JAKARTA: Menteri Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, menegaskan bahawa Presiden Prabowo Subianto menghormati tuntutan mahasiswa dari pelbagai universiti di Indonesia yang mengadakan tunjuk perasaan ‘Indonesia Gelap’ pada 17 Februari.
Beliau juga menekankan keterbukaan pemerintah terhadap aspirasi rakyat serta komitmen mendengar suara mereka.
“Atas nama pemerintah dan Presiden, kami sentiasa terbuka terhadap aspirasi rakyat.
“Sebelum menjawat jawatan, kami sendiri pernah berjuang dalam politik, jadi kami memahami dinamik ini,” ujarnya di Kompleks Parlimen, Senayan, pada 18 Februari.
Dalam menyambut baik suara mahasiswa, Encik Prasetyo berharap demonstrasi dilakukan secara aman dan tidak mengganggu kepentingan awam.
“Silakan menyampaikan aspirasi, tetapi jangan sampai merugikan masyarakat dengan merosakkan kemudahan umum,” tambahnya.
Gerakan bantahan besar-besaran itu berlangsung serentak di beberapa bandar utama pada 17 Februari dan dijangka berlanjutan selama tiga hari.
Protes itu mendapat sokongan luas, dengan mahasiswa dari pelbagai universiti menyatakan komitmen meneruskan gerakan itu sehingga tuntutan mereka mendapat perhatian serius daripada pemerintah.
Ia bertujuan memberikan tekanan kepada pemerintah agar lebih mempertimbangkan kebijakan yang dianggap tidak berpihak kepada rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, kesejahteraan akademik, menuntut perubahan dan mengkritik beberapa dasar pemerintahan Presiden Prabowo.
Bantahan tersebut dipelopori Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI) dan berlangsung serentak di beberapa kota utama, termasuk Jakarta, Bandung, Surabaya dan Yogyakarta.
Ketua Penyelaras BEM SI, Encik Satria Naufal Putra Ansar, menegaskan bahawa gerakan itu merupakan refleksi terhadap keresahan masyarakat mengenai dasar pemerintah yang dianggap tidak menepati sasaran.
Mahasiswa Universiti Gadjah Mada turut menyatakan komitmen mereka untuk bergabung dalam bantahan di Yogyakarta pada 20 Februari.
Wakil mereka, Encik Tiyo Ardianto, pada 18 Februari mengkritik dasar Makanan Berkhasiat Percuma, yang menurutnya dilaksanakan tanpa kajian akademik yang mencukupi sehingga mengakibatkan pemotongan belanjawan dalam sektor penting yang lain.
Gelombang bantahan mahasiswa juga dipicu oleh pemotongan belanjawan negara dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, dan Teknologi yang mengalami pengurangan anggaran bajet sebesar 22.5 trilion rupiah ($1.8 bilion) daripada jumlah keseluruhan 57.6 trilion rupiah.
Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, mengakui bahawa pemotongan itu turut memberi kesan kepada Bantuan Operasi Perguruan Tinggi Negeri (BOPTN), tetapi menegaskan bahawa pengurangan tersebut lebih memberi tumpuan pada perbelanjaan tidak penting seperti lawatan kerja, seminar, dan acara rasmi.
“Kami akan memastikan bahawa pemotongan belanjawan tidak mengganggu operasi universiti negeri, agar institusi pendidikan tinggi tetap dapat menjalankan fungsinya dengan baik,” jelas Cik Sri Mulyani.
Mahasiswa menekankan bahawa sektor pendidikan dan kesihatan tidak seharusnya menjadi korban pemotongan anggaran atas nama kecekapan.
Encik Satria dalam pernyataannya kepada pemerintah berkata: “Jangan takut menilai dan memperbaiki dasar. Kami tidak akan berhenti menyuarakan kebenaran demi masa depan yang lebih baik.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg