JAKARTA: Seorang pelajar berusia 17 tahun ditahan polis antikeganasan Indonesia selepas dipercayai menghasilkan bom buatan sendiri yang meletup di kawasan sebuah sekolah agama di Padang, Sumatera Barat, mencetuskan kebimbangan mengenai pengaruh kandungan ekstrem dan berbahaya di internet terhadap golongan remaja.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi 14 Julai di Madrasah Aliyah Negeri (MAN) 3 Padang, bom buatan sendiri itu meletup berhampiran sebuah bilik darjah, namun tiada pelajar atau guru cedera.

Insiden itu mencetuskan suasana panik di sekolah apabila pelajar dan guru segera dipindahkan, manakala anggota Unit Pemusnah Bom (Gegana) menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahan letupan berbahaya ditinggalkan di lokasi.

Jurucakap Unit Khas Antipengganasan Polis Nasional Indonesia,Densus88, Encik Mayndra Eka Wardhana, berkata pelajar terbabit yang hanya dikenali sebagai R ditahan selepas siasatan awal mendapati bahan letupan itu dipercayai dibuat sendiri.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati letupan hanya berlaku sekali dan berlaku di bahagian tepi bangunan bilik darjah.

Menurut Encik Mayndra, kejadian itu mula dikesan selepas pengawal keselamatan sekolah menemui objek mencurigakan yang dipercayai bom buatan sendiri sebelum segera memaklumkan kepada polis.

Pasukan keselamatan kemudian mengepung kawasan sekolah dan menjalankan operasi pemeriksaan rapi.

Hasil pemeriksaan awal, polis merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu, termasuk sebuah kotak hitam, beg galas hitam, telefon bimbit, mercun, pisau, anak panah, guli, nat dan bolt serta beberapa barangan lain.

“Siasatan awal mendapati semua barangan itu dipercayai milik suspek dan kini dijadikan bahan bukti untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes berkenaan kini disiasat bersama oleh Densus 88 Antiteror dan Polis Daerah Sumatera Barat.

Berdasarkan keterangan awal suspek, alat letupan itu dipasang sendiri menggunakan bahan yang dibeli menerusi internet dan dibuat di rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Lebih membimbangkan, katanya, suspek turut mengaku mempelajari cara menghasilkan bahan letupan melalui Internet serta menyertai beberapa kumpulan dalam talian yang membincangkan pembuatan bahan letupan.

Beliau berkata, polis kini sedang meneliti aktiviti dalam talian suspek bagi mengenal pasti sama ada dia mempunyai hubungan dengan mana-mana rangkaian atau individu lain.

Pada masa sama, penyiasat turut menyiasat sumber sebenar inspirasi suspek serta sama ada terdapat sasaran tertentu yang ingin diserang.

“Identiti individu yang didakwa menjadi sasaran masih berdasarkan keterangan suspek dan memerlukan siasatan lanjut,” katanya.

Encik Mayndra berkata, suspek turut mengaku mendapat inspirasi daripada kejadian letupan bom buatan sendiri di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 Jakarta pada November 2025 lalu.

Dalam insiden itu, sebuah bom buatan sendiri meletup di kawasan sekolah sehingga mencederakan 96 orang, termasuk beberapa mangsa yang mengalami kecederaan serius.

Siasatan polis ketika itu membawa kepada penahanan seorang pelajar yang dipercayai menghasilkan bom berkenaan.

Penyiasat turut menemui bukti digital menunjukkan suspek pernah melayari forum dalam talian yang memaparkan kandungan ganas serta membeli bahan yang digunakan untuk menghasilkan bom buatan sendiri.

Selain itu, polis menemui petunjuk bahawa pelajar berkenaan mengikuti komuniti maya yang membincangkan jenayah sebenar dan keganasan, selain merampas sepucuk senjata api tiruan yang mempunyai kaitan dengan nama beberapa pembunuh beramai-ramai yang disabitkan kesalahan.

Encik Mayndra berkata, pengakuan suspek bahawa dia terpengaruh dengan kejadian di Jakarta masih belum dapat disahkan sepenuhnya dan motif sebenar sedang disiasat.

“Suspek mengaku mempelajari cara menghasilkan bahan letupan secara dalam talian dan mendapat inspirasi daripada kejadian di SMAN 72 Jakarta pada 2025. Motif itu masih dalam proses penelitian oleh pasukan penyiasat,” katanya.

Menurut beberapa laporan media tempatan, pelajar terbabit dipercayai sering menjadi mangsa buli di sekolah, namun polis menegaskan dakwaan itu masih belum dapat dipastikan dan akan turut disiasat sebagai sebahagian daripada motif kejadian.

Setakat ini, pihak berkuasa belum menemui bukti yang menunjukkan letupan itu mempunyai kaitan dengan rangkaian keganasan yang lebih besar.

Bagaimanapun, Densus 88 menegaskan semua kemungkinan, termasuk pengaruh kandungan ekstrem di Internet serta penyertaan suspek dalam kumpulan maya yang membincangkan bahan letupan, sedang diteliti secara menyeluruh.

Polis turut mengambil keterangan daripada guru, pelajar dan saksi lain bagi mendapatkan gambaran lengkap mengenai kejadian, selain menjalankan analisis forensik terhadap telefon bimbit dan peranti digital milik suspek.

Kes itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai akses mudah golongan muda kepada bahan pengajaran menghasilkan bahan letupan di Internet serta pengaruh komuniti maya yang mempromosikan kandungan berbahaya.

Pihak berkuasa berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar, sasaran yang dirancang serta sama ada terdapat individu lain yang terbabit dalam kejadian itu. - Agensi berita