BANGKOK: Imigresen Thailand akan menguatkuasakan kad ketibaan digital bagi semua pengunjung yang menggunakan pasport asing mulai 1 Mei.
Mereka yang tiba dan berlepas dari Thailand melalui udara, darat dan laut mesti mengisi kad yang dikenali sebagai borang TM6 itu dalam talian.
Ini termasuk pengunjung asing dari negara yang dikecualikan visa seperti Singapura.
Tiada bayaran dikenakan bagi borang digital itu, yang akan menggantikan borang kertas yang digantung penggunaannya pada masa ini.
Laporan media tempatan menyatakan borang TM6 digital memerlukan maklumat peribadi dan perjalanan, termasuk butiran pasport dan alamat di Thailand.
Hanya mereka yang mempunyai pasport Thailand dikecualikan daripada mengisi borang TM6, kata pegawai Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, Encik Mongkon Wimonrat, pada 21 Januari.
Penggunaan borang digital TM6 dijangka membantu menjejak pelancong semasa mereka di Thailand, kata ketua Kementerian Pelancongan, Cik Natthriya Thaweevong.
Thailand sedang menangani tanggapan bahawa negara itu tidak selamat dikunjungi, terutamanya dalam kalangan pelancong China, selepas beberapa kes penculikan berprofil tinggi.
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, tampil memberi jaminan keselamatan kepada pelancong China dalam video bahasa Cina yang dijana menerusi kecederdasan buatan (AI).
Sumber di kementerian itu yang tidak mahu namanya disiarkan berkata dengan penggunaan borang digital TM6 tidak lama lagi, ada kemungkinan besar bayaran pelancongan 300 baht ($12) yang sedang dirancang akan ditangguhkan, lapor Bangkok Post. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg