Sebuah pasukan nuklear khas telah ditubuhkan di Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyusuli satu langkah penyusunan semula.
Langkah ini diambil selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan dalam ucapan Belanjawan 2025 pada Februari bahawa pemerintah Singapura akan mengatur semula organisasinya untuk memberi “penekanan yang lebih besar” terhadap pembinaan keupayaan dalam tenaga nuklear.
Singapura masih belum membuat keputusan sama ada ia akan menggunakan tenaga nuklear, lapor The Straits Times (ST).
EMA dan NEA, dalam satu kenyataan bersama kepada ST, berkata EMA telah menubuhkan satu pasukan khusus bagi tenaga nuklear untuk menilai kelayakan menggunakan teknologi tenaga nuklear canggih bagi penjanaan kuasa di Singapura.
EMA, antara lain, sebelum ini telah mengadakan lawatan ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland dan Perancis untuk mendalami pemahaman mengenai tenaga nuklear, dan telah meminta kajian mengenai teknologi nuklear canggih, seperti reaktor modular kecil (SMR).
Sementara itu, sebagai pengawal selia keselamatan radiasi dan nuklear, NEA telah menubuhkan pasukan keselamatan nuklear untuk mendalami kepakaran dalam keselamatan dan perlindungan nuklear.
Contohnya, NEA menjalankan program pemantauan radiasi di Singapura dengan 40 stesen pemantauan udara dan air yang mengukur parameter radiologi dalam persekitaran, seperti konsentrasi radionuklid.
Radionuklid membawa maksud nuklid yang tidak stabil dan mengalami pereputan radioaktif semula jadi.
“Usaha tertumpu oleh agensi pemerintah akan membantu Singapura membuat keputusan yang tepat mengenai kelayakan tenaga nuklear,” kata kededua agensi tersebut.
Dalam ucapan Belanjawannya, Encik Wong menyatakan bahawa minat terhadap tenaga nuklear semakin meningkat di seluruh dunia, dengan beberapa negara di rantau ini merancang untuk memasukkan sumber nuklear dalam campuran tenaga mereka.
Beliau juga mengatakan Singapura memerlukan keupayaan baru untuk menilai pilihan yang ada dan mempertimbangkan sama ada terdapat penyelesaian yang boleh dilaksanakan dengan selamat serta kos efektif.
Lima negara Asean – Vietnam, Indonesia, Filipina, Malaysia, dan Thailand – sedang mengkaji teknologi nuklear canggih atau merancang untuk membina reaktor baru bagi memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat.
Dengan had akses kepada tenaga boleh diperbaharui, Singapura sedang mengkaji tenaga nuklear sebagai sumber rendah karbon, sambil mempertimbangkan keselamatan tenaga, kos dan jejak karbon negara.
Sumber tenaga rendah karbon juga akan menyumbang kepada matlamat Singapura untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Sektor tenaga berasaskan bahan api fosil di Singapura menyumbang sekitar 40 peratus kepada jumlah pelepasan negara.
Kajian kebolehlaksanaan yang lebih awal pada 2012 menunjukkan bahawa teknologi nuklear pada waktu itu tidak sesuai bagi Singapura.
Namun, teknologi canggih, terutamanya SMR, menjadikan sumber tenaga itu lebih selamat.
Laporan EMA pada 2022 menunjukkan teknologi baru seperti nuklear dan geoterma boleh menyumbang sekitar 10 peratus keperluan tenaga Singapura menjelang 2050.
Beberapa perkembangan telah berlaku di Singapura sejak itu, termasuk pelantikan firma perunding Mott MacDonald untuk mengkaji keselamatan dan kebolehlaksanaan teknologi nuklear canggih seperti SMR.
Singapura juga telah menandatangani perjanjian dengan negara lain, seperti Amerika dan Perancis, untuk mempelajari teknologi nuklear dan penyelidikan saintifik.
Institut penyelidikan dan keselamatan nuklear baru telah dilancarkan pada Julai untuk membina kepakaran dalam bidang ini.
Institut itu juga bertujuan melatih 100 pakar nuklear menjelang 2030, berbanding 50 orang sekarang.
“
“Usaha tertumpu oleh agensi pemerintah akan membantu Singapura membuat keputusan yang tepat mengenai kelayakan tenaga nuklear.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg