Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja kilang Vietnam resah dengan ancaman tarif Trump

May 13, 2025 | 5:30 AM
vietnam, textile
Di kilang yang mengeksport kemeja-T dan pakaian dalam ke Amerika Syarikat itu, para pekerja meluahkan kebimbangan terhadap tarif mengejut yang dikenakan Amerika ke atas Vietnam, yang dijangka memberi kesan besar terhadap kelangsungan perniagaan mereka. - Foto AFP

HO CHI MINH: Ketika ekonomi Vietnam masih bergantung kepada eksport tekstil dan produk kilang ke pasaran Amerika Syarikat, satu pengumuman mengejut oleh Presiden Donald Trump mengenai tarif import sebanyak 46 peratus ke atas barangan dari Vietnam telah mengundang kegusaran besar dalam kalangan pekerja dan pengurus kilang di seluruh negara itu.

Dalam industri yang sudah pun bergelut dengan margin keuntungan yang tipis dan ketidakpastian pasaran sejagat, ancaman tarif ini menjadi satu titik genting yang boleh menjejas keseluruhan rantaian ekonomi Vietnam.

Cik Nguyen Thi Tuyet Hanh, 40 tahun, telah bekerja melalukan dua pekerjaan kilang selama hampir setahun selepas suaminya kehilangan pekerjaan pada 2023.

Dengan empat anak yang perlu diberi makan dan dihantar ke sekolah, beliau tidak mempunyai banyak pilihan dan tekanan kewangan amat membebankan.

“Itu tempoh yang sangat memeritkan. Keluarga saya pernah melalui waktu itu – saya tidak mahu mengalaminya sekali lagi,” katanya.

Kini suaminya kembali bekerja sepenuh masa di sebuah kilang, tetapi bayangan tarif baru oleh Encik Trump menghantui keluarganya yang tinggal di rumah pangsa konkrit di pinggir Bandar Ho Chi Minh.

Beliau kini memegang jawatan sebagai penyelia barisan pengeluaran di kilang kasut yang menghasilkan barangan untuk jenama antarabangsa seperti Nike dan Salomon dan beberapa lagi jenama sukan utama.

Beliau memperoleh sekitar AS$577 ($747) sebulan, menguruskan 138 pekerja yang sibuk menjahit kasut untuk pasaran eksport.

Ketakutan itu bukan hanya dirasai oleh Cik Hanh. Ia turut bergema di ratusan kilang di seluruh Vietnam, dari Hanoi hingga ke Can Tho.

Mesin jahit terus ligat bergerak tanpa henti, tetapi di sebalik hiruk-pikuk pengeluaran, tersembunyi kegusaran mendalam tentang masa depan yang semakin tidak menentu.

Walaupun tarif 46 peratus itu kini ditangguhkan selama 90 hari, ramai usahawan dan pengilang tempatan percaya kesannya sudah mula dirasai.

Vietnam menjadi antara negara yang paling berkembang pesat sebagai hab pengilangan sejak 15 tahun lalu, dengan eksport ke Amerika menyumbang lebih satu perempat daripada ekonomi nasional.

Namun, industri tekstil dan pakaian Vietnam hanya beroperasi dengan margin keuntungan sekitar 5 peratus.

Dengan pengumuman tarif, beberapa syarikat telah memotong pengambilan pekerja, membekukan kenaikan gaji, malah ada yang membatalkan projek pengembangan.

Beberapa pembeli dari Amerika juga telah mula membatalkan pesanan atau menangguhkannya.

Pengerusi syarikat pakaian, Thanh Cong, Encik Tran Nhu Tung, yang mempunyai 6,000 pekerja dan kilang di lima lokasi, menyatakan bahawa pelanggan dari Amerika mula menuntut penurunan harga.

“Ini satu tekanan besar untuk syarikat kerana margin keuntungannya sangat rendah,” jelas beliau.

Syarikat seperti Thanh Cong tidak duduk diam.

Mereka mula meneroka pasaran baru di Timur Tengah dan Eropah, dan berbincang dengan pelanggan Amerika tentang kemungkinan menampung kos tarif baru.

Syarikat itu membekalkan pakaian kepada jenama terkenal seperti Adidas, New Balance, dan Eddie Bauer.

Syarikat itu turut menerima permintaan untuk meningkatkan pengeluaran dalam tempoh 90 hari ini, sebagai usaha mengatasi sebarang kekangan masa depan.

“Saya tidak mahu memberhentikan pekerja. Kami akan lakukan apa sahaja untuk memastikan mereka terus bekerja di sini,” tegas Encik Tran.

Namun ketidakpastian tetap menjadi masalah utama. Pemerintah Vietnam juga tidak berdiam diri.

Tidak lama selepas pengumuman tarif tersebut, pemimpin tertinggi Vietnam, Encik To Lam, menghubungi Presiden Trump dan menawarkan pengurangan tarif import dari Amerika ke tahap sifar.

Beliau turut menghantar surat memohon pertemuan dengan Encik Trump di Washington hujung Mei untuk merundingkan jalan penyelesaian.

Encik Tran Nhu Tung, yang juga Naib Pengerusi Persatuan Tekstil dan Pakaian Vietnam, menyatakan bahawa tarif akhir melebihi 20 peratus akan menjadi garis pemisah bagi banyak kilang.

Menurutnya, sebarang kenaikan yang melebihi 20 peratus akan menjadi bencana kepada industri.

“Dalam senario itu, kilang perlu mengurangkan margin keuntungan mereka, pembeli dari Amerika juga perlu menanggung kesannya, dan akhirnya pengguna akan membayar harga yang lebih tinggi,” katanya.

Pada masa ini, pakaian dari Vietnam dikenakan tarif hampir 28 peratus termasuk tambahan 10 peratus yang dikenakan oleh pentadbiran Encik Trump pada April.

Jika jumlah itu mencecah 46 peratus, ia bukan sekadar memberi tekanan kepada kilang, malah berpotensi melumpuhkan keseluruhan industri yang selama ini menjadi tunjang utama kepada pertumbuhan ekonomi Vietnam.

Syarikat seperti Mian Apparel, yang mengendalikan tujuh kilang dan dua pusat cucian dengan 12,000 pekerja, turut terkesan.

Mereka menghasilkan pakaian untuk jenama seperti Target, Gap, Walmart dan Costco.

“Ketidakpastian bukan sesuatu yang baik untuk perniagaan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Operasi, Mian Apparel, Encik Vu Manh Hung.

Menurutnya, pelanggan mendesak mereka supaya mempercepatkan penghantaran sebelum tempoh penangguhan 90 hari itu berakhir.

Akibatnya, mereka terpaksa menambah pekerja dan mempercepatkan jadual pengeluaran.

Di bahagian utara Vietnam, Encik Tran Quang, seorang eksekutif di syarikat pewangi rumah, memberitahu walaupun belum memecat pekerja, beliau tidak berani mengambil pekerja baru seperti tahun-tahun sebelumnya kerana kebimbangan yang sama.

“Sekarang sepatutnya musim sibuk kami. Tetapi kami belum terima sebarang pesanan baru. Sesetengah pelanggan mula membatalkan pesanan.

“Jika ketidakpastian ini berterusan, pelanggan akan mula ubah rantaian bekalan mereka. Mengapa mereka harus menunggu 90 hari lagi jika akhirnya keputusan itu memudaratkan?” katanya.

Beberapa penganalisis menyatakan bahawa penangguhan 90 hari itu tidak akan banyak membantu sekiranya tiada jaminan penyelesaian jangka panjang. Untuk kilang dan pekerja, penangguhan hanya melambatkan ketidakpastian.

Bagi ribuan keluarga pekerja kilang di Vietnam, seperti keluarga Cik Hanh, isu itu bukan sekadar soal ekonomi. Ia menyentuh kelangsungan hidup.

“Kami bukan minta lebih. Kami hanya mahu peluang untuk bekerja dan menyara keluarga,” kata Cik Hanh sambil memandang barisan pekerja di kilangnya yang masih menjahit kasut yang mungkin tidak akan sampai ke pasaran Amerika.

Dengan rundingan yang masih berlangsung dan tarikh akhir semakin hampir, tumpuan kini mengarah sepenuhnya kepada hasil perbincangan antara kededua negara – yang akan menentukan hala tuju masa depan industri pembuatan Vietnam. – Agensi berita.

“Ini satu tekanan besar untuk syarikat kerana margin keuntungannya sangat rendah... Saya tidak mahu memberhentikan pekerja. Kami akan lakukan apa sahaja untuk memastikan mereka terus bekerja di sini.”
Encik Tran Nhu Tung, pengerusi syarikat pakaian, Thanh Cong, yang mempunyai 6,000 pekerja dan lima kilang di Vietnam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg