Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pelajar S'pura di sekolah dekat masjid NZ menangis ketakutan

Mar 16, 2019 | 06:01 PM



SEKOLAH berdekatan masjid di Christchurch, New Zealand, yang terlibat dalam serangan tembakan semasa solat Jumaat semalam (15 Mac) mengambil langkah berjaga-jaga demi melindungi dan menjaga keselamatan pelajarnya. 



Kolej perempuan St Margaret’s College, yang terletak sekitar dua kilometer dari Masjid Al Noor di mana 41 jemaah terkorban dalam kejadian ganas itu, mengunci pagar dan semua bilik darjah selama empat jam sehingga keadaan disahkan selamat untuk membenarkan pelajar pulang. 



Selama tempoh itu, pelajar terpaksa bersembunyi dalam bilik darjah di bawah meja jauh daripada tingkap, dalam keadaan meniarap.



Mereka tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit, dan jika mahu ke tandas dalam tempoh itu, mereka perlu merangkak keluar.



Dihubungi melalui panggilan jauh petang tadi, pelajar tahun 12 kolej itu, Hannah Sofeah Rashid Tahir, berkata serangan pengganasan tersebut berlaku ketika dia di dalam bilik darjah dengan 13 pelajar lain bagi dua kelas terakhir hari tersebut.



“Kejadian itu bermula pada 1.40 petang (waktu New Zealand) dan sekolah kami mula mengunci pagar dan semua bilik darjah mulai 2.15 petang. Kami tidak dapat menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga tetapi pihak sekolah ada menghantar pesanan teks dan e-mel kepada ibu bapa pelajar untuk memberitahu yang kami selamat,” kata Hannah, 16 tahun, anak bongsu Setiausaha Kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani Cik Haslinda Putri Harun.



“Saya banyak menangis sepanjang tempoh empat jam itu kerana masjid tempat kejadian tidak jauh dari sekolah dan saya takut kalau penembak datang ke sini. Ibu bapa di Singapura dan kakak saya yang berada di Auckland juga tidak henti menghubungi saya untuk menanyakan keadaan saya. Mujur tidak lama kemudian sekolah membenarkan kami menggunakan telefon dan saya dapat memberitahu keluarga yang saya dalam keadaan selamat,” tambahnya yang berada di New Zealand sejak tahun lalu.



Pada 6 petang, pelajar dibenarkan pulang ke rumah atau asrama.



Hannah, yang menetap di asrama berkata dia biasanya ke pusat beli-belah atau perpustakaan pada hujung minggu.



Namun dia mungkin tidak ke mana-mana hujung minggu ini kecuali jika dia bersama sekumpulan pelajar lain.



“Saya dapati jalan raya lengang hari ini. Kalau ada orang pun, mereka adalah orang berkulit putih, bukan daripada kaum lain. Semalam pun ada banyak helikopter tapi hari ini sudah berkurangan,” katanya sambil menambah sekolah berlangsung seperti biasa Isnin ini.



Sedang dia tidak mengenali mangsa secara peribadi, Hannah berkata dia turut bersedih kerana tidak menyangka kejadian ganas seperti itu boleh berlaku dalam negara dan masyarakat yang dianggap selamat.



“Terlintas juga dalam fikiran saya yang saya tidak mungkin mahu melanjutkan pengajian atau menetap di sini seperti yang saya rancang sebelum ini. Tapi melihat keprihatinan warga New Zealand yang sungguh baik hati dan banyak memberi sokongan sedikit sebanyak menenangkan hati saya. 



“Beberapa rakan saya yang merupakan warga New Zealand tanyakan keadaan saya dan jika saya kenal sesiapa yang terjejas. Mereka tahu yang saya lain daripada mereka dan saya orang Islam tapi mereka bersama-sama saya dan menegaskan yang kejadian ganas terhadap Muslim tidak sepatutnya berlaku,” kata Hannah.



Kejadian ganas semalam turut mengorbankan tujuh jemaah di Masjid Linwood, juga dalam daerah Christchurch.



Seorang lagi meninggal dunia di Hospital Christchurch.



Seorang lelaki Australia, Brenton Tarrant, 28 tahun, telah didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.



Dua lagi masih ditahan sedang siasatan diteruskan. Orang keempat telah dibebaskan daripada tahanan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >