Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelan damai di Gaza: Majlis Keselamatan PBB undi 17 Nov

Draf usul penubuhan badan pentadbir peralihan, Lembaga Keamanan, dipengerusi Trump dengan mandat hingga 2027
Nov 16, 2025 | 3:47 PM
PBB, pelan damai, undi
Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bakal mengundi pada 17 November mengenai resolusi yang menyokong rancangan damai Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump. - Foto AFP

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dijangka mengundi pada 17 November mengenai resolusi yang menyokong rancangan damai Gaza, yang diketengahkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Minggu lalu, Amerika memulakan rundingan rasmi dengan 15 anggota UNSC bagi merangka teks resolusi susulan gencatan senjata dalam perang dua tahun antara Israel dan Palestin, sekali gus mengesahkan pelan damai Encik Trump.

Draf berkenaan mengusulkan penubuhan Lembaga Keamanan – badan pentadbir peralihan untuk Gaza yang secara teori dipengerusikan Encik Trump dengan mandat sehingga 2027.

Ia turut memberi kuasa kepada negara anggota menubuhkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) sementara, yang akan bekerjasama dengan Israel, Mesir dan pasukan polis Palestin yang dilatih semula bagi memastikan keselamatan sempadan serta proses melucutkan senjata Hamas di Gaza.

Berbanding draf terdahulu, versi terbaru turut menyebut kemungkinan pembentukan negara Palestin pada masa depan.

Amerika bersama beberapa negara Arab termasuk Mesir, Arab Saudi dan Turkey, pada 14 November menggesa UNSC segera meluluskan draf berkenaan.

“Amerika, Qatar, Mesir, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Jordan dan Turkey, menyatakan sokongan terhadap draf resolusi yang sedang dipertimbangkan,” menurut kenyataan bersama itu, sambil menegaskan keperluan untuk meluluskan resolusi terbabit secepat mungkin.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Russia mengedarkan draf alternatif yang tidak menyertakan penubuhan Lembaga Keamanan atau penempatan segera pasukan antarabangsa di Gaza, menurut teks yang dilihat agensi berita, AFP.

Versi Russia hanya mengalu-alukan langkah yang membawa kepada gencatan senjata tanpa menyebut nama Encik Trump, selain meminta Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, menyediakan laporan mengenai kemungkinan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza.

Amerika yang menyifatkan gencatan senjata semasa sebagai ‘rapuh’ memberi amaran mengenai risiko jika drafnya ditolak.

“Penolakan terhadap resolusi ini bermakna memilih untuk mengekalkan pemerintahan Hamas atau kembali kepada perang dengan Israel, yang akan terus memerangkap wilayah dan rakyat Palestin dalam konflik berpanjangan.

“Setiap langkah menjauhi usaha ini, sama ada oleh pihak yang ingin bermain politik atau mengungkit masa lalu, akan membawa kesan kemanusiaan sebenar,” kata Duta Amerika ke PBB, Encik Mike Waltz, yang dipetik akhbar Washington Post.

Walaupun majoriti anggota UNSC dilihat menyokong prinsip rancangan damai itu, namun sumber diplomatik berkata beberapa isu masih dipersoalkan, termasuk ketiadaan mekanisme pemantauan Majlis Keselamatan berkenaan, peranan Penguasa Palestin (PA) serta butiran mandat ISF di Gaza.

Dalam kenyataan berasingan, Duta Russia ke PBB, Encik Vasily Nebenzya, berkata cadangan alternatif yang mereka ajukan mengiktiraf prinsip penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

“Malangnya, peruntukan penting ini tidak diberi perhatian sewajarnya dalam draf Amerika,” tambahnya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg