Pelancong dari Singapura serta dari 92 negara lain yang kini menikmati perjalanan tanpa visa, tidak lama lagi perlu memohon permit Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA), jika mereka merancang melawat Thailand.
Beberapa laporan media melaporkan bahawa fasa percubaan akan bermula pada Disember, dengan penguatkuasaan penuh menjelang Jun 2025.
Namun difahamkan tarikh tersebut belum disahkan secara rasmi.
“Buat masa ini, pihak berkuasa Thailand masih dalam perbincangan mengenai kaedah terbaik untuk melaksanakan sistem sedemikian dan akan memerlukan penyelarasan lanjut sebelum ia dikuatkuasakan,” jelas jurucakap Kementerian Ehwal Luar Thailand, Encik Nikorndej Balankura.
Permit ETA tersebut diwajibkan bagi pelancong dari 93 negara yang pada masa ini menikmati perjalanan tanpa visa ke Thailand untuk penginapan sehingga 60 hari bagi tujuan pelancongan.
Apabila dikuatkuasakan, para pelancong perlu memohon ETA dalam talian sebelum tiba ke sana, dan dilaporkan bahawa tiada caj dikenakan untuk permohonan tersebut.
Rakyat Malaysia, Laos dan Kemboja serta pemegang pasport diplomatik, dan pengguna UN Laissez-Passer dan Pas Sempadan, dijangka dikecualikan daripada penguatkuasaan ETA.
Setiap permit sah selama 60 hari dari tarikh pengeluaran, dan boleh dilanjutkan sekali selama 30 hari.
Pemegang ETA akan dibenarkan menggunakan pintu automatik di pusat pemeriksaan imigresen dengan hanya mengimbas kod QR yang diberikan.
Thailand akan menyertai negara-negara lain yang menguatkuasakan ETA pada masa akan datang, seperti United Kingdom (UK), Eropah dan Jepun.
Mulai 8 Januari 2025, warga Singapura yang melawat UK dikehendaki memohon dan mendapatkan permit ETA.
Permohonan untuk permit perjalanan digital itu berharga £10 ($17), dan mereka boleh memohonnya dari 27 November melalui laman web atau aplikasi rasmi kerajaan Britain.
Untuk perjalanan ke Eropah pula, para pelancong perlu memohon dokumen Sistem Maklumat dan Kebenaran Perjalanan Eropah (Etias) mulai 2025.
Hanya pengunjung berumur dalam lingkungan 18 hingga 70 tahun sahaja perlu membayar 7 Euro ($10) untuk dokumen tersebut.
Negara-negara lain yang telah menguatkuasakan sistem serupa ialah Amerika Syarikat, Australia, Canada dan Korea Selatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg