Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelantikan Peguam Negara, Ketua Komunikasi Trump cetus debat

Nov 18, 2024 | 12:02 PM
Encik Brendan Carr, memberikan keterangan semasa sesi mengenai Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) pada 4 Jun 2020, di Washington, DC. Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Encik Donald Trump, dalam kenyataan pada 17 November, telah mencalonkan Encik Carr sebagai Pengerusi FCC.
Encik Brendan Carr, memberikan keterangan semasa sesi mengenai Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) pada 4 Jun 2020, di Washington, DC. Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Encik Donald Trump, dalam kenyataan pada 17 November, telah mencalonkan Encik Carr sebagai Pengerusi FCC. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Encik Donald Trump, mencetuskan perbincangan hangat selepas memilih Encik Brendan Carr sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) pada 17 November dan Encik Matt Gaetz sebagai Peguam Negara.

Langkah itu dianggap sesetengah pihak sebagai strategi untuk memperluaskan pengaruh politiknya, tetapi menimbulkan kontroversi berkaitan kelayakan dan kewibawaan calon tersebut.

Encik Carr, yang kini memegang jawatan sebagai ahli FCC dikenali sebagai seorang yang selari dengan agenda Encik Trump untuk mengehadkan peraturan, mengawasi syarikat teknologi besar seperti Meta dan Google, serta mengenakan kawalan lebih ketat ke atas rangkaian televisyen yang didakwa bersikap berat sebelah secara politik.

“Kartel penapisan mesti dihancurkan,” kata Encik Carr menerusi wadah media sosial X pada 11 November.

Beliau juga menulis sebuah bab dalam dokumen perancangan konservatif Project 2025, dan beliau mencadangkan FCC memperluaskan kawalan terhadap syarikat teknologi besar.

Namun, cadangan Encik Carr menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamat industri.

Cik Jessica Gonzalez, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama kumpulan kepentingan awam Free Press, menyatakan bahawa Encik Carr sering kali salah tafsir kuasa FCC.

“Carr telah mencadangkan banyak perkara di luar bidang kuasa FCC dan dalam beberapa kes, beliau dengan jelas salah membaca peraturan,” katanya.

Sokongan Encik Trump kepada Encik Carr adalah jelas.

“Carr ialah pejuang kebebasan bersuara dan telah menentang peraturan yang menekan ekonomi Amerika,” kata Encik Trump dalam satu kenyataan.

Pemilihan Encik Gaetz sebagai Peguam Negara turut mencetuskan kontroversi besar.

Encik Gaetz, yang berdepan tuduhan salah laku seksual dan penggunaan dadah, menafikan sebarang salah laku tetapi mengundurkan diri daripada Dewan Perwakilan pada 13 November, dua hari sebelum laporan etika yang meneliti tuduhan tersebut dijangka dikeluarkan.

Senator Republikan, Encik Markwayne Mullin, menyatakan bahawa laporan tersebut perlu dilihat oleh Senat sebelum membuat keputusan.

“Senat mesti mempunyai akses kepada laporan itu,” katanya dalam wawancara dengan NBC.

Namun, Speaker Dewan Perwakilan, Encik Mike Johnson, berpendapat bahawa laporan etika itu tidak seharusnya didedahkan kepada umum.

Pelantikan Encik Gaetz turut mencetuskan bantahan daripada pihak Demokrat.

Senator Demokrat, Encik Chris Coons, menegaskan: “Senat mempunyai peranan perlembagaan untuk memastikan calon yang dilantik layak dan berwibawa.”

Pemilihan Encik Gaetz dan Encik Carr oleh Encik Trump dilihat sebagai langkah politik yang sengaja untuk memperkukuh pengaruh konservatif dalam pentadbiran barunya.

Namun, langkah itumengundang pelbagai reaksi, termasuk kekecewaan daripada anggota masyarakat Muslim yang sebelum ini menyokong Encik Trump semasa pilihan raya.

“Trump menang kerana sokongan kami, tetapi kami tidak berpuas hati dengan pilihannya untuk jawatan dalam Kabinet, seperti Setiausaha Negara,” kata Cik Rabiul Chowdhury, pelabur dari Philadelphia yang turut memimpin kempen Muslim untuk Encik Trump.

Para pemerhati meramalkan FCC di bawah Encik Carr akan mencetuskan konflik dengan syarikat teknologi besar, sementara pelantikan Encik Gaetz mungkin menjadi ujian besar bagi Encik Trump untuk mendapatkan sokongan Senat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg