YOGYAKARTA: Ribuan pelajar mengadakan protes Indonesia Gelap di seluruh negara pada 20 Februari sebagai tanda bantahan terhadap pemotongan bajet dan dasar-dasar Presiden Prabowo Subianto. Mahasiswa bimbang langkah ini akan merosakkan sistem sokongan sosial dan masa depan mereka.
Di Yogyakarta, kira-kira 1,000 pelajar berpakaian hitam memegang sepanduk dan berarak melalui jalan utama di bandar itu, menuntut perubahan. Ini berlaku empat bulan selepas Encik Prabowo mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia, selepas kemenangan besar dalam pilihan raya.
Protes turut diadakan di beberapa bandar lain termasuk Jakarta, dan Medan di Sumatera. #IndonesiaGelap telah menjadi trend di media sosial untuk meluahkan kebimbangan mengenai pemotongan bajet ini.
Selain itu, satu lagi trend yang popular, #Kaburajadulu warga net berkongsi pandangan mengenai cara untuk berhijrah dan mencari kehidupan lebih baik di luar negara.
Menurut Encik Herianto, seorang pemimpin pelajar di Jakarta, mereka membantah pemotongan dalam sektor pendidikan selepas Presiden Prabowo mengarahkan langkah penjimatan untuk menjimatkan sekitar AS$19 bilion ($25.4 bilion).
Wang tersebut kemudiannya akan digunakan untuk membiayai pelbagai dasar, termasuk rancangan makan tengah hari percuma untuk pelajar.
“Indonesia kini gelap kerana banyak dasar yang tidak jelas kepada masyarakat,” kata Encik Herianto yang hanya dikenali dengan nama pertamanya. “Potongan ini dilakukan untuk menampung perbelanjaan program makan percuma. Pendidikan adalah salah satu sektor yang akan terjejas. Pelajar sangat marah,” ujarnya.
Pejabat Presiden Prabowo menjelaskan bahawa perubahan peruntukan ini tidak akan memberi kesan kepada sektor pendidikan dan kebajikan guru. Namun, dengan pelbagai kementerian yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan, timbul kebimbangan bahawa perkhidmatan pemerintah akan terjejas.
Para pelajar universiti ini turut menyuarakan bantahan terhadap peningkatan peranan ketenteraan dalam sektor awam, serta masalah kekurangan bekalan gas masak bersubsidi yang semakin membebankan rakyat.
Walaupun protes ini semakin berkembang, sokongan terhadap Presiden Prabowo masih kukuh di seluruh Indonesia. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh firma penyelidikan bebas seperti Indikator Politik Indonesia, tahap populariti beliau berada pada sekitar 80 peratus pada Januari lalu.
Demonstrasi pada 20 Februari ini merupakan yang terbesar sejak Ogos 2024, sebelum Encik Prabowo memegang jawatan. Ketika itu, Parlimen Indonesia menangguhkan rancangan untuk meminda undang-undang pilihan raya setelah ribuan orang keluar ke jalanan, membakar barangan dan berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air.
“Pihak pemerintah perlu lebih jelas dalam menjelaskan dasar mereka agar tidak membingungkan rakyat, terutamanya generasi muda yang sangat terkesan dengan perubahan ini,” tambah Encik Herianto. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg