Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelancong Switzerland dipenjara setahun hina Hari Nyepi di Bali
Seorang pelancong Switzerland dijatuhi hukuman penjara setahun di Bali, Indonesia, selepas pendakwa raya mendapati dia telah melanggar upacara Hindu dan menghinanya di media sosial.
Luzian Andrin Zgraggen, 26 tahun, seorang pekerja binaan dari Switzerland, didapati bersalah melanggar undang-undang Indonesia dengan menyiarkan video provokatif di akaun lnstagram mengenai Hari Nyepi, pada 19 Mac.
Sepanjang tempoh 24 jam, penduduk tempatan dan pelancong dikehendaki kekal di rumah atau hotel mereka, memastikan lampu malap dan meminimumkan bunyi bising, dan digesa supaya bertafakur dengan tenang.
Menurut dokumen mahkamah, Zgraggen tiba di Bali pada 10 Februari untuk bercuti.
Sebelum Hari Nyepi pada Mac, kakitangan hotel telah menjelaskan peraturan bagi pelancong.
Pendakwa raya berkata Zgraggen berasa kecewa kerana dia tidak boleh meninggalkan hotel dengan bebas untuk mencari makanan lalu “melahirkan kemarahannya” di media sosial.
Demikian menurut salinan dalam talian berhubung dakwaannya.
Satu video menunjukkan Zgraggen berjalan dalam gelap dengan kapsyen bahawa keadaan “agak aman di luar”, diikuti dengan kata-kata kesat tentang peraturan bersifat keagamaan itu.
Selepas menerima beribu-ribu komen negatif, Zgraggen menurunkan hantaran tersebut.
Tetapi video itu telah disiarkan semula secara meluas ke akaun popular lain yang mendapat kritikan daripada penduduk Bali yang mendapati tindakannya tidak sopan.
Selepas hantaran tersebut menjadi tular, Zgraggen memuat naik semula video berkenaan dengan kapsyen “mereka mahu asap” – slanga untuk pergaduhan atau pertengkaran.
Hantaran itu turut menerima kritikan meluas.
Menurut pendakwa raya, Zgraggen kemudian menghubungi senator Majlis Perwakilan Wilayah Indonesia untuk memohon maaf.
Apabila tiba di kediaman senator itu, dia ditangkap oleh unit jenayah siber polis Bali dan didakwa menyebarkan ucapan kebencian, kata polis dalam satu kenyataan.
Perbicaraan Zgraggen bermula pada Jun dan pada 20 Ogos, dia dijatuhi hukuman penjara setahun.
Pada 19 Mac, seorang lagi pelancong telah ditahan ketika berjalan dengan bagasi di Bali.
Namun, polis dan pegawai keselamatan telah membantu lelaki itu mencari penginapan sementara. – Agensi berita.
