S’pura, belum buat keputusan
Dalam sidang Parlimen pada 6 November, Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata belum ada sebarang keputusan untuk pengerahan tenaga nuklear di Singapura. - Foto MDDI

Pemerintah belum membuat sebarang keputusan bagi pengerahan tenaga nuklear di Singapura, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Beliau memberi penekanan bahawa buat masa ini, pemerintah sedang mengkaji potensi penggunaan nuklear sebagai sumber tenaga rendah karbon, sekali gus meningkatkan keselamatan tenaga Singapura.

Ini termasuk mengkaji dan menilai teknologi nuklear lebih baru seperti reaktor modular kecil (SMR) berbanding loji nuklear konvensional, katanya.

“Sebagai sebahagian usaha keseluruhan pemerintah membina keupayaan bagi menilai sama ada teknologi nuklear terkini sesuai digunakan di Singapura, pemerintah telah menubuhkan pasukan tenaga nuklear khusus dalam Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

“Pasukan EMA dan NEA terdiri daripada pegawai perkhidmatan awam. Mereka akan mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan peranan mereka dan akan bekerjasama dengan rakan kongsi pemerintah lain, serta dengan industri dan rakan akademia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast-Jurong West) dan Dr Choo Pei Ling (GRC Chua Chu Kang) berkenaan persiapan Singapura untuk mengerahkan penggunaan tenaga nuklear.

Pembinaan keupayaan dalam tenaga nuklear kali pertama diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan Belanjawan 2025 pada Februari.

Beliau berkata pemerintah Singapura akan mengatur semula organisasinya untuk memberi “penekanan lebih besar” terhadap pembinaan keupayaan dalam tenaga nuklear.

Dr Tan berkata kajian yang ditugaskan oleh EMA bertujuan meneroka keselamatan serta daya maju teknologi janakuasa nuklear yang canggih dan bukan terhadap tapak berpotensi mahupun garis masa pengerahan tenaga tersebut.

Susulan penjelasan Dr Tan, beberapa Anggota Parlimen (AP) tampil mengajukan soalan susulan.

Cik Poh Li San (SMC Sembawang West), Encik Ang dan Dr Choo mengetengahkan kebimbangan warga berkenaan kewujudan loji nuklear di Singapura.

Dr Tan mengulangi bahawa pemerintah masih belum membuat apa-apa keputusan berkenaan pengerahan tenaga nuklear di sini, namun ia akan meneruskan usaha pendidikan kepada golongan awam agar mereka sedia maklum tentang perkembangan tenaga nuklear.

Ini di samping memahami isu, manfaat dan risiko bersangkutan dengan pengerahan tenaga nuklear, jika ia diputuskan, terangnya.

“Pihak pemerintah sedang dalam proses membina keupayaan (dalam tenaga nuklear) dan ini selari dengan pendekatan peristiwa penting di bawah IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa).

“Ia disokong rakan kongsi antarabangsa untuk mengkaji potensi pengerahan sedemikian (yang ditetapkan) pada piawaian keselamatan tinggi,” tambah Dr Tan.

AP Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, turut bertanya aspek yang akan pemerintah tumpukan bagi pendidikan awam terhadap daya maju tenaga nuklear.

Dr Tan berkata usaha pendidikan awam meliputi manfaat dan risiko tenaga nuklear.

Beliau menambah adalah penting bagi orang awam mengambil tahu bagaimana kecanggihan teknologi nuklear, dan bagaimana penggunaan tenaga ini “kini boleh dibuat dengan cara yang lebih selamat”.

“Kami (pemerintah) juga perlu mendidik orang ramai bagaimana dengan menyertakan tenaga nuklear dalam gabungan jenis tenaga kita, ia dapat meningkatkan keselamatan tenaga dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta memberi manfaat kepada rakyat Singapura,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg